Topik diikuti
Pergi ke BHkuBila masa sesuai untuk ada anak?
Kewangan, emosi serta sokongan pemerintah dan majikan pengaruhi keputusan untuk berkeluarga
Bila masa sesuai untuk ada anak?
Pada 24 Oktober, genap usia saya 36 tahun.
Setiap kali hari lahir tiba, saya sering terfikir tentang bagaimana keutamaan hidup berubah apabila usia meningkat.
Dahulu, mungkin kita lebih sibuk memikirkan kerjaya, percutian atau barang yang ingin dibeli.
Namun, semakin dewasa, semakin banyak pula perkara yang perlu dipertimbangkan.
Antaranya, soal membina keluarga dan mempunyai anak.
Bilakah sebenarnya masa yang sesuai untuk menjadi ibu bapa?
Persoalan itu kembali bermain di fikiran selepas mengikuti pengumuman Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos lalu.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan beberapa langkah tambahan untuk menyokong keluarga, termasuk bantuan kewangan, cuti penjagaan anak dan perumahan.
Menurut laporan Berita Harian (BH) pada 23 Ogos, pakej sokongan pemerintah bagi setiap anak warga Singapura boleh mencecah hampir $70,000 sehingga usia 17 tahun.
Had pendapatan isi rumah untuk membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) juga akan dinaikkan daripada $14,000 kepada $16,000.
Pengumuman itu membuatkan saya terfikir tentang cabaran yang dihadapi pasangan muda hari ini.
Bagi sesetengah pasangan, memiliki rumah sendiri mungkin antara perkara yang ingin dicapai sebelum menimang cahaya mata.
Bukan kerana mahukan rumah besar atau mewah, tetapi sekadar ruang yang selesa untuk membina kehidupan bersama.
Namun, memiliki rumah bukan perkara kecil.
Wang pendahuluan, ansuran bulanan, pengubahsuaian dan perabot semuanya memerlukan perancangan kewangan.
Belum selesai soal rumah, muncul pula persoalan tentang kos membesarkan anak, seperti keperluan harian seperti lampin dan susu, kos penjagaan bayi dan pendidikan, serta tekanan menyediakan peluang pembelajaran dan kegiatan tambahan.
Kita mahu menyediakan peluang yang baik untuk mereka. Tetapi adakah semuanya perlu dibayar dengan wang?
Tidak hairanlah jika ada pasangan memilih untuk menunggu sehingga kedudukan kewangan lebih stabil.
Namun, sampai bila?
Apabila simpanan sudah mencukupi, mungkin timbul pula kebimbangan tentang kerjaya.
Apabila rumah sudah ada, mungkin masa dan tenaga pula terasa tidak cukup.
Kadangkala kita terlalu sibuk mengejar keadaan yang dianggap sesuai sehingga terlupa bahawa kehidupan tidak semestinya berjalan mengikut perancangan.
Laporan BH sebelum ini mengenai keluarga kecil dalam masyarakat Melayu turut menunjukkan bagaimana kos sara hidup, usia dan tuntutan kehidupan mempengaruhi keputusan pasangan.
Di sebalik angka kadar kesuburan nasional yang merosot kepada 0.87 pada 2025, mungkin ada pasangan yang sebenarnya mahu mempunyai anak, tetapi masih memikirkan kemampuan mereka.
Namun, persoalan kesediaan bukan sekadar tentang wang.
Ada juga soal kesediaan emosi yang jarang kita bincangkan.
Mampukah kita bersabar apabila penat bekerja?
Adakah kita bersedia mengubah rutin harian dan mengutamakan keperluan seseorang yang bergantung sepenuhnya kepada kita?
Soalan seperti ini mungkin tidak mempunyai jawapan mudah, tetapi tetap penting untuk difikirkan sebelum seseorang mengambil keputusan besar untuk menjadi ibu atau bapa.
Bagi pasangan yang bekerja, masa bersama anak juga menjadi pertimbangan.
Bayangkan perlu menghantar anak ke pusat jagaan sebelum bekerja, kemudian bergegas mengambilnya pada petang hari.
Jika anak jatuh sakit, siapa yang boleh mengambil cuti?
Jika kedua-duanya bekerja mengikut syif, siapa pula yang membantu?
Ada keluarga yang boleh bergantung pada datuk dan nenek, tetapi bukan semua mempunyai kemudahan itu.
Sebab itu, saya melihat langkah memperluas cuti penjagaan anak sebagai sesuatu yang penting.
Namun, bantuan yang baik juga perlu dirasai dalam kehidupan seharian. Majikan yang memahami dan suasana kerja yang mesra keluarga tidak kurang pentingnya.
Sudah tentu, bukan semua pasangan mahu mempunyai anak.
Ada yang ingin memberi tumpuan kepada kerjaya, kesihatan atau hubungan rumah tangga. Ada juga yang memilih kehidupan tanpa anak.
Setiap pasangan mempunyai perjalanan dan keutamaan tersendiri.
Bagi saya, keputusan itu wajar dihormati, bukannya dijadikan ukuran kejayaan seseorang.
Kita sering menyusun kehidupan seolah-olah ada senarai yang mesti dilengkapkan.
Perlu ada pekerjaan stabil. Perlu memiliki rumah. Perlu cukup simpanan. Kemudian barulah boleh mempunyai anak.
Semuanya pertimbangan yang munasabah.
Tetapi adakah keadaan yang benar-benar sempurna itu akan tiba?
Mungkin akhirnya, kita perlu tepuk dada, tanya selera. Adakah kita benar-benar belum bersedia, atau sekadar takut kehidupan tidak berjalan seperti yang dirancang?
Sempena hari lahir kali ini, saya semakin sedar bahawa menjadi dewasa bukan bermakna kita akan mempunyai semua jawapan.
Ada perkara yang boleh dirancang, tetapi ada juga yang tetap sukar dijangka walaupun sudah difikirkan sebaik mungkin.
Bantuan pemerintah mungkin dapat meringankan sebahagian beban, namun keyakinan membina keluarga juga memerlukan masa, sokongan dan persefahaman.
Mungkin yang diperlukan pasangan muda bukan jaminan bahawa semuanya akan berjalan lancar, tetapi keyakinan bahawa mereka tidak perlu menghadapi setiap cabaran sendirian.
Akhirnya, bukan semua orang akan rasa bersedia pada masa yang sama. Dan mungkin, itulah hakikat kehidupan yang perlu kita belajar terima.