Geylang Serai bermandi cahaya sambut Ramadan, Hari Raya
Cuaca hujan tidak sedikit pun menghampakan semangat dan keriangan lebih 1,000 hadirin yang tiba seawal 5 petang untuk menyaksikan acara pelancaran Penyalaan Lampu Hari Raya 2026 di Geylang Serai pada 14 Februari.
Malah, keghairahan menyambut Ramadan dan Lebaran jelas terasa di sekitar kawasan Wisma Geylang Serai, lebih-lebih lagi apabila hiasan lampu Hari Raya sepanjang 2.6 kilometer dinyalakan pada sekitar 8.10 malam.
Bermain gamelan untuk merasmikan penyalaan lampu Hari Raya sepanjang Changi Road, Geylang Road dan Sims Avenue itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata acara penyalaan lampu itu membuktikan kekuatan berterusan masyarakat pelbagai budaya Singapura.
Encik Gan turut disertai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan beberapa Anggota Parlimen lain.
“Apabila kita menerangi Geylang Serai, kita bukan sahaja menerangi suatu ruang fizikal, tetapi juga ikatan yang menyatukan kita sebagai rakyat Singapura.
“Lampu berwarna-warni ini mencerminkan pelbagai warna masyarakat kita, setiap satunya berbeza namun dapat digabungkan dengan harmoni menjadi satu paparan yang megah,” ujar Encik Gan.
Beliau menambah bahawa kepelbagaian Singapura merupakan kekuatan yang patut diraikan.
Bahkan, kepelbagaian itu merupakan kelebihan daya saing dalam pasaran global.
“Ia membolehkan kita berhubung dengan rakan kongsi di seluruh dunia, memahami pasaran dan budaya berbeza dan berinovasi melalui gabungan perspektif dan tradisi yang berbeza.
“Namun, lebih dari sudut ekonomi, kepelbagaian budaya kami merupakan asas kecekalan sosial kami. Dalam dunia yang semakin terpisah, Singapura merupakan bukti bahawa masyarakat yang berbeza bukan sahaja boleh wujud bersama, tetapi juga berkembang maju bersama,” kata Encik Gan.
Beliau juga menambah bahawa keharmonian yang ada di Singapura tidak berlaku dengan sendirinya – ia merupakan hasil usaha yang sedar, rasa saling menghormati serta komitmen setiap warga Singapura terhadap nilai bersama kita.
“Kita mesti terus memupuk anugerah berharga ini. Marilah kita mengajar anak-anak kita untuk melihat kepelbagaian bukan sebagai perbezaan yang memecahbelahkan, tetapi sebagai kekayaan yang menguatkan.
“Marilah kita memastikan kawasan seperti Geylang Serai terus berkembang maju sebagai ruang di mana budaya bukan sahaja dipelihara tetapi diraikan, dan dialami,” tambah Encik Gan.
Acara Penyalaan Lampu Hari Raya yang berlangsung di Persada Budaya Wisma Geylang Serai itu turut diserikan dengan persembahan budaya oleh Djoko Mangkrengg, Orkes Engku Aman, Iskandar Ismail dan Jaclyn Victor.
Selain Penyalaan Lampu Hari Raya, Bazar Geylang Serai juga dilancarkan pada 14 Februari dengan menawarkan lebih 500 gerai.
Bazar tersebut dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 11.59 malam, dengan waktu pembukaan dilanjutkan sehingga 6 pagi pada Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 21 Mac.
Bazar Raya Geylang Serai 2026 telah dirancang dengan teliti agar ia dapat mempromosikan budaya, adat resam dan tradisi Melayu melalui aktiviti dan penjualan keperluan Hari Raya tradisional.
Pengunjung boleh menjangkakan hidangan perayaan termasuk biskut, kek dan makanan tradisional, di samping pakaian budaya dan produk gaya hidup lain.
Semua penjaja makanan mesti memenuhi keperluan halal yang ketat melalui pensijilan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dimiliki orang Islam atau telah menghadiri taklimat pematuhan halal mandatori oleh Muis.
Kebanyakan gerai bukan makanan pula menampilkan barangan perayaan tradisional seperti batik, songkok dan baju kurung.

