Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

7 perkara mengenai PM baru Lawrence Wong

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

7 perkara mengenai PM baru Lawrence Wong

Apr 16, 2024 | 03:43 PM



Ketika Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membuat persiapan menerajui pemerintah mulai 15 Mei, berikut tujuh perkara mengenai pemimpin berusia 51 tahun itu.

1. Mengetuai daya usaha, Melakar Hala Tuju Singapura atau ‘Forward Singapore’

Dilancarkan oleh DPM Wong pada Jun 2022, Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore menyaksikan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) generasi keempat (4G) kerap mengadakan dialog dengan rakyat Singapura untuk mendengar keprihatinan dan keperluan mereka ketika pasukan itu melaksanakan rancangan bagi masa depan Singapura.


Lebih 200,000 rakyat Singapura terlibat dalam daya usaha di serata negara itu.

Laporan setebal 180 halaman yang dikeluarkan pada Oktober 2023 melakar laluan untuk menjadikan Singapura lebih bertenaga dan terangkum, adil dan berkembang maju, serta berdaya tahan dan bersatu.

Pelan itu termasuk lebih banyak bantuan untuk kumpulan seperti golongan kurang berkemampuan, pekerja pertengahan kerjaya dan warga emas, melalui kaedah seperti sokongan kewangan tambahan dan prasarana yang dipertingkatkan, lapor The Straits Times.


Laporan itu juga memberi jaminan kepada rakyat Singapura, bahawa banyak lagi yang akan dilakukan untuk memastikan keperluan asas mereka pada setiap peringkat kehidupan akan dipenuhi, seperti dalam pendidikan, perumahan, penjagaan kesihatan dan persaraan.

Ansuran pertama agenda Melakar Hala Tuju Singapura telah dilancarkan dalam Bajet 2024, dengan langkah untuk menambah baik skim SkillsFuture untuk pekerja pertengahan kerjaya, dan menawarkan lebih banyak sokongan bagi lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).


Set langkah itu akan menelan belanja sekitar $5 bilion pada tahun kewangan 2024.


Semua program daripada latihan Melakar Hala Tuju Singapura akan menelan kos hampir $40 bilion menjelang akhir dekad ini.


2. Dilantik ketua pasukan 4G PAP

Pada April 2022, DPM Wong, ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan, telah dipilih sebagai ketua pasukan 4G PAP oleh rakan-rakannya, membuka jalan baginya menjadi Perdana Menteri Singapura yang seterusnya.

Ini berlaku selepas Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang sebelum ini dipilih sebagai ketua pasukan 4G, mengumumkan pada 2021 bahawa beliau akan berundur, untuk memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda.

Menteri-menteri 4G kemudiannya meminta lebih banyak masa untuk mencapai kata sepakat mengenai pemimpin mereka yang akan datang kerana negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.

Akhirnya, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menugaskan mantan menteri, Encik Khaw Boon Wan, untuk mengetuai proses rundingan yang menyaksikan beliau bertemu setiap menteri 4G secara individu, selepas perbahasan Belanjawan pada Mac 2022.

Akhirnya, 15 daripada 19 individu, memilih Encik Wong sebagai peneraju 4G pilihan mereka, dan beliau mengambil alih peranan tambahan selaku Timbalan Perdana Menteri pada 13 Jun 2022.

Sejak menerima undi percaya itu, DPM Wong telah berusaha mendekati semua pangkalan.


Selain mengetuai sesi Melakar Hala Tuju Singapura, beliau turut mengumumkan rancangan memperbaharui, menyegarkan dan mengukuhkan PAP.


Beliau memulakan lawatan untuk bertemu aktivis dari semua cawangan PAP.


Beliau telah mengorak langkah yang jelas, dalam meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin, dan telah mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.


Pada 2023, beliau mengambil alih daripada DPM Heng, sebagai pengerusi bersama Majlis Bersama untuk Kerjasama Dua Hala, iaitu sebuah platform untuk penglibatan antara pemerintah di peringkat tinggi, antara Singapura dengan China.

Baru-baru ini, DPM Wong melawat Jerman dan Perancis dalam lawatan pertamanya ke Eropah dalam kapasiti semasanya, dan bertemu pemimpin kanan pemerintah dan industri kedua-dua negara. Beliau turut meluangkan 10 hari di Amerika Syarikat pada Oktober 2023.

Pada konvensyen PAP pada November 2023, PM Lee berkata beliau akan menyerahkan kepimpinan kepada DPM Wong menjelang November 2024, menjelang ulang tahun ke-70 parti itu.


3. Pengerusi bersama pasukan petugas
pelbagai kementerian mengenai Covid-19

Pada 2020, Menteri Kesihatan ketika itu, Encik Gan Kim Yong, mempunyai idea membentuk sebuah kumpulan, bagi mengetuai perjuangan Singapura menentang wabak yang baru muncul.

DPM Wong adalah pilihannya untuk menjadi pengerusi bersama kumpulan yang akhirnya menjadi pasukan petugas pelbagai kementerian mengenai Covid-19.

Kedua-dua menteri itu berada di hadapan sidang media hampir setiap hari, ketika mereka membahaskan langkah dasar secara tertutup dan menjelaskan pelbagai keputusan di hadapan kamera.

DPM Wong tidak dapat diketepikan sepanjang krisis, kerana beliau menerangkan dasar dengan jelas dan tenang, dan membentangkan pelbagai keperluan dan pertukaran, kepada rakyat Singapura.

Pada satu ketika pada Mac 2020, DPM Wong, yang biasanya tenang, tidak dapat menahan air mata ketika memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan, semasa berucap di Parlimen.

Kedua-dua pengerusi bersama itu kemudiannya disertai oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang mula dilibatkan pada April 2021.


Pasukan petugas itu akhirnya menamatkan tugas pada Februari 2023, dengan meninggalkan lembaran baru dalam perjuangan tiga tahun negara bagi melawan Covid-19.


DPM Wong, bagaimanapun, terus berhati-hati dalam sidang media terakhir. Beliau memberitahu rakyat Singapura bahawa Pemerintah akan terus mengekalkan tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan yang tinggi.


Ini kerana virus itu akan terus berkembang, dan gelombang jangkitan baru akan datang dari masa ke masa – ini terbukti kebenarannya.


4. Membentangkan Belanjawan

Sejak memegang jawatan Menteri Kewangan pada Mei 2021, DPM Wong telah membentangkan tiga Belanjawan, setiap satu tidak dapat dilupakan dengan cara tersendiri.

Belanjawan 2022 termasuk beberapa langkah cukai progresif, yang bertujuan bukan sahaja untuk menjana pendapatan bagi membiayai program utama yang diperlukan pada tahun-tahun akan datang, malah menangani jurang sosial.

Beliau mengumumkan bahawa kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan secara berperingkat dalam dua langkah, dengan peningkatan 1 mata peratusan setiap tahun pada 2023 dan 2024, hingga mencecah 9 peratus.

Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa kesan kenaikan GST akan dikurangkan, terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah, dengan pelancaran Pakej Jaminan yang merangkumi pemberian wang tunai, rebat dan baucar CDC.

Bajet 2023 terus menjadikan sistem cukai lebih progresif, seperti duti setem pembeli untuk hartanah dan bayaran pendaftaran tambahan untuk kereta.

Ia juga menangani isu kesuburan rendah yang berlarutan, dengan peningkatan kepada skim Bonus Bayi dan penggandaan cuti kepada ibu bapa – dalam apa yang dirujuk sebagai Belanjawan Hari ‘Valentine’ yang disampaikan pada 14 Februari.

Belanjawan 2024 terdiri daripada langkah berdasarkan agenda Melakar Hala Tuju Singapura.

Langkah tersebut termasuk sokongan SkillsFuture selanjutnya untuk pekerja pertengahan kerjaya; anugerah baru untuk menggalakkan lebih ramai lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) muda meningkatkan kemahiran; dan peningkatan kepada skim sokongan persaraan untuk warga emas yang memerlukan lebih banyak bantuan.

5. Terkenal dengan dasar kerja yang kukuh
dalam perkhidmatan awam

Sebelum menceburi bidang politik pada 2011, DPM Wong mempunyai kerjaya dalam perkhidmatan awam selama 14 tahun, dengan berkhidmat di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan, selepas pulang dari pengajian di luar negara.

Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti Wisconsin-Madison dan Universiti of Michigan-Ann Arbor, serta ijazah sarjana dalam pentadbiran awam dari Sekolah Harvard Kennedy.

