Topik diikuti
Pergi ke BHku6 dipenjara atas kesalahan rompakan bersenjata berjumlah $4.9j di banglo King Albert Park
6 dipenjara atas kesalahan rompakan bersenjata berjumlah $4.9j di banglo King Albert Park
6 dipenjara atas kesalahan rompakan bersenjata berjumlah $4.9j di banglo King Albert Park
Tujuh lelaki bertopeng menyerbu sebuah banglo kelas baik (GCB) di King Albert Park pada 2024 ketika permainan poker dengan pertaruhan tinggi sedang berlangsung.
Perompak itu kemudian mengikat 11 orang di dalam rumah itu.
Mereka yang sebahagiannya bersenjatakan parang dan kayu besbol, melarikan barangan berharga bernilai $4.9 juta, kebanyakannya mata wang kripto, sebelum meninggalkan Singapura dengan dua kereta berlainan melalui pusat pemeriksaan berasingan.
Pada 14 September, enam lelaki itu, semuanya rakyat Malaysia, masing-masing mengaku bersalah atas satu tuduhan rompakan berkumpulan bersenjata dan satu tuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan hasil rompakan dari Singapura ke Malaysia.
Suspek ketujuh masih bebas dan dipercayai berada di Thailand.
Dua dalang rompakan itu, Wong Chi San, 35 tahun, dan Goh Boon Tong, 30 tahun, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun 11 bulan, 24 sebatan rotan dan denda $4,000.
Kedua-duanya turut mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan perbuatan maksiat.
Mohd Hamidon Ahmed, 49 tahun, yang disertakan untuk menambah kekuatan kumpulan perompak itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun setengah dan 24 sebatan rotan.
Wong dan Goh menawarkan RM1.5 juta ($467,000) kepadanya untuk dibahagikan kepada anggota pasukannya.
Hamidon mengambil Kartik Palaniappan, 34 tahun, Mohd Hashim Ismail, 51 tahun, dan Muhammad Tauffiq Ahmad Fauzi, 34 tahun, sebagai anggota pasukannya.
Kartik dan Tauffiq masing-masing dihukum penjara tujuh tahun lapan bulan dan 24 sebatan rotan.
Hashim, yang tidak boleh disebat kerana berusia lebih 50 tahun, dihukum penjara lapan tahun lapan bulan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dillon Kok memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa permainan poker pada 18 April 2024 itu dianjurkan seorang warga China yang suaminya merupakan penyewa rumah tersebut.
Seorang warga Korea Selatan ditugaskan sebagai pengedar kad, manakala seorang warga China yang tinggal di rumah itu membantu mengendalikan permainan dan seorang warga Malaysia pula menyediakan khidmat urut kepada tujuh pemain.
Tujuh pemain poker itu terdiri daripada lima warga Singapura, seorang warga Indonesia dan seorang warga China.
Pada November 2023, Wong dan Goh mengetahui tentang permainan poker di rumah itu daripada rakan mereka yang pernah menyertainya.
Pertaruhan boleh mencecah beberapa ratus ribu dolar dan dibayar menggunakan mata wang kripto.
Ketika mengunjungi rumah itu, mereka mendapati pintu pagar dibiarkan terbuka dan pintu kayu tidak berkunci sepanjang permainan berlangsung.
Mereka ke Singapura untuk menentukan masa yang sesuai untuk melakukan rompakan.
Mereka menempah sebuah apartmen di Johor Bahru untuk pasukan itu dan merancang melakukan rompakan dengan berpakaian serba hitam serta memakai sarung tangan dan topeng ski.
Hamidon memberitahu Goh bahawa dia akan menyediakan pita pelekat dan pengikat kabel.
Pada 15 April 2024, Wong dan Goh memandu melepasi banglo itu dan mengesahkan permainan sedang berlangsung, tetapi pasukan Hamidon belum tiba di Singapura.
Pada malam 17 April 2024, Wong dan Goh mengarahkan Hamidon membawa pasukannya selepas mengesahkan permainan sedang berlangsung.
Selepas pukul 2 pagi, mereka memasuki rumah melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan mengikat semua yang berada di dalamnya.
Selepas memastikan pemindahan mata wang kripto berjaya dan melakukan perompakan wang tunai serta barangan berharga milik mangsa, kumpulan itu meninggalkan rumah tersebut.
