Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sekadar ‘kaypoh’, sifat ingin tahu kunci pegawai CPIB tumpaskan rasuah
Ketua Pegawai Khas di Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Cik Nur Fadhillah Mohd Gani, menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kaypoh.
Sifat ingin tahu yang mendalam itu sentiasa mendorongnya apabila menyiasat kes rasuah, terutama semasa kes pertama beliau, iaitu kes rasuah melibatkan bekas pekerja SMRT serta wang bernilai lebih $54,050 pada 2021.
Menerusi siasatan rapi yang mengambil masa antara tujuh dengan lapan bulan, Cik Fadhillah dan pasukannya dengan sabar menyoal siasat ramai individu, sebelum perlahan-lahan merungkai lebih banyak jenayah lain seperti pemalsuan dokumen apabila semua bukti berjaya disatukan.
Sejak itu, kemahiran beliau semakin tajam dan azamnya untuk memastikan kadar rasuah di negara ini kekal rendah terus kukuh menerusi setiap kes yang dikendalikan.
Meskipun tugas pegawai siasatan jarang dilihat oleh orang awam, Cik Fadhillah percaya peranan mereka amat kritikal dalam melindungi masyarakat daripada kemudaratan yang lebih besar.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Fadhillah, 41 tahun, berkata:
“Saya percaya kami memainkan peranan penting dalam mempertahankan integriti dan kepercayaan awam dalam pelbagai institusi Singapura.”
Pada masa yang sama, beliau menyifatkan peranannya penting dalam melindungi masyarakat daripada ancaman yang mampu berpunca daripada gejala rasuah.
Memberi contoh, beliau berkata amalan rasuah dalam pemeriksaan bangunan boleh mengabaikan piawaian keselamatan, sekali gus berisiko mencetuskan tragedi yang meragut nyawa.
Penyelesaian daripada setiap kes rasuah yang dilaporkan dapat membantu mencegah berulangnya amalan serupa pada masa hadapan, tambahnya.
Di sebalik itu, beliau turut percaya masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu mengekalkan kadar rasuah yang rendah di Singapura.
“Tugas mengekalkan kadar rasuah yang rendah bukan semata-mata tanggungjawab CPIB. Kami memerlukan orang ramai untuk tampil menyampaikan maklumat,” ujar beliau.
Masyarakat tidak boleh membiarkan jenayah rasuah menjadi perkara lumrah atau semakin membarah, tambahnya.
Cik Fadhillah turut akur terdapat sebilangan masyarakat yang mungkin segan membuat laporan, dan berharap lebih keyakinan boleh dipupuk dalam kalangan orang awam agar berbuat demikian menerusi usahanya di CPIB.
Oleh itu, beliau sentiasa mengambil kesempatan untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya membuat laporan rasuah, contohnya menggesa ahli keluarganya sendiri supaya berbuat demikian jika melihat kesalahan itu berlaku.
Terdapat pelbagai wadah untuk melaporkan jenayah rasuah, termasuk menerusi panggilan, e-mel, laman web atau mengunjungi pejabat CPIB.
Laporan juga boleh dilakukan tanpa mendedahkan identiti si pelapor.
Berkongsi lanjut tentang siasatannya bagi kes bekas pekerja SMRT itu, Cik Fadhillah berkata ia sebenarnya bermula daripada aduan tanpa nama.
Beliau menekankan bagaimana tindakan kecil sedemikian mampu mencetuskan siasatan yang akhirnya membongkar perbuatan jenayah yang besar.
Dalam kes itu, Cik Fadhillah bersama pasukannya berjaya membongkar perbuatan jenayah yang dilakukan oleh Soh Choon Heng, 43 tahun.
Lelaki berkenaan didakwa atas pertuduhan rasuah membabitkan jumlah melebihi $54,050 serta pemalsuan dokumen.
Dua individu lain, Wong King Mooi dan Yong Ming Jun, turut dihadapkan ke mahkamah atas peranan mereka bersubahat dengan Soh.
Kesalahan tersebut dilaporkan berlaku antara 2015 dengan 2020.
Ketika kejadian, Soh bertugas sebagai penolong pembeli yang bertanggungjawab mendapatkan komponen serta alat ganti bagi tren, bas dan teksi di bawah kendalian SMRT.
Yong pula merupakan pengarah Euro Bremse, manakala Wong merupakan pengarah CEE Technologies. Kedua-dua syarikat itu menjual alat ganti tersebut.
Soh didakwa menerima rasuah daripada Yong dan Wong selepas membocorkan maklumat berhubung sebut harga yang dikemukakan oleh syarikat-syarikat lain, demi membolehkan mereka memajukan kepentingan perniagaan masing-masing.
Selain itu, Soh turut didakwa menghasilkan pelbagai tandatangan palsu pada dokumen kontrak dan perjanjian penting.
Oleh kerana ia kes pertamanya setelah menyertai CPIB, Cik Fadhillah mengakui timbul rasa gentar kerana berdepan proses pembelajaran yang mencabar.
Bagaimanapun, beliau bertekad untuk melaksanakan tugasnya dengan penuh teliti demi kebaikan masyarakat.
Antara cabaran utama yang dihadapinya ialah mengumpul bukti bagi setiap kesalahan bagi tempoh lima tahun jenayah itu berlaku, serta menyoal siasat ramai orang untuk mengukuhkan fakta kes, jelasnya.
Dengan sesi soal siasat yang boleh berlarutan sehingga 12 jam, serta pelbagai kerenah suspek, Cik Fadhillah memerlukan banyak kesabaran ketika menjalankan tugasnya.
“Adakalanya suspek masih tidak mahu mengakui kesalahan walaupun segala fakta telah dibentangkan,” katanya.
Menjalankan tugas sebegitu sejak 2020 juga memberi cabaran kepada Cik Fadhillah di luar pejabat, kerana beliau perlu mengimbangi tuntutan membesarkan dua anak lelaki berusia tujuh dan 11 tahun.
Bagaimanapun, usaha beliau dianggap berbaloi, bukan sahaja kerana keyakinan masyarakat yang tinggi terhadap kadar rasuah yang terkawal, malah kerana tugasnya itu menjadi kebanggaan keluarga.
“Dua anak lelaki saya gemar menonton rancangan jenayah dan polis.
“Setiap kali saya menghadiri sesi bertemu dengan guru pula, mereka selalu memberitahu (guru) pekerjaan saya. Penghargaan itu menimbulkan kebanggaan dalam menjalankan tugas saya,” seloroh Cik Fadhillah.
