Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pengarah kanan MUIS mengaku bersalah seleweng $68,629, akses e-mel tanpa izin
Seorang bekas pengarah kanan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), baru-baru ini mengaku bersalah mengakses e-mel secara tanpa izin, serta menyeleweng wang sebanyak $68,629.
Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Salah Guna Komputer, dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta secara tidak jujur.
Penjatuhan hukuman terhadap Razak Mohamed Lazim, 59 tahun, yang dijadualkan pada 20 Ogos di Mahkamah Negara telah ditangguhkan ke tarikh lain yang belum ditentukan.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Berita Harian (BH), Razak, yang merupakan bekas pengarah eksekutif Madrasah Irsyad, telah mengakses pelayan e-mel Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah tanpa kebenaran pada 2019.
Ketika masih memegang jawatan di madrasah tersebut, Razak diberikan hak akses ‘super user’ kepada pelayan e-mel madrasah tersebut yang membolehkannya mengakses dan mengkonfigurasi semua akaun e-mel pada pelayan itu.
Pada 2019, Razak telah menggunakan hak akses tersebut untuk membuat satu akaun e-mel baharu pada pelayan madrasah dan menetapkan arahan supaya salinan e-mel yang dihantar ke alamat lamanya diteruskan ke akaun e-mel peribadinya.
Namun, Razak tidak mempunyai kebenaran untuk mengakses pelayan e-mel tersebut atau membuat perubahan berkenaan kerana dia sudah meletakkan jawatannya di madrasah itu.
Menurut dokumen mahkamah lagi, Razak mengakui tidak mendapatkan sebarang kebenaran daripada pengetua, naib pengetua atau ketua jabatan madrasah.
Untuk pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Razak telah disabitkan kesalahan menyeleweng wang sebanyak $68,629 daripada Key-Orient Lamitec Pte Ltd (KOL) kepada Irsyad Trust Limited (ITL).
Sebelum ini, Razak dilantik pengarah eksekutif Irsyad Trust Limited (ITL) pada 1 April 2016, setelah meletak jawatan daripada MUIS dan Madrasah Irsyad.
ITL merupakan sebuah syarikat berasingan yang bertujuan menguruskan projek antarabangsa yang menyokong pendidikan Islam dan pembangunan kapasiti sekolah agama Islam di rantau ini.
Berdasarkan dokumen mahkamah, wang yang diseleweng merupakan bayaran royalti daripada Cambridge University Press India Ptv. Limited kepada KOL untuk cetakan dan terbitan buku teks yang dihasilkan Madrasah Irsyad.
Cambridge kemudiannya membuat tiga bayaran kepada KOL bagi penggunaan naskhah asal buku teks itu.
Bagi bayaran ketiga sebanyak $205,888 pada 4 Februari 2020, KOL perlu membayar $116,671 kepada ITL dan $68,629 kepada madrasah itu.
Namun, pada 7 Februari 2020, Razak memaklumkan KOL untuk memindahkan $185,300 kepada akaun ITL, termasuk $68,629 yang sepatutnya diberikan kepada madrasah, tetapi akhirnya tidak dipindahkan.
Pada 15 Februari 2020, Razak memberitahu pengarah lain dalam satu mesyuarat lembaga pengarah ITL bahawa syarikat itu “membuat derma tahunan sebanyak $20,000 sejak 2017” kepada madrasah.
Lembaga itu bersetuju untuk “membuat derma sebanyak $70,000” kepada madrasah tersebut. Razak kemudian “diberi tugas” oleh lembaga berkenaan untuk mengagihkan “derma” itu kepada Madrasah Irsyad.
Namun, Razak gagal membuat bayaran kepada madrasah hingga 22 Februari 2022 apabila dia menyediakan cek sebanyak $70,000 yang dikeluarkan oleh ITL.
Jumlah ini termasuk $68,629 yang sepatutnya diterima madrasah sebagai bayaran royalti untuk terbitan buku teks.
Namun, madrasah tersebut tidak dapat menerima bayaran itu kerana sedang menjalankan semakan urus niaga kewangan antara madrasah itu dengan ITL.
Pada Jun 2022, Razak dipanggil Jabatan Ehwal Komersial (CAD) untuk membantu siasatan mengenai urusan kewangannya dengan madrasah.
Kemudian, beliau memindahkan $70,000 daripada akaun ITL kepada KOL pada bulan yang sama.
Menurut dokumen mahkamah lagi, Razak telah secara tidak jujur menyalahgunakan wang tersebut yang merupakan milik madrasah mulai 7 Februari 2020.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dua hingga tiga bulan bagi dua pertuduhan yang dihadapi Razak.

