Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah S’pura selamat berwuquf, mula lontar jamrah

Jun 16, 2024 | 7:59 PM
Ketua Delegasi Haji Singapura, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kanan), selepas melontar jamrah.
Ketua Delegasi Haji Singapura, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kanan), selepas melontar jamrah. - Foto ERWIN YUHANIS

Jemaah haji Singapura berada dalam keadaan baik dan selamat dan telah memulakan ibadah melontar jamrah pada 16 Jun.

Ini selepas mereka berwuquf di Arafah, kemuncak ibadah haji yang wajib dilakukan setiap anggota jemaah haji.

Ketua Delegasi Haji Singapura, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, mengesahkan bahawa jemaah Singapura umumnya dalam keadaan sihat dan bersemangat.

“Kami mengutamakan kesihatan, kebajikan, keselamatan dan keselesaan mereka, dengan memberikan sokongan perubatan menyeluruh untuk memudahkan perjalanan haji mereka.

“Keadaan dan kesejahteraan jemaah kita merupakan keutamaan pertama dan saya gembira mereka dalam keadaan baik sepanjang tempoh ini, (meskipun) menghadapi cuaca amat panas dan jadual mencabar sementara perlu menunaikan semua amalan dan ibadah yang diperlukan,” katanya.

Beliau menambah bahawa program haji yang dibangunkan Unit Strategik Perkhidmatan Haji, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sejak awal 2024 bagi memastikan adanya pakej perkhidmatan Masyair yang dipertingkat serta memperkenal pegawai kebajikan dalam setiap agensi dan perkhidmatan perubatan hibrid telah, antara lain, memastikan perkhidmatan perubatan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

Masyair merujuk kepada pergerakan jemaah di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi menunaikan ibadah haji.

Ini juga telah membolehkan jumlah mereka yang berkunjung ke klinik dan dimasukkan ke hospital berkurangan 50 peratus berbanding 2023.

“Pengurangan besar ini menunjukkan keberkesanan perkhidmatan perubatan yang dipertingkat serta kesejahteraan jemaah secara keseluruhan,” ujar Dr Maliki.

Beliau berkata keputusan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), dengan rundingan bersama Muis, mempertingkat perkhidmatan Masyair memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman jemaah secara keseluruhan.

Peningkatan itu, yang melibatkan usaha mendapatkan perkhidmatan Rawaf Mina – Nozoly bagi perkhidmatan di Arafah dan Mina, memastikan jemaah Singapura dapat menikmati penginapan dan sokongan baik.

Dr Maliki mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO)  Muis, Amtas dan ejen penjualan pakej haji (GSA) atas usaha mereka memastikan jemaah Singapura dapat menunaikan rukun Islam kelima itu dengan lancar dan tersusun.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jemaah atas kerjasama mereka.

Sementara itu di Singapura, 4,323 ternakan – 2,707 kambing, 1,547 kambing biri-biri, dan 69 lembu (bersamaan 484 bahagian lembu) – dijual menerusi inisiatif SalamSG Korban (SSGK) 2024 bagi ibadah korban.

Bagi 2024, sebanyak 52 masjid di bawah usaha SalamSG Korban menawarkan perkhidmatan korban luar negara sempena Hari Raya Aidiladha, dengan kesemua ternakan korban yang ditempah melalui SSGK akan disembelih di Australia pada Hari Raya Haji atau pada Hari Tasyrik (10 hingga 13 Zulhijah).

Daging korban itu akan dibekukan sebelum diterbangkan ke Singapura dan diedarkan kepada orang yang melakukan ibadah korban.

Ada juga syarikat swasta di sini yang menawarkan khidmat ibadah korban secara langsung di Singapura.

Menurut pengarah Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd, Cik Nabilah Bagarib, 800 kambing biri-biri yang ditempah mereka tiba di Singapura pada 2.30 pagi pada 15 Jun.

Haiwan itu telah dihantar ke beberapa lokasi di serata Singapura, termasuk Pertapis, Muhammadiyah Singapura, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Tentera Diraja dan Masjid Al-Firdaus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg