Aidiladha sering mengingatkan masyarakat Islam tentang pengorbanan kepada semua yang disayangi, kata Ketua Delegasi Haji Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman.
Berkata demikian dalam hantaran video di Facebooknya pada 17 Jun, Dr Maliki yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, menggesa agar segala nilai pengorbanan itu diimbas kembali demi kebahagiaan dan kesejahteraan pada hari yang bahagia ini.
“Aidiladha sering mengingatkan kita kepada pengorbanan. Pengorbanan kita kepada semua yang kita sayangi. Sama-samalah kita mengimbas kembali nilai pengorbanan ini. Semoga kita semua mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di hari yang mulai ini,” kata Dr Maliki.
Dr Maliki yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan) turut sempat menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha menerusi video tersebut.
Pada pagi 17 Jun, jemaah haji berjalan dari Shisha ke Mina untuk melakukan mabit yang pertama dari 3 pagi hingga waktu subuh. ‘Mabit’ bermaksud berehat atau bermalam.
Dalam responsnya kepada Berita Harian (BH) pada 17 Jun, jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata jemaah haji Singapura masih berada di sekitar Mina untuk melontar jamrah dan ada di antara mereka yang masih di Shisha.
Pada 16 Jun, BH melaporkan bahawa jemaah haji Singapura berada dalam keadaan baik dan selamat dan telah memulakan ibadah melontar jamrah.
Ini selepas mereka berwuquf di Arafah, kemuncak ibadah haji yang wajib dilakukan setiap anggota jemaah haji.
Dr Maliki mengesahkan bahawa jemaah Singapura umumnya dalam keadaan sihat dan bersemangat.
“Kami mengutamakan kesihatan, kebajikan, keselamatan dan keselesaan mereka, dengan memberikan sokongan perubatan menyeluruh untuk memudahkan perjalanan haji mereka.
“Keadaan dan kesejahteraan jemaah kita merupakan keutamaan pertama dan saya gembira mereka dalam keadaan baik sepanjang tempoh ini, (meskipun) menghadapi cuaca amat panas dan jadual mencabar sementara perlu menunaikan semua amalan dan ibadah yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Dr Maliki telah diundang oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, untuk menghadiri satu majlis makan tengah hari pada 17 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg