Bilik berita vernakular memainkan peranan yang penting kerana mereka memahami secara mendalam kebimbangan, harapan dan denyut nadi masyarakat setempat, kata Pengerusi SPH Media, Encik Khaw Boon Wan.

Encik Khaw berkata bilik berita vernakular seperti Berita Harian (BH), Lianhe Zaobao (ZB) dan Tamil Murasu (TM) telah menunjukkan prestasi yang membanggakan kerana mereka mengenali masyarakat dengan baik di samping memahami keresahan dan harapan masyarakat masing-masing.

“Bilik berita vernakular telah membanggakan kami. Mereka mempunyai keupayaan unik untuk menyentuh isu-isu khas yang dekat di hati masyarakat masing-masing.

“Walaupun teknologi kini mampu menterjemahkan kandungan The Straits Times (ST) ke dalam bahasa-bahasa vernakular, produk terjemahan tidak semestinya dapat memenuhi keperluan khusus audiens,” jelas Encik Khaw.

Beliau menambah bahawa keunikan isu setempat memerlukan pengamatan dan sentuhan wartawan yang memahami realiti di lapangan secara langsung.

Oleh itu, SPH Media telah memberikan sokongan sepenuhnya kepada bilik berita vernakular untuk memperkukuh keupayaan digital mereka, kata Encik Khaw.

Ia juga menggalak mereka memperluas jangkauan kepada golongan muda, dan memberi ruang kepada pemimpin muda media untuk membentuk produk baharu yang relevan.

Pengesahan mengenai komitmen terhadap media vernakular ini disampaikan sempena pengumuman persaraan Encik Khaw daripada jawatan Pengerusi SPH Media.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, akan mengambil alih jawatan Pengerusi berkuat kuasa 1 Oktober.

Encik Chan juga akan menggalas tugas CEO sedia ada, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa pengawalseliaan.

Mengulas mengenai keputusannya untuk berundur, Encik Khaw menjelaskan bahawa beliau telah membawa SPH Media melalui satu kitaran pilihan raya umum (GE) dan menganggap ini adalah masa terbaik untuk menyerahkan kepimpinan kepada generasi seterusnya

“Pada GE berikutnya, usia saya akan melebihi 78 tahun. Adalah tidak wajar untuk saya terus menerajui institusi penting ini,” kata Encik Khaw.

“Dengan Encik Chan Yeng Kit dan pasukannya yang kini kukuh bertapak, ini adalah masa yang tepat untuk saya berundur.

“Dengan ini, mereka mempunyai masa secukupnya untuk mengukuhkan lagi kepercayaan dan kredibiliti bersama audiens, bilik berita dan rakan berkepentingan.”

Langkah persaraan ini menandakan penutup babak lima tahun kepimpinan Encik Khaw di SPH Media.

Beliau mula menyertai entiti media itu pada Mei 2021 bagi memimpin usaha penyusunan semula perniagaan SPH.

Pelantikan itu dibuat selepas beliau bersara daripada perkhidmatan awam dan barisan Kabinet yang telah dianggotainya selama hampir empat dekad.

Sebelum menerajui SPH Media, Encik Khaw telah memegang pelbagai jawatan menteri dalam pemerintah, termasuk sebagai Menteri Kesihatan, Menteri Pembangunan Negara serta Menteri Pengangkutan.

Sepanjang kerjaya perkhidmatan awamnya, beliau dikenali dengan jolokan ‘Mr Fix-It’ kerana keupayaannya menangani cabaran dan krisis nasional yang paling rumit.

Di bawah kepimpinannya di sektor awam, Encik Khaw pernah mengendalikan wabak Sars di Kementerian Kesihatan (MOH).

Beliau juga telah memulihkan bekalan serta keterjangkauan perumahan awam di Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Di bawah kepimpinannya di Kementerian Pengangkutan (MOT), beliau telah membantu meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian perkhidmatan kereta api MRT.

Mengulas tentang perbandingan antara tugasnya di SPH Media dengan peranan lalunya, Encik Khaw mengakui bahawa menguruskan institusi media mempunyai cabaran tersendiri.

“Setiap cabaran adalah sukar, namun saya mendapati tugas media ini amat mencabar kerana kejayaan memerlukan penyedia dan pengguna bergerak seiring.

“Ia seperti mempromosikan gaya hidup sihat; kita mempunyai mesej dan menyampaikannya sebaik mungkin, tetapi akhirnya pengguna sendiri mesti bersetuju untuk bertindak.

“Kita perlu merayu kepada minda dan hati mereka,” kata Encik Khaw, yang memegang peranan Menteri Penyelaras bagi Prasarana sebelum beliau bersara daripada politik pada 2020.

Beliau menambah bahawa industri media masa kini terpaksa bersaing secara sengit dengan gergasi teknologi bernilai tinggi yang menawarkan pelbagai kandungan hiburan dan maklumat alternatif dalam persekitaran digital.

Menyingkap kembali penstrukturan SPH Media lima tahun lalu, perniagaan SPH Media telah diubah daripada model syarikat penyenaraian awam kepada syarikat awam berhad yang dijamin (CLG).

Langkah ini membolehkan SPH Media memberikan fokus kepada misi awamnya untuk menyajikan kewartawanan yang berkualiti, telus dan dipercayai tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil pengiklanan komersial yang semakin terjejas.

Hasil transformasi digital tersebut, SPH Media kini berjaya menjangkau hampir sembilan daripada 10 penduduk Singapura dengan 86 peratus audiens berusia 15 tahun dan ke atas setiap minggu menerusi pelbagai platform dan format, tambah Encik Khaw.

Liputan peristiwa nasional seperti GE2025 dan sambutan SG60 turut mencatatkan kadar tontonan digital yang amat tinggi.

“Bilik berita kami telah menunjukkan prestasi yang lebih baik. Lihat sahaja liputan GE lalu. Kami dilihat sebagai media yang objektif, profesional dan seimbang.

“Kandungan kami dimanfaatkan secara meluas oleh masyarakat, dan metrik pencapaian mengesahkan penilaian ini,” tegas Encik Khaw.

Pencapaian SPH Media, katanya, telah dimaklumi oleh pemain global sambil menambah bahawa produk-produknya juga telah memenangi anugerah antarabangsa.

“Rakan penerbit di seluruh dunia akur dengan pencapaian SPH. Banyak anugerah yang diperoleh tajuk berita kami adalah bukti yang meyakinkan.

“Ini termasuk anugerah yang didambakan dalam bidang yang sangat kompetitif yang diberikan oleh persatuan industri berita seperti INMA dan WAN-IFRA,” kata Encik Khaw.

Namun demikian, beliau berkata usaha untuk lebih mendekati golongan muda masih merupakan satu usaha yang sedang dijalankan memandangkan mereka adalah generasi yang sangat berbeza.

“Ia merupakan usaha yang sedang dijalankan, tetapi hasilnya sangat menggalakkan,” kata Encik Khaw.

Dalam wawancara itu juga, Encik Khaw turut melahirkan kebimbangan mengenai corak tumpuan pembacaan generasi muda yang semakin dipengaruhi oleh media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Saya bimbang generasi yang tidak membaca secara mendalam akan menjadi generasi yang rugi,” kata Encik Khaw. “Tiada jalan pintas.”

“Untuk topik-topik serius, kita perlu membaca laporan dan buku, baca dengan teliti dan secara luas, renung, dan kemudian ambil iktibar yang berguna.”

Berkenaan penggunaan AI dalam operasi harian bilik berita, Encik Khaw menegaskan bahawa walaupun AI wujud sebagai alat pembantu, integriti kewartawanan dan perspektif tempatan yang dibawakan oleh wartawan manusia tetap tidak boleh digantikan.

Justeru, beliau menggalak wartawan supaya terus belajar menggunakan AI untuk membantu mereka melakukan tugas dan untuk meningkatkan produktiviti kakitangan di bilik berita – satu langkah penting yang SPH Media akan terus utamakan.

“Bilik berita vernakular telah membanggakan kami. Mereka mempunyai keupayaan unik untuk menyentuh isu-isu khas yang dekat di hati masyarakat masing-masing. Walaupun teknologi kini mampu menterjemahkan kandungan The Straits Times (ST) ke dalam bahasa-bahasa vernakular, produk terjemahan tidak semestinya dapat memenuhi keperluan khusus audiens.”
Pengerusi SPH Media, Encik Khaw Boon Wan.