Bagi Cik Idah Mariyani Mohamed Sahid, dapur rumahnya bukan sekadar tempat menyediakan makanan buat keluarga, malah menjadi ruang untuk beliau mencari ketenangan di tengah-tengah kesibukan menguruskan tiga anak berusia sembilan, tujuh dan tiga tahun.

Di situlah mantan pegawai perpustakaan kanan itu menghidupkan minatnya membuat kuih menerusi perniagaan dari rumah (HBB) beliau, I.M Collectionz, secara sepenuh masa.

“Bidang membuat kuih memang sudah lama menjadi antara perkara yang ingin saya ceburi. Tetapi, dahulu dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab lain, saya tidak berpeluang untuk benar-benar memberikan tumpuan kepadanya,” terangnya.

Menurut Cik Idah, 39 tahun, minat tersebut sebenarnya berputik daripada ibunya, seorang suri rumah yang mengambil tempahan kuih setiap kali menjelang Hari Raya, dengan beliau sering membantu menyiapkannya.

Beliau kemudian mula mengambil tempahan sendiri pada 2008, dengan kek cawan (cupcake) red velvet bersalut krim keju antara produk terawalnya, sambil bekerja sebagai kakitangan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Namun, jadual kerja syif – sama ada dari 8 pagi hingga 6 petang atau 11 pagi hingga 9 malam – menyebabkan beliau sering terpaksa menolak tempahan.

Keadaan berubah selepas kelahiran anak sulungnya pada 2017, apabila Cik Idah mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun untuk menjaganya sebelum meninggalkan NLB pada 2019 selepas hampir sedekad berkhidmat.

“Dengan sokongan suami yang menggalak saya menjadi suri rumah, saya akhirnya berpeluang memberi lebih perhatian kepada minat yang sekian lama terpaksa saya ketepikan itu,” ujarnya.

Kini, Cik Idah meluangkan masa membuat kuih apabila anak-anaknya tidur atau sibuk dengan kerja sekolah, malah ada kalanya berada di dapur hingga lewat malam bagi menyiapkan tempahan.

Namun, bagi beliau, kepuasan terbesar bukan sekadar menghasilkan kuih, tetapi kepercayaan yang diberikan pelanggan kepadanya.

Menurut Cik Idah, sifatnya yang gemar berinteraksi dengan orang ramai terserlah apabila beliau mengendalikan perpustakaan masyarakat ketika masih menetap di Punggol dengan niat berkongsi minat membaca dengan jiran tetangga, sebelum menutupnya selepas berpindah ke Tampines pada lewat 2025.

Setelah suaminya mendorongnya untuk berhenti bekerja, Cik Idah akhirnya berpeluang memberi lebih perhatian kepada minatnya dalam membuat kuih dan mengusahakan perniagaannya dari rumah.
Setelah suaminya mendorongnya untuk berhenti bekerja, Cik Idah akhirnya berpeluang memberi lebih perhatian kepada minatnya dalam membuat kuih dan mengusahakan perniagaannya dari rumah. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Semangat kemasyarakatan itu kini diteruskannya menerusi I.M Collectionz, antaranya dengan menghimpunkan pengusaha HBB di kawasan kejiranannya untuk berkenalan, berkongsi pengalaman dan saling menyokong.

“Saya tidak melihat pembuat kuih lain sebagai pesaing. Walaupun kami menjual makanan sama, persaingan tidak pernah ada dalam kamus saya.

“Bagi saya, yang penting adalah semangat kebersamaan. Saya sokong pembuat kuih lain dan saya harap mereka juga menyokong saya,” katanya.

Meskipun bersyukur suaminya mampu menyara keluarga, Cik Idah berkata beliau mengusahakan I.M Collectionz bagi meraih pendapatan tambahan untuk meringankan beban kewangan suaminya.

Cik Idah meluangkan masa membuat kuih untuk pelanggan I.M Collectionz apabila ketiga-tiga anaknya tidur atau sibuk dengan kerja sekolah.
Cik Idah meluangkan masa membuat kuih untuk pelanggan I.M Collectionz apabila ketiga-tiga anaknya tidur atau sibuk dengan kerja sekolah. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Justeru, beliau mendaftar perniagaannya di bawah beberapa wadah e-dagang yang menyediakan ruang bagi HBB menyenaraikan produk mereka, di samping memudahkan pelanggan menemui perniagaan milik Muslim.

Menurut Cik Idah, penyertaannya dalam wadah tersebut membantunya menjangkau pelanggan baharu dan meraih antara 10 hingga 12 tempahan dalam tempoh sebulan, berbanding ada kalanya langsung tidak menerima tempahan sebelum itu.

“Selain daripada minat, saya berniaga kerana mahu mendapat sedikit pendapatan tambahan untuk bantu suami dari segi kewangan dan menyumbang kepada perbelanjaan isi rumah.

“Saya bersyukur dengan apa jua rezeki yang dikurniakan kepada kami,” jelasnya.