Setiap kali saya menziarahi Masjid Darul Makmur yang dahulu, saya disambut dengan rona coklat muda yang dihiasi sentuhan coklat gelap.
Ruang solatnya pula dikelilingi ukiran seni khat Islam yang indah.
Reka bentuk tradisional itu membangkitkan rasa kekitaan dalam diri jemaah setiap kali mereka menjejakkan kaki di sana.
Melangkah pantas ke zaman ini, Masjid Darul Makmur membuka pintunya semula selepas selesai kerja peningkatan masjidnya, pada Hari Raya Aidiladha 2025.
Berbanding dahulu, muka bangunan barunya tampil dengan gaya moden minimalis, dihiasi corak geometri menarik.
Meskipun pembinaan masjid itu mencerminkan pembaharuan, terdapat sesuatu yang sukar diganti – iaitu sentuhan seni bina tradisional yang menjadi jiwa dan identiti masjid terdahulu.
Pada 2025, terdapat banyak pengumuman mengenai kerja peningkatan dan pembinaan masjid baru.
Antaranya, masjid baru di Tampines dan Tengah serta peningkatan untuk beberapa masjid; antaranya Masjid Darussalam, dan Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Sudah tentu ia berita gembira buat masyarakat Islam dengan kemudahan dan ketercapaian yang lebih baik, namun kebanyakannya kini berwajah moden, mengorbankan unsur seni bina tradisional yang sinonim sebelum ini.
Jika dilihat di Timur Tengah, kebanyakan masjid di sana tetap mengekalkan reka bentuk tradisionalnya.
Sebagai contoh, Masjid Al-Azhar di Mesir. Masjid itu berdiri megah dengan reka bentuk tradisionalnya walau telah melalui pelbagai kerja peningkatan sejak dibina pada 970 Masihi.
Ia bukti bahawa kemajuan tidak semestinya menuntut pengorbanan identiti seni bina.
Lalu, timbul persoalan: Apakah yang menghalang kita daripada mencuba pendekatan serupa?
Tiada jawapan yang tepat untuk ini... mungkin disebabkan saiz Singapura yang lebih kecil, atau arus pembangunan landskap bangunan di sini?
Melalui pengamatan saya, kelebihan reka bentuk tradisional ialah ia mampu menimbulkan rasa kekitaan yang mendalam.
Masjid lama memiliki identiti tersendiri yang menjadi lambang dan kebanggaan masyarakat Islam, membezakannya dengan bangunan sekeliling.
Ia mengingatkan masyarakat kepada sejarah mereka dan menawarkan rasa kesinambungan dalam era berbeza.
Masyarakat yang telah lama menetap di kawasan itu juga mempunyai ikatan emosi yang mendalam terhadap reka bentuk masjid tradisional yang dikenali sejak sekian lama.
Namun, memiliki reka bentuk tradisional tidak semestinya menjamin kemudahan yang lengkap dan sesuai.
Dengan penduduk warga emas yang meningkat, masjid perlu dilengkapi lif, laluan mesra pengguna, tempat letak kereta, serta ruang fleksibel untuk pelbagai kegiatan masyarakat – sesuatu yang sukar dicapai tanpa peningkatan struktur.
Namun, apa yang lebih penting ialah walau setiap masjid mempunyai reka bentuk berbeza, ia harus menjadi institusi yang mampu menyatukan masyarakat.
Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah juga sebagai pusat menimba ilmu dan memperkukuh hubungan sosial.
Seperti yang pernah dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, ketika mengumumkan anggota jawatankuasa bagi pembinaan masjid Tampines North di Masjid Alkaff Kampung Melayu baru-baru ini, masjid merupakan lebih daripada tempat ibadah.
“Masjid kita merupakan institusi yang memenuhi keperluan sosial agama masyarakat Islam seperti memberi panduan rohani, memupuk keharmonian sosial dan menyokong pembangunan agama,” ujarnya.
Dalam usaha kita menuju kemajuan, sesetengah perkara seperti reka bentuk tradisional mungkin terpaksa dikorbankan.
Namun, selagi masjid terus berperanan sebagai pusat penyatuan rohani dan sosial, identitinya tetap utuh – tidak kira bagaimana rupanya berubah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg