Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH dekati pembaca, tingkat mutu liputan berita M’sia

Sesi ini antara beberapa sesi yang dirancang, bincang lain-lain aspek liputan BH
Jul 20, 2025 | 4:13 PM
Editor Berita Harian  (BH), Encik Nazry Mokhtar (kiri) memberi penerangan kepada hadirin tentang usaha BH mengembangkan tawaran kandungan serantau bagi menarik minat masyarakat Melayu/Islam setempat melalui lensa Singapura semasa sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) pada 19 Julai di bangunan SPH Media di Toa Payoh.
Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar (kiri) memberi penerangan kepada hadirin tentang usaha BH mengembangkan tawaran kandungan serantau bagi menarik minat masyarakat Melayu/Islam setempat melalui lensa Singapura semasa sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) pada 19 Julai di bangunan SPH Media di Toa Payoh. - Foto-foto BH

Liputan berita mengenai ehwal semasa Malaysia oleh akhbar Berita Harian (BH) Singapura adalah penting bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Oleh itu, sebagai sebahagian daripada usaha BH untuk memperluas tawaran kandungan serantau – khususnya dari Malaysia – yang relevan kepada masyarakat Melayu/Islam setempat melalui sudut pandang Singapura, akhbar ini telah menganjurkan satu sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) bersama beberapa pembaca pada 19 Julai.

Sesi itu, yang berlangsung di pejabat BH di bangunan SPH Media di Toa Payoh, disertai sekitar 30 pembaca berusia antara 28 dengan 72 tahun.

Sesi tersebut merupakan yang pertama daripada siri pendekatan yang bakal diadakan BH untuk mendekati pembaca dan mendengar maklum balas mereka berhubung liputan dan kandungan lain.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata sebagai negara jiran, perkembangan di Malaysia adalah sesuatu yang menarik perhatian masyarakat di Singapura, termasuk masyarakat Melayu.

Selain membuat liputan berita tentang perkembangan politik, BH juga mengetengahkan isu sosial, bahasa dan budaya serta gaya hidup di Malaysia, tambahnya.

“BH mahu memainkan peranan membantu audiens kami di Singapura memahami perkembangan di Malaysia dengan lebih mendalam.

“Kerencaman kandungan ini mencerminkan hubungan antara rakyat kededua negara yang rapat dan saling terkait ekoran talian sejarah, budaya dan persaudaraan,” kata Encik Nazry.

Para peserta berkata mereka menghargai usaha BH untuk mendengar pandangan mereka dalam membentuk liputan akhbar ini.

Salah seorang peserta, Encik Mohamad Firoz Abdul Kadir, 41 tahun, menyuarakan penghargaan terhadap liputan menyeluruh BH dan kesungguhan akhbar ini dalam menambah baik liputan berita dari Malaysia.

Namun, beliau berkata masih ada ruang bagi BH memperbaiki dalam cara ia menyediakan laporan yang lebih mudah untuk difahami pembaca, lebih-lebih lagi tentang dasar kerajaan Malaysia.

“Saya turut mencadangkan agar BH menilai semula cara liputan disampaikan khususnya mengenai dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

“Mesti ada penerangan yang mudah tetapi tuntas melalui infografik untuk rakyat Singapura memahami kesan kepada kita di sini,” kata Encik Firoz.

Beliau turut menyarankan agar isu-isu sosial dan pemikiran masyarakat di Malaysia ditulis dalam bentuk rencana agar mudah difahami oleh pembaca Melayu Singapura.

Encik Firoz juga menggesa agar liputan berita tentang budaya dan seni Malaysia dilakukan menerusi wadah yang diminati anak muda, mengikut trend masa kini.

Encik Muhammad Durrani Mohd Azman, 28 tahun, turut menarik perhatian usaha BH untuk mengikuti perkembangan trend terkini sambil mendekati dan memahami kehendak pembaca agar ia kekal relevan.

Namun, beliau berkata liputan berita BH tentang Malaysia seperti isu politik kini lebih menjurus kepada minat pembaca yang lebih mapan, yang mungkin tidak sangat diminati oleh pembaca yang lebih muda.

Justeru, beliau berharap BH dapat meneruskan usaha pendekatannya secara konsisten dan meluaskan jangkauannya, terutama sekali kepada generasi muda dan para pelajar.

“Mungkin BH boleh teroka memberi ulasan dari perspektif Singapura, sambil menyelit beberapa fakta yang menarik seperti contoh, letupan paip Petronas di kawasan perumahan Malaysia.

“Dengan ini, pembaca mungkin minat sama ada ini boleh terjadi di Singapura, dan BH boleh menyelitkan fakta menarik bahawa ada flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura yang masih menggunakan tong gas,” katanya.

Seorang lagi peserta yang hadir, Encik Muhamad Syafiq Mardi, 31 tahun, berkata sesi perbincangan itu telah memberi peluang baginya untuk memahami cita rasa berlainan oleh golongan mapan, golongan milenial dan golongan Gen Z terhadap liputan berita Malaysia.

Beliau turut memuji BH atas liputan berita tentang Malaysia “yang sangat baik dan bersifat neutral” walaupun ia merupakan akhbar bahasa Melayu.

Dengan pendekatan ini, Encik Syafiq berkata pembaca Melayu Singapura “tidak terbawa-bawa” dengan polemik politik, bangsa dan agama yang berlaku di Malaysia.

“Liputan berita BH tentang Malaysia banyak tentang keadaan politik dan sosial yang berlaku di sana.

“Berita tentang Malaysia harus ada kaitan dan relevan dengan Singapura. Mungkin BH juga boleh kongsi tempat-tempat menarik atau kafe dan tempat makan yang menarik di Malaysia,” katanya.

“BH mahu memainkan peranan membantu audiens kami di Singapura memahami perkembangan di Malaysia dengan lebih mendalam. Kerencaman kandungan ini mencerminkan hubungan antara rakyat kededua negara yang rapat dan saling terkait ekoran talian sejarah, budaya dan persaudaraan.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg