Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas guru agama, 87 tahun, didapati bersalah, cabul budak 6 kali
Pesalah pernah ajar mangsa mengaji, dianggap seperti datuk kedua
Bekas guru agama, 87 tahun, didapati bersalah, cabul budak 6 kali
Seorang bekas guru agama, 87 tahun, didapati bersalah pada 17 November di Mahkamah Negara atas enam kesalahan mencabul seorang budak perempuan antara 2014 dan 2015.
Lelaki tersebut, yang berusia 75 tahun semasa kejadian, pernah mengajar mangsa mengaji dan merupakan kenalan rapat keluarga mangsa.
Dia didakwa mencium dan menyentuh bahagian sulit mangsa, yang ketika itu berusia 9 tahun, beberapa kali di dalam dan luar rumah mangsa serta rumah datuk nenek mangsa.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Berita Harian (BH), lelaki itu pernah berdaftar dan diiktiraf Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk memberikan pengajaran agama.
Keluarga mangsa juga telah menganggapnya sebagai tokoh agama yang dipercayai serta sahabat rapat keluarga itu.
Mangsa, yang kini berusia 21 tahun, melihat pesalah seperti datuk kedua dalam hidupnya.
Nama pesalah tidak dapat didedahkan disebabkan perintah larangan mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.
Keputusan mahkamah itu mengakhiri perbicaraan selama sembilan hari yang dijalankan selepas pesalah menafikan kesemua dakwaan pihak pendakwa.
Namun, semasa penyampaian keputusan, Hakim Daerah Utama Toh Han Li berkata beliau tidak mendapati sebarang keraguan oleh bahan bukti yang dibentangkan pihak pendakwa dan kenyataan mangsa.
APA YANG BERLAKU?
Sebelum kejadian tersebut berlaku pada 2014, pesalah menetap bersama datuk nenek mangsa manakala mangsa menetap bersama ibu bapa di blok berdekatan.
Selepas waktu sekolah, datuk nenek mangsa akan menjemputnya pulang dan sekiranya mereka sibuk, pesalah akan menggantikan tempat mereka untuk menjemput mangsa pulang ke rumah datuk nenek.
Pada hujung minggu pula, ibu mangsa akan menghantar mangsa dan adik ke rumah datuk nenek untuk belajar mengaji dengan pesalah seminggu sekali.
Dua kejadian pertama berlaku pada awal 2014, di mana pesalah mencium mulut dan menyentuh peha serta alat sulit mangsa selepas kelas mengaji.
Pada tahun yang sama, datuk, nenek, dan pesalah berpindah ke rumah mangsa buat setahun kerana rumah datuk nenek mangsa disewakan kepada orang lain.
Sepanjang aturan tempat tinggal sementara itu, terdapat beberapa kali mangsa dan pesalah berseorangan.
Tiga kejadian seterusnya berlaku selepas aturan sementara itu pada 2014 di ruang tamu, balkoni, dan tandas rumah mangsa apabila pesalah menyentuh alat sulit mangsa lagi.
Kejadian terakhir pula berlaku pada 2015 apabila datuk, nenek, dan pesalah telah berpindah semula ke rumah mereka.
Pencabulan terakhir itu berlaku selepas satu lagi kelas mengaji di mana pesalah menyentuh alat sulit mangsa.
Kesemua kejadian tersebut terhenti kerana mangsa melarikan diri atau seorang ahli keluarga hampir menangkap pesalah berbuat demikian.
Menurut dokumen mahkamah lagi, mangsa tidak segera membuat laporan kerana belum memahami bahawa perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan bimbang keluarganya akan lebih mempercayai pesalah, yang dihormati mereka, berbanding dirinya.
Selepas menghadiri kelas pendidikan seksualiti di sekolah pada awal 2015, mangsa menyedari kesalahan perbuatan oleh pesalah.
Pada 1 Mei 2022, mangsa terdengar ibu bapanya bergaduh tentang datuk neneknya dan pesalah di dalam kereta.
Susulan itu, beliau membuat keputusan untuk memberitahu ibunya tentang pencabulan itu kerana menganggap ibu bapanya sudah tidak begitu percaya dengan pesalah akibat pertengkaran itu.
Kemudian, mangsa membuat satu laporan polis pada hari yang sama dan disokong ibu bapanya.
Pesalah telah didakwa atas lapan pertuduhan di bawah Seksyen 354(2) Kanun Keseksaan kerana mencabul seseorang di bawah umur 14 tahun pada 2025.
Menurut pihak pendakwa, hanya enam pertuduhan dibicarakan mahkamah buat masa kini dan dua lagi pertuduhan masih dibincangkan.
Untuk kesalahan bagi setiap pertuduhan, pesalah berdepan hukuman penjara hingga lima tahun, didenda, dirotan, atau sebarang gabungan hukuman yang disebutkan.
Hukuman akan dijatuhkan pada Januari 2027.
