Topik diikuti
Pergi ke BHkuGround Floor Coffee rebut peluang tinggalkan dunia HBB ke kafe
Keputusan bukan semata-mata ikut trend, tetapi bagi buka lebih banyak peluang kembangkan perniagaan
Daripada menjual kopi melalui tingkap rumahnya di Pasir Ris, Ground Floor Coffee (GFC) kini sudah beroperasi dari sebuah kafe di East Village, Upper Changi Road.
Bagi pengasasnya, Encik Adhwa Hasif, peralihan perniagaan dari rumah (HBB) ke ruang fizikal bukan semata-mata untuk mengikut trend, tetapi bagi membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan.
GFC bermula pada awal 2022 dan dengan pantas mendapat perhatian kerana konsep uniknya menyajikan kopi istimewa menerusi tingkap flat HDB.
Menurut Encik Hasif, ketika itu kebanyakan pelanggan HBB mengambil pesanan yang digantung di pagar rumah.
Beliau sebaliknya mahu mewujudkan pengalaman lebih mesra dengan memberi sendiri minuman kepada pelanggan.
“Beberapa saat interaksi itu sangat penting kerana ia mewujudkan kesetiaan dan kepercayaan. Lagipun, kita berada dalam industri hospitaliti seperti F&B (makanan dan minuman),” katanya.
Konsep itu kemudian tular di TikTok, sekali gus melonjakkan jumlah pengikut GFC di media sosial.
Namun, Encik Hasif berkata landskap HBB kini jauh lebih berdaya saing berbanding empat tahun lalu, dengan semakin banyak perniagaan menggunakan pendekatan serupa.
Justeru, HBB perlu mempunyai keunikan atau unique selling proposition (USP) yang jelas serta memahami pelanggan sasaran mereka untuk menonjol.
Beliau juga melihat perubahan dalam cara pengguna mengenali sesebuah jenama.
Kini, wadah media sosial seperti Instagram dan TikTok serta ulasan di Google dan aplikasi penghantaran sering menjadi wadah pertama pelanggan sebelum mereka memutuskan untuk berbelanja.
GFC sendiri turut menggunakan platform seperti Grab, yang menurut Encik Hasif membantu memperluas jangkauan terutama ketika hujan dan memperkenalkan kafe itu kepada pelanggan baharu.
Namun, komisen platform boleh menghakis margin keuntungan.
“Atas sebab itu, kami hanya menggunakan aplikasi apabila perlu dan pada hari lain, kami tumpukan kepada pelanggan yang datang sendiri ke kafe kami,” katanya.
Bagi perniagaan baharu, platform sedemikian boleh membantu meningkatkan pendedahan, tetapi pemilik perlu bersedia mengorbankan sebahagian keuntungannya.
Keputusan membuka kafe dua tahun pula dibuat selepas GFC terpaksa melepaskan beberapa peluang kerjasama dan acara ketika masih beroperasi dari rumah kerana tidak memiliki lesen yang diperlukan.
Encik Hasif berkata ketika GFC tular semasa masih beroperasi dari rumah, mereka menerima pelawaan daripada beberapa jenama besar untuk bekerjasama serta menyertai acara dan ‘pop-up’.
Namun, sebahagian peluang itu tidak dapat disahut kerana GFC ketika itu tidak mempunyai lesen yang diperlukan.
“Biasanya, idea kerjasama itu tidak dapat diteruskan apabila timbul soalan, ‘anda ada lesen?’” katanya.
Menurutnya, sebagai HBB, operasi mereka terbatas di rumah. Untuk mendapatkan lesen yang membolehkan perniagaan berkembang ke luar rumah, antara pilihannya adalah menyediakan dapur pusat atau membuka sebuah kafe.
“Dapur pusat tidak masuk akal untuk perniagaan kami, jadi kami memilih untuk membuka kafe,” katanya.
Selepas mempunyai ruang fizikal, GFC mempunyai lebih banyak ruang untuk meneroka kerjasama yang sebelum ini sukar dilaksanakan. Antaranya ialah kerjasama dengan New Balance bagi kempen Grey Days 2026.
Bagaimanapun, Encik Hasif menegaskan bahawa memiliki kedai fizikal tidak secara automatik menjamin lebih banyak kerjasama atau tempahan korporat.
“Kos sewa, utiliti, tenaga kerja, lesen dan operasi jauh lebih tinggi berbanding ketika berniaga dari rumah.”
Beliau sendiri masih merindui kelebihan menjadi HBB, terutama dapat bekerja sambil berada dekat dengan anak-anak.
Nasihatnya kepada HBB yang mahu berkembang, jangan terburu-buru.
“Kenal pasti USP anda, buat analisis SWOT (Strength, Weakness, Opportunity and Threat atau Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman) dengan jujur dan lihat sama ada anda benar-benar bersedia menanggung risiko,” katanya.
Baginya, kejayaan tidak semestinya bermaksud memiliki kedai fizikal.
Jika perniagaan dari rumah masih mampan dan memenuhi matlamat pemiliknya, model HBB juga boleh kekal sebagai pilihan jangka panjang.
