Seorang bekas rakan kongsi sebuah agensi penyiasatan privet didenda $24,000 pada 15 September kerana menjalankan pengawasan terhadap seorang pegawai polis.

Tan Hui Ting, 33 tahun, bersama pengarah urusan firma itu, Tan Kok Boon, 58 tahun, menerima tugas daripada seorang pelanggan pada November 2021 untuk memantau seorang pegawai polis yang terlibat dalam siasatan membabitkan bapa pelanggan itu.

Walaupun mengetahui sasaran itu ialah pegawai yang bertugas di Kompleks Polis Cantonment (PCC) – tempat terlindung di bawah Akta Perlindungan Infrastruktur – CDiC Consultants tidak mendapatkan kelulusan Jabatan Kawal Selia Polis untuk menjalankan pengawasan tersebut.

Pada 15 September, Tan mengaku bersalah atas satu tuduhan menjalankan penyiasatan privet sulit tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pegawai pelesenan.

Rekod perniagaan menunjukkan dia meletak jawatan sebagai rakan kongsi CDiC pada Mei 2025.

Sebelum ini pada 14 Julai, Tan didenda $25,000, manakala CDiC didenda $20,000 kerana menyediakan perkhidmatan penyiasatan privet tanpa kebenaran.

Mahkamah diberitahu bahawa seorang lelaki dikenali sebagai Pai Hong Yao menghubungi CDiC pada November 2021 untuk mengawasi seorang pegawai polis yang terlibat dalam siasatan membabitkan bapanya.

Pai mendakwa tidak berpuas hati dengan layanan terhadap bapanya semasa siasatan.

Mahkamah diberitahu bahawa Pai mahu penyiasat privet menentukan sama ada pegawai itu seorang anggota polis yang baik atau buruk.

Antara 16 Disember 2021 dengan 9 Januari 2022, CDiC menugaskan penyiasat privet mengawasi pegawai itu di rumah dan tempat kerja. Mereka menjejaki pergerakannya pada waktu siang dan mengambil gambarnya, termasuk ketika beliau berada di rumah.

Beberapa kali, pengawasan dijalankan dari 7 pagi hingga tengah malam.

Pihak pendakwaan berkata Tan kerap memaklumkan perkembangan kepada Pai dan menghantar gambar pegawai polis itu, kenderaan serta kediamannya.

Beliau turut memaklumkan kepada Pai apabila pengawasan dijalankan di PCC.

CDiC menerima $25,100 daripada Pai bagi tugas itu.

Pengawasan itu hanya dihentikan selepas pegawai itu menyedari beliau diekori pada 9 Januari 2022. Beliau membuat laporan polis pada keesokan harinya.

Pihak pendakwa berkata PCC ialah pusat operasi utama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan kawasan terlindung bagi mencegah pencerobohan terhadap tugas sulit yang dijalankan di situ.

Dalam hujahan mengenai hukuman, pihak pendakwa berkata Tan dan rakan kongsinya sengaja mengawasi seorang pegawai polis.

“Ia dirancang, berterusan dan menyasarkan seseorang yang bekerja di tempat tugas sulit yang melibatkan keselamatan dan keamanan awam dijalankan,” hujah pihak pendakwa.