Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) kedua di Mount Pleasant serta flat dengan tempoh menunggu lebih singkat di Bishan adalah antara kira-kira 4,300 unit yang akan dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Februari 2027.

Pelancaran itu merangkumi lima projek di empat bandar, iaitu Toa Payoh, Bishan, Tengah dan Tampines, menurut maklumat HDB pada 4 November.

Penganalisis menjangkakan persaingan sengit, terutama bagi projek di Bishan, Toa Payoh dan Tampines, meskipun kira-kira 5,000 unit turut ditawarkan menerusi Penjualan Baki Flat (SBF).

Di Toa Payoh, projek Mount Pleasant dengan 1,140 unit akan dibina bersebelahan stesen MRT Mount Pleasant di Laluan Thomson-East Coast (TEL).

Projek yang dijangka dikelaskan sebagai Prime itu menawarkan flat fleksibel dua bilik hingga empat bilik, berhampiran sekolah popular dan kawasan Orchard.

Namun, tapaknya yang berdekatan dengan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) mungkin menimbulkan bising dan habuk.

Di daerah Bishan di Sin Ming, sebanyak 1,070 flat dua hingga empat bilik dengan tempoh menunggu kurang tiga tahun akan dibina.

Projek yang dijangka dikelaskan sebagai Plus itu terletak sekitar 800 hingga 900 meter dari stesen MRT Upper Thomson dan Marymount.

Penganalisis menjangkakan permintaan tinggi kerana bekalan flat BTO baharu di Bishan terhad.

Di daerah Tampines, dua projek menawarkan 460 unit di Upper Changi dan 330 unit di Tampines Street 11.

Projek Upper Changi dijangka lebih popular kerana menawarkan flat lima bilik, manakala projek Tampines Street 11 merangkumi 240 Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) buat warga emas.

Di Brickland (Tengah), sebanyak 1,280 flat dua hingga lima bilik akan ditawarkan berhampiran stesen MRT Brickland yang bakal dibuka.

Penganalisis berkata projek Februari ini memberi pilihan baharu kepada pemohon yang gagal dalam pelancaran November 2026.

Sekurang-kurangnya 15,600 unit BTO akan dilancarkan pada 2027, termasuk pelancaran Februari.

Jumlah itu mungkin meningkat selepas Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata pada Mei 2026 bahawa HDB dijangka melebihi sasaran menawarkan 55,000 rumah baharu antara 2025 dengan 2027.

Sebanyak 19,723 unit BTO dilancarkan pada 2025, berbanding 19,608 unit pada 2026.