Kesan perkembangan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan menjadi tumpuan penceramah di Pesta Teknologi Kewangan Singapura (SFF) pada 18 November. 

Antara pandangan yang dikemukakan ialah AI memerlukan penerimaan masyarakat sebelum ia boleh digunakan secara meluas.

Menurut Encik Ravi Menon, mantan Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), penerimaan itu bergantung pada keseimbangan antara pekerjaan dengan gaji.

Dalam sesi panel Geoekonomi 2.0: Strategi Kenegaraan dalam Era Kecerdasan, Encik Menon berkata tentangan terhadap globalisasi mencerminkan kegagalan dasar domestik banyak negara.

“Kegagalan mengagihkan manfaat globalisasi dan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akan menjadi ujian sama bagi AI. Jangan kita mengulangi kesilapan itu.”

Beliau menjelaskan bahawa AI boleh menghapuskan pekerjaan melalui automasi, tetapi juga meningkatkan produktiviti, gaji dan mewujudkan pekerjaan baharu.

Menurut Encik Menon, pekerjaan peringkat permulaan paling awal menerima tekanan, walaupun AI terbukti paling banyak membantu pekerja kurang berpengalaman.

“Teknologi sama boleh meningkatkan keupayaan pekerja muda atau menyingkirkan mereka,” katanya. “Apa yang berlaku bergantung pada pilihan mereka.”

Isu ini turut dibincangkan dalam panel Persamaan AI dan Pekerjaan: Mengimbangi Produktiviti, Kehilangan Pekerjaan dan Pewujudan Pekerjaan Baharu.

Profesor Universiti Stanford, Dr Michael Spence, berkata dunia kini menghadapi ketidaktentuan.

Beliau membahagikan perkembangan AI kepada pelaburan dalam teknologi dan prasarana serta penggunaannya dalam ekonomi.

“Kita masih pada peringkat awal… Terlalu awal untuk mengetahui kesan akhirnya terhadap produktiviti.”

Namun, beliau menjangkakan perubahan besar terhadap hampir semua pekerjaan, walaupun automasi tidak semestinya menghapuskannya.

Dr Spence berkata pekerja muda sudah mula terjejas dalam sektor perkhidmatan karyawan dan kewangan.

Bank pelaburan yang menggunakan AI untuk tugasan pekerja baharu perlu mencari kaedah lain membangunkan bakat, katanya.

“Kita masih memerlukan golongan muda itu, termasuk 10 tahun kemudian.”

Beliau menegaskan industri perlu mencari pendekatan baharu untuk membangunkan bakat manusia.

Dalam ucaptama dan sesi dialog, Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong menyentuh kesan AI terhadap Singapura.

Beliau berkata kepercayaan penting untuk mengukuhkan kedudukan Singapura dalam pembangunan, pengujian dan penggunaan AI.

Ini memerlukan kerjasama pemerintah dengan industri serta persekitaran yang sesuai untuk perkembangan bakat.

Singapura juga perlu terus menerima bakat luar kerana kekurangan tenaga mahir AI di seluruh dunia.

Encik Gan memberi amaran bahawa perubahan pekerjaan mungkin berlaku lebih pantas daripada kemampuan masyarakat menyesuaikan diri.

“Kita mungkin tidak dapat melindungi setiap pekerjaan… Namun, kita berhasrat melindungi setiap pekerja,” katanya.

Caranya, kata Encik Gan, ialah dengan melengkapkan pekerja dengan kemahiran untuk merebut peluang baharu.