Selepas lima tahun menganggur, seorang pesakit dialisis akhirnya dapat membawa keluarganya keluar makan dan membayar harga hidangan itu dengan wang hasil pendapatannya sendiri.

Bagi Pekerja Sosial Utama, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Encik Mohamed Naser Zainol, 49 tahun, detik itu menjadi antara pengalaman yang paling mengingatkannya tentang mengapa beliau harus terus membantu pesakit agar dapat kembali bekerja.

“Pengalaman kami sendiri sebagai pekerja sosial di barisan hadapan menunjukkan bahawa dalam banyak kes, pesakit mula melihat diri mereka semata-mata sebagai pesakit.

“Mereka tidak lagi melihat diri mereka sebagai seorang bapa, ibu, suami, pasangan atau anak yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

“Kami mahu mengubah pemikiran itu supaya pesakit tidak hanya melihat diri mereka sebagai seorang pesakit,” jelas Encik Naser, yang telah bekerja di barisan hadapan pertubuhan itu selama 11 tahun.

Bagi beliau, kisah pesakit itu menggambarkan satu hakikat yang dekat dengan hatinya, iaitu pekerjaan bukan sekadar untuk meraih sumber pendapatan, malah dapat mengembalikan jati diri, keyakinan dan maruah seseorang.

Namun, perjalanan untuk kembali bekerja bukan mudah bagi sebahagian pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

Menurut Encik Naser, beliau melihat sendiri bagaimana pesakit berdepan stigma daripada majikan yang menganggap mereka tidak berupaya menjalankan tugas dengan baik.

Akibatnya, permohonan pekerjaan mereka berulang kali ditolak, sekali gus menjejas harga diri dan keyakinan mereka.

Pasukan program NKF, EMPower+ terdiri daripada (dari kiri) Ketua Program , Encik Irfan Aurangzeb; Ketua Program Cik Jasmine Koh; Ketua Program Kanan, Encik Rajagopalan Srikanthan; Pekerja Sosial Utama, Encik Mohamed Naser Zainol; Timbalan Ketua, Encik Saiful Nizam Jemain; Ketua Program, Encik Muhammad Shafiq Abdul Rahman; dan Pekerja Sosial, Encik Chia De Jun. Tidak kelihatan ialah Ketua Program, Cik Tiffany Yong. Encik Naser, Encik Srikanthan, Cik Koh dan Cik Yong, merupakan antara penerima Anugerah Berpasukan semasa penyampaian Anugerah Karyawan Perkhidmatan Sosial yang diadakan pada 11 September.
Pasukan program NKF, EMPower+ terdiri daripada (dari kiri) Ketua Program , Encik Irfan Aurangzeb; Ketua Program Cik Jasmine Koh; Ketua Program Kanan, Encik Rajagopalan Srikanthan; Pekerja Sosial Utama, Encik Mohamed Naser Zainol; Timbalan Ketua, Encik Saiful Nizam Jemain; Ketua Program, Encik Muhammad Shafiq Abdul Rahman; dan Pekerja Sosial, Encik Chia De Jun. Tidak kelihatan ialah Ketua Program, Cik Tiffany Yong. Encik Naser, Encik Srikanthan, Cik Koh dan Cik Yong, merupakan antara penerima Anugerah Berpasukan semasa penyampaian Anugerah Karyawan Perkhidmatan Sosial yang diadakan pada 11 September. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Keadaan yang sering dilihatnya ialah salah faham di tempat kerja yang menyebabkan pesakit akhirnya meninggalkan pekerjaan mereka.

Dalam satu kes, seorang pesakit yang bekerja di sebuah restoran terpaksa memilih sama ada meninggalkan tempat kerja untuk menghadiri sesi dialisis pada 6 petang, atau terus bekerja apabila pekerja yang sepatutnya menggantikannya lewat tiba.

Pengurusnya pula tidak membenarkannya meninggalkan tempat tugas.

Pengalaman seperti itu menunjukkan masih terdapat jurang kefahaman dalam kalangan majikan mengenai keadaan pesakit dialisis, kata Encik Naser, bapa dua orang anak berusia 11 dan 14 tahun.

Bagi merapatkan jurang itu, Encik Naser bersama tujuh rakan sepasukannya daripada pasukan program NKF menghasilkan EMPower+, satu inisiatif khusus untuk membantu pesakit dialisis kembali ke alam pekerjaan.

Program itu menyediakan latihan, khidmat padanan pekerjaan serta sesi penerangan kepada majikan bagi membantu menghapuskan stigma terhadap pesakit buah pinggang di tempat kerja.

Tugas Encik Naser termasuk membantu pesakit menangani tekanan emosi akibat penolakan berulang daripada majikan dan membina semula keyakinan diri mereka yang terhakis.

Melalui sesi penerangan untuk majikan yang diadakan setiap bulan dan dikenali sebagai ‘Learning Journeys’ (perjalanan pembelajaran), majikan diberi penerangan mengenai jadual rawatan dialisis, selain menjelaskan salah faham umum berkaitan keadaan kesihatan pesakit.

Mereka turut menunjukkan bagaimana penyesuaian kecil, seperti mengubah waktu syif atau memulakan pekerja dengan waktu kerja yang lebih singkat, boleh membolehkan pesakit menjalankan tugas dengan berkesan tanpa menjejas operasi perniagaan.

Usaha itu turut dilengkapi Kaki Corner Cafe milik NKF, sebuah pusat latihan yang memberi peluang kepada pesakit yang kurang berkeyakinan untuk menjalani latihan sambil bekerja.

Di situ, mereka mempelajari kemahiran seperti membuat kopi dan memberikan khidmat kepada pelanggan, sambil membina semula keyakinan untuk berinteraksi dengan orang lain.

Selepas menjalani latihan tersebut, peserta berpeluang menjalani latihan di tempat kerja luar sebelum mendapatkan pekerjaan tetap.

Bagi Cik Azliza Aman, 57 tahun, yang menyertai program itu, EMPower+ mengembalikan sinar harapan dalam kehidupan:

“Melalui program Kaki Corner, saya mempelajari kemahiran membuat kopi dan ini memberi saya keyakinan dan peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

“Saya juga mahu memberi kembali kepada masyarakat.

“Kini, saya sesekali menjadi mentor di Kaki Corner untuk membantu membimbing pelatih baharu,” kata beliau.

Seorang lagi penerima manfaat, Cik Azrinah Azhar, 42 tahun, berkata program itu membantunya kembali ke pasaran pekerjaan.

“Pameran pekerjaan membuka peluang baharu untuk saya. Ia memberi saya peluang berhubung dengan majikan.

“Pendedahan itu meningkatkan keyakinan saya dalam mencari pekerjaan dan akhirnya membantu saya mendapatkan pekerjaan,” ujar beliau, yang bertugas di restoran makanan segera, Burger King.

Atas sumbangan mereka dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta menggalakkan peluang pekerjaan yang bersifat terangkum dalam sektor perkhidmatan masyarakat, Encik Naser dan tiga rakan sepasukannya menerima Anugerah Pasukan dalam Anugerah Profesional Perkhidmatan Sosial yang diadakan di Parkroyal Collection Marina Bay pada 11 September.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Pasukan itu menerima wang tunai $10,000, sebuah piala dan sijil individu.

Bagi Encik Naser, anugerah itu menjadi penghargaan terhadap ketabahan pesakit buah pinggang, selain mengingatkannya kepada mesej yang ingin disampaikannya kepada setiap majikan di Singapura.

“Ramai pesakit tidak kehilangan keupayaan untuk bekerja, tetapi mereka kehilangan kepercayaan bahawa masih ada orang yang mahu mengambil mereka bekerja.

“Mereka tidak mahu dikasihani. Mereka hanya mahukan peluang,” kata Encik Naser.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti