Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam, Mediacorp mohon maaf atas komen di CNA yang didakwa AGC hina mahkamah

Dec 13, 2025 | 3:20 PM
pritam singh, the assembly
Episod ‘The Assembly’ disiarkan pada 5 November, sehari selepas rayuan Encik Pritam Singh terhadap kesnya didengar, dengan mahkamah menangguhkan keputusan. - Foto ST

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, telah memohon maaf kepada mahkamah atas hujahnya dalam satu program terbitan CNA, The Assembly, mengenai kes di mana beliau didapati bersalah berbohong kepada jawatankuasa Parlimen.

Dalam hantaran Facebook pada 13 Disember, Encik Pritam, yang juga ketua Parti Pekerja (WP), berkata: “Saya akui kenyataan saya boleh ditafsir sebagai menghina mahkamah, termasuk mencemar integriti, standard atau keadilan mahkamah.

“Dengan itu, saya memohon maaf sepenuhnya dan tanpa syarat kepada mahkamah dan akan mengelak daripada membuat ulasan seumpama itu di masa depan.”

Mediacorp, syarikat induk CNA, turut memohon maaf dan tidak lagi menyiarkan temu bual itu selepas dimaklumkan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) ia menghina mahkamah.

Dalam kenyataannya pada 13 Disember, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) berkata kenyataan Encik Pritam “sangat salah dan tiada tempat dalam sistem yang diasaskan atas kedaulatan undang-undang”.

Episod itu ditayangkan pada 5 November, sehari selepas rayuan Encik Pritam didengar dan mahkamah menangguhkan keputusan.

Rayuan itu kemudian ditolak.

Apabila ditanya mengenai kes tersebut dalam rancangan itu, Encik Pritam berkata beliau percaya pandangan pihak awam boleh menjadi lebih berkuasa daripada sebarang mahkamah lain di dunia.

Beliau juga berkata prestasi agak baik partinya dalam pilihan raya umum pada Mei mencerminkan pandangan orang awam terhadap peranannya dalam isu yang membawa kepada peletakan jawatan Parlimen oleh Cik Raeesah Khan pada 2021, selepas beliau mengaku memberi keterangan palsu di Parlimen.

Encik Pritam juga telah berkata seteru politiknya akan “melakukan apa saja untuk merendahkan rasa hormat terhadap beliau dan partinya di mata awam”.

MinLaw, dalam kenyataannya pada 13 Disember, berkata hujah Encik Pritam mencadangkan dakwaan terhadapnya oleh AGC dan selanjutnya, apabila beliau didapati bersalah di Mahkamah Majistret, didorong politik, mencemar integriti mahkamah dan sistem perundangan.

Mengulangi kenyataan Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, MinLaw berkata hujah Encik Pritam itu memperlekehkan keputusan mahkamah dan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan, sesuatu yang “tidak boleh diterima”. 

Ia berkata AGC pada 28 November telah memaklumkan kepada Encik Pritam kenyataannya menghina mahkamah dan mengundangnya untuk memohon maaf.

Kementerian itu berkata pihaknya mengalu-alukan kenyataan Encik Pritam selepas rayuannya ditolak, iaitu adalah tidak wajar bagi ahli politik mempersoal atau mencemarkan integriti mahkamah. 

“Badan kehakiman ialah tonggak penting kejayaan Singapura, dan adalah amat penting kepercayaan masyarakat mesti dikekalkan.”

Mediacorp dalam kenyataan berasingan berkata ia menerima penerbitan keputusan bahawa temu bual itu menghina mahkamah. 

“Kami memohon maaf sepenuhnya dan tanpa syarat. Temu bual itu telah diturunkan dan kami akan mengelak daripada menerbitkan perkara yang menghina mahkamah di masa depan.”

CNA melaporkan pada 13 Disember bahawa Mediacorp dimaklumkan oleh AGC temu bual itu menghina mahkamah. 

Rancangan temu bual itu dirakamkan pada 26 Julai 2025.

Pada 8 November, Encik Tong mengkritik kenyataan Encik Pritam dan menyifatkan pandangannya tentang pandangan pihak awam sebagai keterlaluan, salah dan keseluruhannya tidak boleh diterima.

Beliau berkata Encik Pritam disiasat dan menyusuli itu beliau didakwa dan melalui perbicaraan penuh dan terbuka sebelum didapati bersalah kerana berbohong kepada jawatankuasa pilihan Parlimen. 

Encik Tong berkata: “Tiada sesiapa harus memperlekehkan keputusan mahkamah atau menganggap pendapat umum boleh mengatasi keputusan mahkamah.”

Pada 4 Disember, selepas rayuannya ditolak, Encik Pritam ditanya bagaimana beliau akan dinilai oleh pihak awam, atau court of public opinion.  

Beliau berkata: “Mahkamah telah menyampaikan keputusannya dan kita harus menghormatinya.” 

Beliau menegaskan beliau menerima keputusan itu sepenuhnya.

Beliau berkata Mahkamah Agung ialah tonggak penting perlembagaan dan beliau menghormati kebebasan serta profesionalisme badan kehakiman.

Ditanya mengenai komen lain dalam The Assembly  lawan politiknya akan “buat apa sahaja” untuk menjatuhkan kewibawaannya, Encik Pritam berkata perbezaan politik tidak boleh membawa kepada pencemaran integriti mahkamah atau penjawat awam. 

“Itu bukan cara kita menjalankan politik pembangkang di Singapura,”ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg