Pengeluar lateks getah sintetik Cariflex telah merasmikan loji barunya di Singapura, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan penembusan pasaran di Asia Tenggara.
Asia Tenggara menyumbang lebih 75 peratus jualan produk lateks Cariflex, dan menjadi pasaran utama untuk pertumbuhan kerana kehadiran banyak syarikat getah asli yang berpotensi menjadi pelanggan masa depan, kata Ketua Pegawai Operasi (CEO) Cariflex, Dr Philippe Henderson,
“Pasaran untuk produk lateks sintetik kami adalah tempat lateks getah asli digunakan dan Asia Tenggara adalah tempatnya,” ujarnya.
Loji getah poliisoprena ini, yang dibangunkan dengan pelaburan melebihi AS$350 juta ($454.19 juta), adalah yang pertama seumpama itu di Singapura dan terbesar di dunia, kata Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, semasa majlis perasmian loji pada 14 Mei, lapor The Business Times.
Pembinaan loji di Pulau Jurong itu dimulakan pada 2022, dengan operasi bermula pada November 2024.
Majlis perasmian menandakan penyelesaian kelulusan teknikal dan peraturan untuk loji sebagai pembekal yang layak.
“Loji ini direka untuk pengembangan modular bagi menampung permintaan masa depan.
“Apabila beroperasi sepenuhnya, ia akan menggandakan kapasiti pengeluaran lateks poliisoprena Cariflex pada 2023,” kata syarikat bahan kimia khas Singapura itu, yang dimiliki sepenuhnya oleh DL Chemical, di bawah DL Group dari Korea Selatan.
Lateks getah poliisoprena Cariflex ialah lateks polimer sintetik berasaskan air yang sangat sesuai untuk sarung tangan pembedahan dan aplikasi yang melibatkan alahan kepada lateks getah asli.
Dr Tan menyatakan bahawa bahan kimia khas semakin penting bagi pertumbuhan Singapura.
“Dalam 10 tahun, nilai tambah sektor ini telah naik dua kali ganda kepada hampir $5 bilion dan kini menyumbang 20 peratus kepada hasil sektor tenaga dan bahan kimia Singapura,” kata beliau.
Dr Tan menambah, Singapura mengalu-alukan pengembangan syarikat bahan kimia untuk memenuhi permintaan bahan kimia berprestasi tinggi yang rendah karbon.
“Mengembangkan segmen ini akan membantu mempelbagaikan sektor pembuatan dan membina ekonomi inovatif yang memberi manfaat kepada rakyat Singapura,” kata Dr Tan.
CEO Cariflex, Encik Ryu Sang Woo, menyatakan Singapura merupakan asas pembuatan yang ideal kerana kedekatannya dengan kemudahan pembuatan pelanggan.
Ini ditambah dengan perlindungan hak intelek yang menyeluruh dan dasar perancangan perniagaan yang menarik di negara ini.
Loji baru itu, bersama kemudahan Cariflex di Brazil, memastikan daya tahan rantaian bekalan syarikat tersebut.
“Kami satu-satunya syarikat yang dapat menghasilkan produk yang sama di kededua belah dunia, memastikan bekalan pelanggan tidak terganggu.
Pesaing kami hanya mempunyai operasi kecil di satu tempat,” kata Encik Ryu, sambil menambah bahawa pembekal lain lebih terdedah kepada gangguan tempatan.
Cariflex menggajikan 80 pekerja mahir di loji baru itu, dengan 30 lagi melalui kontraktor pihak ketiga.
Dr Tan berkata penciptaan pekerjaan ini adalah “pengembangan besar mengikut piawaian masa kini” memandangkan automasi yang mengurangkan tenaga kerja pembuatan.
“Pelaburan ini adalah rangsangan yang dialu-alukan bagi Singapura dalam zaman ketidaktentuan global,” kata Dr Tan.
CEO DL Chemical, Encik Kim Jong Hyun, menambah loji itu menyokong matlamat DL Group untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg