Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buka lembaran baru niaga pulut hitam pengat durian selepas diberhenti kerja

Dec 31, 2024 | 5:59 PM
Sejak diberhentikan kerja pada November 2024, Encik Mohamed Ridzal Mohamed Noor mengusahakan perniagaan dari rumah (HBB), Attap Flavors, secara sepenuh masa untuk memenuhi permintaan mereka yang sukakan gabungan pencuci mulut tradisional, pulut hitam dan pengat durian.
Sejak diberhentikan kerja pada November 2024, Encik Mohamed Ridzal Mohamed Noor mengusahakan perniagaan dari rumah (HBB), Attap Flavors, secara sepenuh masa untuk memenuhi permintaan mereka yang sukakan gabungan pencuci mulut tradisional, pulut hitam dan pengat durian. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di sebalik hujan, ada pelangi yang menanti untuk bersinar pada Tahun Baru 2025.

Begitulah yang dirasakan pengendali perniagaan dari rumah (HBB), Attap Flavors, Encik Mohamed Ridzal Mohamed Noor, 48 tahun, setelah mengharungi badai dalam kerjaya sebagai pengawal perniagaan.

Selama 20 tahun bertugas dalam sektor kewangan, Encik Ridzal telah diberhentikan kerja sebanyak empat kali.

Beliau merupakan pengawal perniagaan dalam syarikat berbilang negara (MNC) yang berpangkalan di Singapura. 

Pada November 2024, beliau diberhentikan kerja sehingga mengambil keputusan berniaga sepenuh masa dan memperkukuh jenama Attap Flavors yang dimulakan pada 2018. Jenama ini menjual pencuci mulut tradisional Melayu, gabungan pulut hitam pengat durian serta teh pandan ros.

Dihubungi Berita Harian (BH) pada 30 Disember, Encik Ridzal berkata:

“Saya telah diberhentikan kerja sebanyak empat kali iaitu pada 2005, 2019, 2022 dan 2024.

“Apabila bekerja dalam bidang kewangan, ada masa di mana peranan dan tanggungjawab kita dalam sebuah syarikat itu akan dipindahkan kepada kakitangan di negara yang lebih berkos rendah.

“Hal ini terjadi untuk memastikan kos kakitangan kekal dimampui.

“Apa yang berlaku baru-baru ini adalah syarikat di mana saya bekerja sebelum ini telah menubuhkan sebuah hab kewangan baru di India. 

“Jadi seluruh pasukan yang memantau dan mengurus kewangan di rantau Asia-Pasifik telah diberhentikan kerja termasuk saya, dan kami perlu melakukan pemindahan pengetahuan kepada pasukan baru di India.”

Pada 2005, Encik Ridzal dikemukakan notis pemberhentian kerja ketika berada dalam jabatan pemulihan hutang di salah satu firma guaman di Singapura. Sementara pada 2019, 2022 dan 2024, beliau diberhentikan kerja kerana penyusunan semula MNC.

Disebabkan sudah terbiasa berhadapan dengan keadaan yang getir seperti ini, beliau kekal bersemangat dan positif serta tidak menyesali takdirnya.

Menurut bapa empat anak berusia sembilan hingga 23 tahun itu, ilham bagi menggabungkan pulut hitam dan pengat durian tercetus apabila beliau menerima bekalan pulut hitam dan durian daripada teman-teman.

“Pada Ramadan 2018, saya masak bubur pulut hitam dan pengat durian untuk menghabiskan bekalan pulut hitam dan durian yang diberi teman saya.

“Tidak sangka pula, saya dapat maklum balas daripada keluarga dan teman bahawa rasanya menyelerakan. Mereka sarankan saya jual manisan unik ini sebab tiada orang melakukannya,” ceritanya.

Isterinya, Cik Siti Faridah Ibrahim, 43 tahun, telah meninggalkan pekerjaan sebagai guru prasekolah untuk sama-sama menguruskan Attap Flavors.

Lebih menggembirakannya ialah apabila hidangannya turut menarik perhatian personaliti kulinari seperti Cef Siti Mastura Alwi.

“Pengurus Cef Siti memberitahu saya jika Cef Siti suka, beliau akan memuat naik hantaran di media sosial. Jika tidak, beliau akan beri maklum balas bagaimana perbaikinya. Alhamdulillah, beliau senang sebab ia tidak terlalu manis dan menguar-uarkannya di media sosial,” tambah Encik Ridzal.

Pada Tahun Baru 2025, beliau ingin meneroka lebih banyak gabungan unik makanan tradisional Melayu sebagai idea niaga baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg