Pencipta ChatGPT, OpenAI, telah memperuntukkan lebih $300 juta bagi membangun sektor kecerdasan buatan (AI) gunaan di Singapura, yang memberi tumpuan kepada penerapan AI dalam aliran kerja harian bagi meningkatkan daya penghasilan.

Teras utama pelan itu adalah pembukaan Makmal AI Gunaan OpenAI Singapura, yang pertama di luar Amerika Syarikat.

Makmal ini akan memajukan penggunaan AI dalam sektor perkhidmatan awam, kewangan, penjagaan kesihatan dan prasarana digital.

Tiada tempoh masa diberikan bagi komitmen peruntukan $300 juta tersebut.

Pada 20 Mei, OpenAI menandatangani perjanjian OpenAI for Singapore dengan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di sidang kemuncak, ATxSummit, sebahagian persidangan Asia Tech x Singapore di Capella Singapore, yang merangkumi tiga teras kerjasama.

Ketua Pegawai Hasil OpenAI, Cik Denise Dresser, berkata OpenAI mahu membantu pertubuhan dan syarikat memanfaatkan teknologi AI termaju, menyokong bakat AI tempatan dan memperluaskan penggunaan teknologi tersebut.

“Dengan AI sedang membentuk semula ekonomi, perniagaan dan tenaga kerja, Singapura mengambil pendekatan terancang dengan membangunkan sektor baharu, menambat syarikat AI termaju sedunia dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran berkembang dalam persekitaran baharu ini,” kata Setiausaha Tetap MDDI (Pembangunan Digital dan Maklumat), Encik Chng Kai Fong.

“Perkongsian dengan OpenAI ini mencerminkan usaha pemerintah membangun keupayaan AI Singapura, memperkukuh penggunaan AI dalam perusahaan dan menjamin pekerjaan bermutu untuk rakyat Singapura,” tambah Encik Chng.

Satu teras utama ialah Makmal AI Gunaan OpenAI Singapura yang bertujuan membina pasukan jurutera penerapan AI dan pakar teknikal, dengan jumlah jawatan yang tersedia dijangka melebihi 200 dalam tempoh mendatang.

Jurutera penerapan AI ialah jurutera perisian yang menghubungkan keperluan teknikal dan perniagaan syarikat untuk menyelesaikan masalah sebenar dan mencipta nilai baharu.

Iklan pekerjaan untuk jurutera penerapan AI dilaporkan telah mencatat peningkatan tahun ke tahun, melebihi 700 peratus sehingga April.

OpenAI juga akan melancarkan program jurutera penerapan AI untuk melatih jurutera perisian pertengahan kerjaya untuk membangun sistem AI dalam dunia sebenar.

Makmal tersebut akan menyokong usaha sejajar dengan misi AI dan keutamaan nasional Singapura yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Februari, dalam bidang seperti perkhidmatan awam, penjagaan kesihatan dan prasarana digital.

Teras kedua memberi tumpuan kepada pembangunan bakat AI melalui kerjasama OpenAI dengan sektor pendidikan Singapura dalam program pembangunan keupayaan, perkongsian penyelidikan dan bengkel praktikal di bawah cawangan tempatan OpenAI Academy, platform latihan dalam taliannya.

OpenAI berkata ia akan terus bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan AI Singapore (AISG) di bawah program AIxTech untuk meningkatkan kefasihan AI dalam kalangan karyawan teknologi, termasuk melalui penggunaan Codex, ejen pengekodan OpenAI.

Teras ketiga, AI untuk Semua (AI4E), memperluas penggunaan alat dan kepakaran AI dalam kalangan individu, perniagaan dan syarikat pemula melalui usaha yang dibangunkan bersama OpenAI.

Ini termasuk aplikasi AI berpusatkan rakyat bagi meningkatkan interaksi dengan perkhidmatan awam, program AI Accelerator yang menawarkan perundingan teknikal, sokongan kepada syarikat pemula tempatan dan antarabangsa, serta bengkel untuk usahawan mikro dan syarikat kecil dan sederhana (SME).

Kandungan tempatan juga akan dibangunkan untuk program SkillsFuture bagi menyokong pembangunan keupayaan AI secara meluas.

Secara berasingan, pada 20 Mei, Google turut mengumumkan peluasan kerjasamanya dengan pemerintah dalam bidang penjagaan kesihatan, penyelidikan saintifik, latihan pendidik dan penggunaan ejen AI secara selamat.

Bidang pertama ialah penjagaan kesihatan. Google DeepMind, makmal penyelidikan AI gergasi teknologi itu, sedang meneroka kerjasama dengan kelompok kesihatan awam sebagai sebahagian usaha penyelidikan rakan doktor sejagat bagi mengkaji bagaimana AI boleh meningkatkan kepakaran doktor untuk memberikan penjagaan bermutu tinggi.

Google DeepMind juga bekerjasama dengan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) untuk melatih penyelidik tempatan dalam alat agenik untuk sains, seperti ‘Co-Scientist’, alat AI bersama yang mempercepatkan penyelidikan.

Google juga akan bekerjasama dengan A*Star,untuk melengkapi penyelidik dan kakitangannya dengan alat AI di Google Cloud bagi menjana hipotesis untuk meningkatkan penyelidikan serta analisis saintifik.

Pembantu yang beroperasi terus berasaskan model AI Gemma Google juga akan dibangunkan untuk atlet buta dan kurang penglihatan dengan menyediakan pemahaman persekitaran masa nyata bagi membantu mereka berlari secara berdikari.

Google DeepMind dan SG Enable akan menguji pembantu itu bagi memastikan ia memenuhi keperluan sebenar atlet terbabit.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga sedang memperluas kerjasamanya dengan Google untuk memperkukuh program latihan dan peningkatan kemahiran pendidik.

Google juga bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Singapura, Agensi Teknologi Pemerintah Singapura dan IMDA untuk meneroka bagaimana ejen AI boleh digunakan secara selamat dan berkesan, dengan menghasilkan satu kertas putih bersama yang bertujuan menjadi pelan hala tuju praktikal bagi pemerintah yang berharap dapat memanfaatkan ejen AI demi kepentingan awam.

“Melalui perkongsian yang diperluas dengan pemerintah Singapura ini, kami sedang menggerakkan AI dalam tindakan dengan menggabungkan teknologi terbaik kami, kepakaran penyelidikan dan pembangunan serta bakat tempatan untuk mempercepatkan AI demi kepentingan awam,” kata Pengarah Urusan Negara Google Singapura, Encik Ben King.

“Ini juga mewujudkan satu pelan tindakan berskala untuk inovasi AI yang bertanggungjawab, dibina di Singapura untuk dunia,” tambah beliau.

Google DeepMind juga akan membangun pembantu berasaskan AI untuk atlet buta dan kurang penglihatan.

Pada 20 Mei, firma perunding Temus melancarkan AI Foundry miliknya, dengan sokongan Industri Digital Singapura (Digital Industry Singapore, DISG) – sebuah pejabat bersama Lembaga Pembangunan Ekonomi, Enterprise Singapore dan IMDA.

Foundry tersebut menyasarkan untuk melantik 50 arkitek AI, saintis data dan jurutera yang berpangkalan di Singapura.

Firma merentas pelbagai industri itu kini meneroka bagaimana AI boleh meningkatkan cara kerja mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temus, Encik Sng Ren Yeong.

Temus yang merupakan penyedia khidmat transformasi digital yang berpangkalan di Singapura ditubuhkan Temasek pada 2021.

“Kami reka AI Foundry bagi menyokong fasa baharu dalam transformasi berasaskan AI ini dengan membangun bakat berpangkalan di Singapura, memperkukuh kaedah penyampaian terbukti dan membantu firma ini menterjemahkan aspirasi AI kepada kesan perniagaan yang berkekalan,” katanya.

“Dengan AI sedang membentuk semula ekonomi, perniagaan dan tenaga kerja, Singapura mengambil pendekatan terancang dengan membangunkan sektor baharu, menambat syarikat AI termaju sedunia dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran berkembang dalam persekitaran baharu ini.”
Encik Chng Kai Fong, Setiausaha Tetap Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) (Pembangunan Digital dan Maklumat).