Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bulan Wakaf tingkat kesedaran tentang definisi wakaf dan pentingnya perancangan legasi

Muis mahu masyarakat lebih memahami bagaimana harta boleh diwakaf bagi tampung keperluan sosial, agama generasi mendatang menerusi Wakaf Masyarakat Singapura
Aug 3, 2024 | 5:00 AM
Pelbagai kegiatan akan diadakan sepanjang Kempen Bulan Wakaf Ogos ini dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan membantu masyarakat Islam setempat untuk lebih memahami kaedah-kaedah perancangan legasi yang boleh dimanfaatkan.
Pelbagai kegiatan akan diadakan sepanjang Kempen Bulan Wakaf Ogos ini dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan membantu masyarakat Islam setempat untuk lebih memahami kaedah-kaedah perancangan legasi yang boleh dimanfaatkan. - Foto MUIS

Bayangkan keupayaan menyedekahkan sebahagian harta kita bagi menyokong keperluan sosial dan agama masyarakat Islam setempat.

Ramai yang mungkin menganggap perkara sedemikian hanya mampu dilakukan oleh golongan hartawan.

Namun, ini adalah satu pandangan yang kurang tepat dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mahu meningkatkan kesedaran mengenai bagaimana lebih ramai anggota masyarakat Islam di sini mampu mewakafkan harta mereka bagi kemaslahatan generasi mendatang menerusi Bulan Wakaf, sebuah kempen yang berlangsung sepanjang Ogos ini.

Kempen Bulan Wakaf itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat Islam mengenai peri penting perancangan harta pusaka, dan pada masa sama menggalak anggota masyarakat untuk mewakafkan sebahagian harta mereka sebagai sadaqah jaariyah.

Hasil pulangan pelaburan wakaf itu digunakan bagi menyokong keperluan sosial dan agama jangka panjang masyarakat Islam setempat.

Muslim setempat boleh melakuan demikian menerusi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang dilancarkan pada 3 Ogos.

WMS, yang dibentuk Muis itu merupakan sebuah dana endowmen Islam yang bertujuan mewujudkan sistem pendanaan yang mampan untuk melengkapi dana sedia ada, bagi menyokong institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat.

Sebagai sebuah wakaf kolektif yang dibentuk hasil sumbangan masyarakat Islam setempat, WMS akan dapat menampung keperluan jangka panjang masyarakat seperti bayaran pajakan semula tanah bagi masjid-masjid dan madrasah-madrasah, serta program pembangunan asatizah masa depan.

Kesemua keperluan ini tidak ditampung dana-dana sedia ada yang lebih dikhususkan bagi keperluan semasa.

“Kempen Bulan Wakaf bertujuan melazimkan pembentukan wakaf sebagai satu tanggungjawab keagamaan kita sebagai usaha menyokong institusi agama penting bagi generasi akan datang. Usaha ini serupa dengan amalan dermawan wakaf pada masa lalu... Setelah memahami perancangan legasi ini dengan lebih baik, Muis juga berharap masyarakat dapat memberi pertimbangan kepada perancangan untuk sadaqah jaariyah, termasuk menyumbang kepada WMS.
Encik Shamsul Hadi Jangarodin, Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat, Muis.

Pelbagai kegiatan telah dirancangkan sepanjang Kempen Bulan Wakaf bagi membantu masyarakat untuk lebih memahami tentang konsep wakaf kolektif di mana seluruh anggota masyarakat dapat menyumbang untuk membangunkan sesebuah wakaf.

Ini berbeza dengan sumbangan individu atau keluarga yang dikenali sebagai wakif atau pewakaf. Cara wakaf ini merupakan sebahagian besar dari wakaf-wakaf sedia ada di negara ini yang telah dibentuk lebih berpuluh tahun lalu.

“Kempen Bulan Wakaf bertujuan melazimkan pembentukan wakaf sebagai satu tanggungjawab keagamaan kita sebagai usaha menyokong institusi agama penting bagi generasi akan datang. Usaha ini serupa dengan amalan dermawan wakaf pada masa lalu,” kata Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat, Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin.

Encik Shamsul Hadi menambah, kempen tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai cara-cara memanfaatkan kaedah Perancangan Legasi Islam (ILP) seperti wasiat dalam melakukan perancangan untuk keluarga dan orang tersayang, dan pada masa sama memberi pertimbangan kepada tujuan amal seperti menyokong WMS.

“Ramai dermawan terdahulu menggunakan wasiat untuk membentuk banyak wakaf di Singapura yang masih wujud sehingga hari ini. Sayangnya amalan menulis wasiat sudah tidak lagi menjadi kebiasaan.

“Bulan Wakaf ingin membantu masyarakat lebih memahami dan menggalak perancangan harta pusaka mereka menerusi konsep Perancangan Legasi Islam (ILP) termasuk menghidupkan semula amalan menulis wasiat,” kata Encik Shamsul.

Konsep ILP merujuk kepada perancangan pengagihan harta pusaka apabila seseorang Muslim meninggal dunia berdasarkan hukum syariah.

Selain faraid, ada lain-lain kaedah pembahagian harta seperti wasiat dan hibah (hadiah).

Muis baru-baru ini berkongsi dapatan tinjauan yang mendedahkan 64 peratus peserta tidak tahu mengenai kaedah lain perancangan harta yang dibenarkan Islam kecuali faraid.

Ini termasuk tidak menyedari keperluan bagi pencalonan dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans sebagai satu bentuk hibah, selain mempunyai pemahaman yang salah tentang wasiat.

Justeru, bagi membantu masyarakat, Muis akan bekerja rapat dengan agensi pemerintah seperti Lembaga CPF untuk menggalak anggota masyarakat melakukan pencalonan.

Pada masa sama, Muis juga akan melancarkan Kit Alat Sumber Wasiat dalam talian yang menawarkan panduan terperinci untuk membuat wasiat berdasarkan prinsip syariah.

Kit itu boleh diakses orang ramai melalui laman web Muis dan www.wakaf.sg.

Muis juga akan bekerjasama dengan kumpulan peguam bagi menyediakan sokongan berguna untuk individu dalam usaha merancang legasi masing-masing dan menyumbang kepada tujuan yang bermakna.

“Setelah memahami perancangan legasi ini dengan lebih baik, Muis juga berharap masyarakat dapat memberi pertimbangan kepada perancangan untuk sadaqah jaariyah, termasuk menyumbang kepada WMS,” kata Encik Shamsul.

Sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran Bulan Wakaf, Muis bakal mengadakan pelbagai acara yang sesuai bagi semua peringkat usia menimba ilmu tentang wakaf, WMS dan perancangan legasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg