Amazon, gergasi e-dagang global, mengumumkan pengurangan beberapa jawatan di Singapura, seiring usaha memperluas pilihan kedai antarabangsa di negara ini.

Kenyataan itu dimuat naik di laman web syarikat tersebut pada 7 Mei.

The Business Times difahamkan kurang daripada 10 peratus tenaga kerjanya di Singapura akan terjejas.

Amazon akan membantu kakitangan terjejas mencari peranan baru dalam syarikat itu.

Bagi mereka yang tidak dapat ditempatkan semula, sokongan peralihan yang merangkumi pampasan pemberhentian kerja serta perkhidmatan peralihan kerjaya akan diberikan.

“Amazon kekal tekad terhadap Singapura dan pelaburan kami yang merentasi perniagaan runcit, barangan sedunia, hiburan, peranti dan perniagaan Amazon Web Services (AWS), dengan 2,500 pekerja di negara ini,” kata syarikat itu dalam hantaran tersebut.

Encik Andy Lim, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Buruh dan Perdagangan Singapura (SMMWU), berkata kesatuan itu dimaklumkan mengenai pemberhentian itu sehari lebih awal.

Beliau menambah, kesatuan itu “menggalakkan semua syarikat memberi notis lebih awal agar dapat memberi sokongan lebih baik kepada pekerja”.

SMMWU dimaklumkan bahawa pekerja yang terjejas itu “dilayan secara adil dan selaras dengan Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengurusan Tenaga Kerja Berlebihan dan Pemberhentian Kerja Secara Bertanggungjawab”.

Kesatuan itu bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bersedia “menawarkan bantuan dan sumber” bagi menyokong ahli dan pekerja beralih ke peluang pekerjaan baru, atau menyediakan bantuan kewangan jika diperlukan, kata Encik Lim.

Secara berasingan, jurucakap Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) berkata pihaknya “bekerjasama dengan Amazon, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC untuk menyokong pekerja terjejas, termasuk memudahkan penempatan pekerjaan”.

Amazon turut menamatkan secara berperingkat, operasi bagi pemenuhan pesanan tempatan di sini, termasuk Amazon Fresh serta rakan kongsi barangan runcitnya. Amazon Fresh ialah perkhidmatan popular yang menawarkan penghantaran barangan runcit ke rumah secara berjadual dalam dua jam.

Syarikat itu sedang bekerjasama dengan vendor dan penjualnya bagi mencari cara lain untuk terus melayani pelanggan di Singapura.

Amazon Fresh, yang mempunyai vendor termasuk Little Farms dan Watsons, akan dihentikan mulai 6 Julai, menurut e-mel kepada pelanggan Amazon Prime.

Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada penyesuaian Amazon terhadap permintaan pelanggan Singapura yang cenderung kepada pilihan antarabangsa daripada kedai-kedainya di Amerika Syarikat, Jepun, dan Jerman.

Kira-kira 80 peratus pelanggan di Singapura membeli produk antarabangsa melalui kedai Amazon Singapura pada 2025, dengan permintaan yang meningkat secara berterusan sejak pelancarannya.

Encik Peter Li, Pengurus Negara Amazon Singapura, berkata:

“Kami melihat permintaan kukuh terhadap produk daripada kedai antarabangsa dan bertindak balas dengan meningkatkan pelaburan dalam perkara yang paling diinginkan pelanggan: pilihan bernilai tinggi dari seluruh dunia dengan penghantaran pantas yang boleh dipercayai.”