Sebagai penjawat awam, beliau terkenal dengan kerja dasar yang kukuh dan pemahaman ekonomi.

Malah ada yang melihatnya sebagai seorang yang amat ghairah dengan dasar, atau seseorang yang sangat berminat dengan butiran dasar yang lebih terperinci.

Pada awal kerjayanya, beliau menolak tawaran daripada sektor swasta kerana berasa perkhidmatan awam membenarkannya melakukan projek dan skema yang berbeza, yang boleh membantu rakyat Singapura.

Pada 2005, beliau menjadi setiausaha sulit utama PM Lee – peranan yang tentunya membantu meletakkan asas kukuh untuk beliau mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau kemudian turut dilantik sebagai ketua eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga.

Rakan sekerja dalam perkhidmatan awam menyifatkan beliau sebagai seorang yang sentiasa terbuka kepada perbincangan dan pandangan yang berbeza, di samping bersedia dan cukup tegas dalam membuat keputusan.

6. Dari bermain gitar hinggalah menunggang motosikal

Adalah satu rahsia terbuka bahawa DPM Wong adalah peminat muzik, dan alat kegemarannya ialah gitar.

Namun, orang ramai terkejut apabila mereka terjumpa klip beliau memainkan lagu abadi daripada genre rock, blues dan soul – seperti klip Disember 2022 yang mempamerkan lagu solo gitar Chuck Berry dalam lagu Johnny B. Goode.


Video beliau membuat persembahan menunjukkan sesuatu yang jarang, lebih santai, dan lebih dihayati.

Bapanya menghadiahkannya gitar ketika beliau berusia lapan tahun, dan muzik kekal sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Sebagai pelajar di Amerika Syarikat, beliau pernah busking dengan rakan sebilik Amerikanya di Universiti Wisconsin-Madison.


Semasa di universiti juga, beliau belajar menunggang motosikal. Pada Ogos 2022, beliau menunggang motosikal Royal Enfield Classic 500 sebagai sebahagian daripada konvoi untuk mengumpul dana untuk Yayasan Barah Kanak-Kanak.


DPM Wong kemudian berkata bahawa beliau pernah memiliki motosikal Suzuki yang digunakannya untuk mengelilingi bandar Madison di Wisconsin, sebagai pelajar.

Walaupun beliau menaiki skuter buat seketika selepas pulang ke Singapura, sudah lebih 20 tahun sejak kali terakhir beliau menunggang motosikal, katanya.

DPM Wong juga dikenali sebagai seorang penggemar anjing. Anjing Retriever emasnya yang berusia 16 tahun, Summer, mati pada Julai 2020.


Selain hobi ini, mereka yang biasa dengan DPM Wong mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang agak privet, terutamanya apabila ia berkaitan dengan keluarganya.


7. ‘Budak’ Marine Parade

Beliau dibesarkan di estet kejiranan Marine Parade, di mana beliau menghadiri tadika Yayasan Masyarakat PAP sebelum ke Sekolah Rendah Haig Boys di mana ibunya adalah seorang guru di sekolah itu.

Lebih berminat dengan buku berbanding sukan, beliau akan menghabiskan masa di perpustakaan Marine Parade yang lama untuk meminjam buku tentang cereka sains dan gitar.

Beliau mempunyai banyak kenangan dibesarkan di Marine Parade dan pengalamannya di Taman East Coast. Beliau telah berkongsi foto-foto lama zaman kanak-kanaknya.

Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Teknikal Tanjong Katong dan Maktab Rendah Victoria, sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika.

Bapanya, yang meninggal dunia pada Ogos 2021 pada usia 86 tahun, dilahirkan di Pulau Hainan, China, dan berpindah ke Ipoh di Malaysia ketika masih kecil.

Selepas menamatkan pendidikan menengahnya, bapa Encik Wong berpindah ke Singapura, dan bekerja dalam bidang penjualan dengan Sime Darby.

Ibu DPM Wong adalah seorang guru selama 40 tahun.

DPM Wong, yang mempunyai seorang abang, berusia dua tahun lebih tua daripadanya, berkahwin dengan Cik Loo Tze Lui. Pasangan itu tidak mempunyai anak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >