Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila niaga dari rumah bukan lagi sekadar ‘jual makanan’
Ekosistem HBB semakin matang, namun pengusaha berdepan cabaran tonjol diri, jaga keuntungan, pembangunan jenama serta kembang secara mampan
Daripada mengambil tempahan menerusi WhatsApp dan Instagram kepada membina identiti jenama, menghasilkan kandungan media sosial dan menyertai wadah e-dagang, landskap perniagaan dari rumah (HBB) di Singapura kini semakin rancak.
Jika semasa pandemik Covid-19 ramai menceburi HBB untuk meraih pendapatan sampingan, kini semakin ramai pengusaha mengendalikannya sebagai perniagaan serius dengan cita-cita jangka panjang.
Namun, apabila semakin banyak HBB bersaing merebut perhatian pelanggan, menghasilkan produk yang baik sahaja tidak lagi mencukupi.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Malik Abdul Hassan, berkata HBB dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam bukan sahaja kekal berdaya tahan selepas pandemik, malah sebahagiannya terus berkembang.
Menurutnya, apa yang bermula sebagai keperluan semasa pandemik kini berkembang menjadi laluan keusahawanan yang berdaya maju, dengan DPPMS terus menerima pendaftaran HBB setiap tahun.
“Bagi ramai anggota masyarakat kita, khususnya golongan ibu, ini merupakan peluang untuk membina perniagaan tanpa perlu mengorbankan masa bersama keluarga.
“Kos permulaan yang agak rendah juga menjadikan bidang keusahawanan ini lebih mudah diceburi,” jelas Encik Malik.
Menurut laman web Agensi Makanan Singapura (SFA), HBB yang menjual makanan tidak memerlukan lesen SFA untuk beroperasi, namun tetap perlu mematuhi syarat keselamatan makanan tertentu.
Antaranya, pengusaha tidak dibenarkan menawarkan khidmat katering, menjual makanan kepada peruncit, atau menyediakan makanan di rumah untuk dijual di bazar sementara.
Menurut Encik Malik, perubahan paling ketara sejak pandemik adalah dari segi pemikiran pengusaha.
Beliau berkata semakin ramai tidak lagi menganggap HBB sekadar cara memperoleh wang tambahan, sebaliknya berusaha membina mata pencarian mampan dengan meningkatkan operasi, melaburkan semula keuntungan serta mendapatkan pensijilan keselamatan makanan.
Pemerhatian serupa dikongsi pengasas wadah e-dagang, Neibr, Cik Mellisa Abdullah, 31 tahun, yang berkata pengusaha kini memberi perhatian bukan sahaja kepada tempahan, malah pelanggan berulang, kecekapan operasi dan pembangunan jenama.
Neibr merupakan wadah e-dagang yang menyenaraikan lebih 60 HBB berserta produk mereka, selagi gus memudahkan pelanggan menemui dan membuat tempahan.
Menurut Cik Mellisa, ketika Neibr diperkenalkan pada Jun 2025, kebanyakan pengusaha masih bergantung hampir sepenuhnya pada Instagram dan WhatsApp, dengan tempahan direkodkan secara manual.
“Semasa dan sejurus selepas pandemik, ramai memulakan HBB sebagai pendapatan sampingan.
“Hari ini, kami melihat pengusaha menganggapnya sebagai perniagaan sebenar dengan cita-cita jangka panjang.
“Mereka melabur dalam penjenamaan, pembungkusan, pengalaman pelanggan dan sistem, bukan sekadar menjual makanan,” katanya.
Produk baik sekadar ‘tiket masuk’
Namun, kemudahan memulakan HBB turut meningkatkan persaingan untuk mendapatkan pelanggan, kata Encik Malik.
“Produk yang baik tidak lagi mencukupi. Ia hanyalah tiket untuk memasuki pasaran, bukan lagi faktor yang membezakan sesebuah perniagaan,” terangnya.
Menurutnya, penjenamaan, penceritaan, fotografi produk, pembungkusan profesional, dan identiti jenama yang jelas kini penting untuk membina kepercayaan pelanggan.
Cik Mellisa berkata jangkaan pengguna turut meningkat, dengan pelanggan kini menilai bukan sahaja mutu makanan, malah konsistensi produk, harga, persembahan, ulasan, piawaian kebersihan dan kemudahan membuat tempahan.
Malah, tambahnya, kandungan media sosial pula kini ibarat “wajah kedai” bagi HBB yang tidak mempunyai kedai fizikal.
“Pengusaha HBB yang menunjukkan prestasi baik bukan sekadar menjual makanan, tetapi mereka membina jenama.
“Mereka tahu siapa pelanggan mereka, berkomunikasi secara konsisten, dan memberi sebab untuk pelanggan kembali.
“Pemasaran bukan sesuatu yang dilakukan selepas memasak, sebaliknya ia sebahagian daripada perniagaan itu sendiri,” kata Cik Mellisa.
Beliau menambah bahawa penceritaan atau ‘storytelling’ turut membantu pelanggan mengenali individu di sebalik sesebuah HBB, lantas mewujudkan hubungan yang sukar ditiru jenama yang lain.
Namun, tuntutan pemasaran menambah beban pengusaha yang sudah perlu menghasilkan produk dan mengurus operasi, dengan Cik Mellisa berkata ada yang menghabiskan masa hampir sama banyak untuk pemasaran seperti menyediakan makanan.
Encik Malik pula berkata antara cabaran utama HBB adalah mendapatkan pelanggan baharu tanpa kehadiran digital dan kedudukan jenama yang kukuh, di samping mengurus kos bahan, pembungkusan dan pengeluaran.
Wadah niaga buka laluan kepada pelanggan baharu
Dalam usaha mendapatkan pendedahan lebih luas, pengusaha HBB kini mempunyai pilihan wadah e-dagang seperti Neibr, selain bergantung kepada media sosial.
Satu lagi pilihan ialah Offerly, wadah percuma yang dibangunkan pengasas bersama Viral Vizions, Encik Khairulanwar Razali, 25 tahun, dan Encik Muhammad Afiq Syahiran, 30 tahun.
Offerly kini menyenaraikan lebih 2,700 perniagaan dan membolehkan pengguna mencari produk serta khidmat halal berdasarkan lokasi dan ulasan.
“Pengusaha HBB memerlukan bantuan pemasaran tetapi mungkin tidak mampu membayarnya.
“Kami melihat ada jurang dalam pasaran dan mahu membantu mereka mendapat pendedahan,” jelas Encik Khairulanwar.
Menurutnya, sesetengah pengusaha mempunyai produk menarik tetapi kurang pengetahuan digital untuk memasarkannya dengan berkesan.
Encik Afiq pula berkata Offerly mahu mengurangkan pendekatan ‘pay to win’, di mana perniagaan dengan belanjawan pengiklanan lebih besar mempunyai kelebihan dalam hasil carian.
“Kebanyakan HBB tidak mempunyai bajet sebesar jenama besar. Malah, hasil carian Google yang ditaja boleh diberi keutamaan berbanding perniagaan lain,” kongsinya.
Neibr pula menggabungkan proses penemuan, tempahan dan pembayaran dalam satu wadah, selain menganjurkan acara yang membolehkan pengusaha bertemu pelanggan secara bersemuka.
Menurut Cik Mellisa, wadah sedemikian turut mewujudkan “kesan rangkaian”, apabila perhatian terhadap satu HBB mendorong pelanggan meneroka perniagaan lain dalam wadah sama.
“Daripada setiap HBB perlu menarik pelanggan sepenuhnya dengan usaha sendiri, Neibr mewujudkan keterlihatan bersama.
“Kejayaan satu perniagaan boleh memperkenalkan pelanggan kepada banyak perniagaan lain,” katanya.
Belum tentu untung walau ada lebih pendedahan
Namun, pendedahan lebih luas tidak semestinya membawa keuntungan lebih tinggi.
Pengasas bersama 160 Works, Encik Dinie Rahman, yang menawarkan khidmat perundingan pemasaran kepada perniagaan termasuk HBB, berkata wadah seperti Grab boleh membuka saluran jualan baharu dan membantu pengusaha menjangkau pelanggan dalam lingkungan penghantaran mereka.
Namun, pengusaha perlu memahami kos di sebalik kemudahan itu, katanya.
“Setelah mengambil kira komisen wadah, yuran transaksi, pengiklanan dan kos pemasaran, jumlah potongan boleh mencecah sekitar 45 peratus daripada hasil jualan.
“Selepas mengambil kira kos bahan masakan, pembungkusan, tenaga kerja dan perbelanjaan lain, margin bersih bagi sesetengah produk pula boleh menjadi serendah 10 peratus,” dedah beliau.
Menurut Encik Dinie, tanggapan HBB menikmati margin keuntungan tinggi kerana tidak membayar sewa juga kurang tepat kerana yuran wadah boleh menghakis sebahagian besar keuntungan.
Persoalan kos dan keterlihatan HBB turut menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pengguna Threads.
Pengguna ‘Nbskyyy’, yang nama benarnya Encik Nabill Shukry Johary, pemilik perniagaan makanan Cheekies, menggesa pengusaha HBB memanfaatkan wadah e-dagang bagi menjangkau pelanggan baharu meskipun perlu menanggung kos komisen.
Namun, pengguna ‘rawdeey4h’ membangkitkan isu kos penghantaran HBB yang boleh mencecah $10 hingga $15, sekali gus menyebabkan pembelian dalam jumlah kecil kurang berbaloi.
Pengguna ‘nuzjbm’ pula berkata wadah penghantaran mengenakan potongan yang besar terhadap peniaga, sedangkan HBB tidak semestinya menikmati harga bahan mentah lebih murah seperti sesetengah perniagaan lebih besar.
Bukan semua HBB perlu buka kedai
Menurut Encik Malik, wadah seperti Grab, Offerly dan Neibr memberi HBB peluang menarik perhatian tanpa memerlukan kedai fizikal atau belanjawan pemasaran besar.
Namun, beliau berkata keterlihatan sahaja tidak menjamin kejayaan.
“Pemasaran telah berubah daripada sekadar berusaha keras mendapatkan perhatian kepada satu permainan ‘discoverability’ (kemudahan untuk ditemui pelanggan). Berada di wadah yang betul kini sama pentingnya dengan produk,” jelas Encik Malik.
Menurut Cik Mellisa, bagi HBB yang sudah mempunyai pelanggan setia pula, cabaran seterusnya adalah mencari cara untuk berkembang secara mampan.
Beliau berkata sesetengah pengusaha mencapai tahap di mana kapasiti rumah tidak lagi mencukupi, tetapi mereka belum bersedia menanggung kos dapur pusat atau kedai fizikal.
Menurutnya, pilihan bagi pengusaha yang berada di antara kedua-dua tahap itu masih terhad.
Beliau berharap lebih banyak laluan pertumbuhan secara bertahap dapat diwujudkan, termasuk kerjasama dengan peruncit kejiranan, kedai serbaneka, atau ruang masyarakat, sambil memastikan piawaian keselamatan makanan dipatuhi.
Encik Malik pula berkata kedai fizikal tidak semestinya menjadi matlamat terakhir setiap HBB.
Menurutnya, pengusaha yang mahu mengambil langkah itu perlu mempunyai rekod kewangan yang kukuh serta memahami kos operasi, permintaan pelanggan dan aliran tunai.
“Kedai fizikal harus menjadi tahap pertumbuhan yang dirancang dengan teliti, bukan semata-mata langkah seterusnya hanya kerana sesebuah perniagaan itu sudah popular,” katanya.
Bagi perniagaan seperti Ground Floor Coffee, yang bermula sebagai HBB, ruang fizikal bukan semata-mata untuk mengikut trend, tetapi bagi membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan.
Ada pula HBB seperti kendalian Cik Idah Mariyani Mohamed Sahid yang terus berniaga kuih dari rumah, sambil memanfaatkan beberapa wadah e-dagang untuk menjangkau lebih ramai pelanggan.
