Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadet pakar pelatih RSN atasi cabaran mabuk laut untuk bina ketahanan diri
Kadet pakar pelatih RSN atasi cabaran mabuk laut untuk bina ketahanan diri
Dua pelatih Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) merupakan antara 1,060 Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang tamat latihan intensif selama 22 minggu di Sekolah Kadet Pakar (SCS) pada 21 Mei. Sementara itu, seorang pelatih wanita muncul sebagai penerima Pedang Merit selepas 38 minggu di Sekolah Pegawai Kadet (OCS). Berita Harian (BH) melaporkan.
Kadet pakar pelatih RSN atasi cabaran mabuk laut untuk bina ketahanan diri
Bagi Kadet Pakar Pelatih (SCT) Muhammad Adryan Muhammad Ridzal, cabaran paling getir sepanjang tempoh Perkhidmatan Negara (NS) bukan datang daripada lautan itu sendiri, tetapi daripada usaha menyesuaikan diri dengan kehidupan di atas kapal, di samping perlu bergelut dengan keadaan mabuk laut.
Namun, pemuda berusia 22 tahun itu enggan membiarkan keadaan itu melemahkan semangatnya.
Sebaliknya, lulusan Sijil Nitec Lanjutan Kejuruteraan Marin daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central itu, menjadikan setiap cabaran di laut sebagai pengalaman yang membentuk daya ketahanan diri, disiplin dan keyakinannya sebagai anggota Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).
“Pada awalnya memang susah.
“Saya mabuk laut dan perlu membiasakan diri dengan keadaan di atas kapal,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Kem Pasir Laba, baru-baru ini.
SCT Muhammad Adryan merupakan antara 1,060 Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang tamat latihan dan menerima pangkat sarjan, sempena Perbarisan Tamat Kursus Kadet Pakar Pelatih 67/25 pada 21 Mei lalu, selepas menjalani latihan intensif selama 22 minggu di Sekolah Kadet Pakar (SCS).
Daripada jumlah itu, 33 lulusan tamat latihan bersama RSN.
Sebagai pakar senjata dek, beliau bertanggungjawab mengendalikan dan menyelenggara sistem persenjataan kapal perang bersama pasukannya.
Menurut SCT Muhammad Adryan, pengalaman di RSN jauh berbeza daripada jangkaannya sebelum menyertai SCS.
Beliau menjangkakan latihan lebih tertumpu kepada daya ketahanan fizikal, tetapi realitinya beliau juga perlu memahami pelbagai sistem teknikal dan operasi kapal dalam tempoh singkat.
“Bukan sekadar kemahiran fizikal yang saya terokai. Banyak perkara teknikal yang perlu dipelajari dan difahami dengan cepat,” katanya.
Sebagai sebahagian latihan di Institut Pakar Ketenteraan Tentera Laut, beliau menjalani latihan praktikal melibatkan kawalan kerosakan, mengemudi kapal, memahami sistem persenjataan serta prosedur memuat dan mengeluarkan senjata dengan selamat di atas kapal.
Menurutnya, pelayaran operasi yang berlangsung untuk beberapa hari hingga beberapa minggu, turut menguji daya tahan mental dan fizikal setiap anggota.
Namun, sedikit demi sedikit, beliau mula menyesuaikan diri dengan kehidupan di laut, hasil sokongan rakan-rakan seangkatan yang dianggap seperti keluarga sendiri.
“Apabila seorang tak faham, yang lain akan bantu. Kami semua rapat sebab lalui cabaran bersama,” katanya.
Mereka saling berkongsi nota, mengingatkan satu sama lain dan saling membantu ketika latihan menjadi semakin mencabar.
Yang menariknya, SCT Muhammad Adryan juga, tidak menyangka ilmu Kejuruteraan Marin yang pernah dipelajari di ITE dapat digunakan semula semasa menjalani latihan di laut.
“Dulu saya belajar tentang bahagian kapal dan sistem apabila berada di dalam kelas.
“Saya tidak sangka sekarang saya dapat melihat dan menggunakannya semasa NS,” katanya.
Anak bongsu tiga beradik itu berkata pengalaman di RSN turut membantunya menjadi lebih terbuka dan yakin berkomunikasi dengan orang lain.
Kini, beliau berharap dapat melanjutkan pengajian diploma dalam bidang kejuruteraan selepas tamat NS.
Namun, lebih daripada kemahiran teknikal, beliau percaya pengalaman di laut telah mengubah dirinya menjadi insan yang lebih matang dan kuat daripada sebelumnya.
“Saya rasa saya sudah berkembang menjadi seorang yang lebih baik,” katanya.
“
“Pada awalnya memang susah. Saya mabuk laut dan perlu membiasakan diri dengan keadaan di atas kapal.”