Inspirasi menggalas amanah besar dan mengharungi latihan mencabar selama 38 minggu di Sekolah Pegawai Kadet (OCS) tercetus hasil daripada melihat bapanya melaksanakan tugas sebagai pegawai infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Meskipun bapanya, Mejar (Bersara) Aidil Juma’at sudah bersara daripada amanah ketenteraannya itu, Leftenan Muda (2LT) Aleena Adil tetap menjadikan kata-kata perangsang bapanya dalam mengharungi latihan Kadet Pegawai Pelatih (OCT) yang mencabar selama 38 minggu di Sekolah Pegawai Kadet (OCS).

Dengan tamatnya latihan tersebut, 2LT Aleena, 20 tahun, turut bersyukur disampaikan dengan Pedang Merit, yang diberikan kepada 10 peratus pelatih terbaik di OCS.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), 2LT Aleena, anak bongsu dua beradik, menjelaskan beliau begitu bersemangat memburu cita-citanya dalam bidang ketenteraan setelah mengamati tingkah laku Mejar Aidil.

Bapanya bukan sekadar seorang askar, malah merupakan individu yang tekun membimbing dan gigih menyokong orang lain.

Menurut 2LT Aleena, pengalaman melihat orang ramai menegur bapanya di tempat awam dan berkongsi penghargaan terhadap kepimpinannya, meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

“Dari situ saya sedar seorang pemimpin boleh memberi impak besar kepada orang lain,” katanya.

Didorong teladan tersebut, 2LT Aleena menyertai SAF sebagai pegawai tetap pada April 2025, dan kini berkhidmat dalam Unit Infantri Bermotor Tentera Darat Singapura.

2LT Aleena Aidil (barisan paling belakang) bersama rakan sekursus di Sekolah Pegawai Kadet (OCS), yang banyak memberi sokongan sepanjang latihan.
2LT Aleena Aidil (barisan paling belakang) bersama rakan sekursus di Sekolah Pegawai Kadet (OCS), yang banyak memberi sokongan sepanjang latihan. - Foto ihsan ALEENA AIDIL

Menurutnya, bapanya banyak menekankan kepimpinan bukan sekadar memberi arahan, tetapi dibina atas kepercayaan dan keprihatinan dalam memahami kehendak anggota bawahan.

“Kalau kita memahami orang yang kita pimpin, mereka akan percaya dan ikut kita,” ujarnya.

Sebelum menyertai SAF, 2LT Aleena merupakan pelajar Maktab Rendah Katolik (CJC) dan aktif dalam bidang sukan serta tugas kepimpinan.

Beliau pernah menyandang jawatan Kapten Pasukan Olahraga CJC serta terlibat dalam peranan kepimpinan pelajar.

Pengalaman tersebut membentuk pendekatan kepimpinannya, yang mengutamakan sokongan dan hubungan sesama anggota, terutama ketika menjalani latihan di OCS yang menuntut ketahanan fizikal dan mental.

“Sewaktu di CJC, saya mahu rakan sepasukan rasa disokong, bukan sahaja sebagai atlet tetapi sebagai individu,” katanya.

2LT Aleena mengakui antara cabaran paling sukar yang ditempuhi dalam tugas ketenteraan ialah latihan hutan di luar negara, yang memerlukan daya tahan tinggi serta semangat berpasukan.

Namun, sokongan rakan sekursus menjadi faktor penting yang membantu beliau terus bertahan.

“Walaupun semua penat, kami tetap saling memberi semangat. Sokongan itu sangat membantu,” katanya.

Menurutnya, hubungan yang terjalin sepanjang latihan menjadikan beliau lebih rapat dengan anggota platunnya, malah menjadi antara sebab beliau bersemangat untuk kembali ke kem setiap minggu.

Selain rakan seperjuangan, 2LT Aleena turut meraih dorongan kuat daripada keluarganya, terutama ibu bapanya yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan menggalakkan beliau agar terus berusaha.

Usahanya membuahkan hasil apabila beliau dianugerahkan Pedang Merit, antara pengiktirafan tertinggi bagi kadet pegawai.

2LT Aleena berkata pencapaian tersebut merupakan hasil usaha gigih yang dilakukan sepanjang latihan, selain sokongan berterusan daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Ia membuatkan saya lebih yakin dengan diri sendiri dan lebih menghargai orang di sekeliling saya,” katanya.

Memandang ke hadapan, 2LT Aleena berharap dapat menjadi seorang pemimpin yang boleh dipercayai dan mampu memberi kesan positif kepada anggota di bawah pimpinannya.

“Bagi saya, kepimpinan bermula dengan memahami orang lain dan membantu pasukan berkembang bersama,” katanya.

 2LT Aleena Aidil (kanan) mendapat sokongan daripada bapanya, Mejar (Bersara) Aidil Juma’at (kiri); ibunya yang ingin dikenali sebagai Cik Siti Hawalia; dan abangnya, Sarjan 3 A’qil Aidil.
 2LT Aleena Aidil (kanan) mendapat sokongan daripada bapanya, Mejar (Bersara) Aidil Juma’at (kiri); ibunya yang ingin dikenali sebagai Cik Siti Hawalia; dan abangnya, Sarjan 3 A’qil Aidil. - Foto ihsan ALEENA AIDIL

Beliau turut menggalakkan golongan muda, khususnya wanita, supaya berani mencuba dan terus berusaha dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Kalau kita berusaha sebaik mungkin, pasti ada hasil yang baik,” tambahnya.

“Bagi saya, kepimpinan bermula dengan memahami orang lain dan membantu pasukan berkembang bersama.”
Leftenan Muda (2LT) Aleena Aidil.