Topik diikuti
Pergi ke BHkuCold Storage buka kedai On The Go pertama, sasar 58 stesen minyak Esso
Cold Storage buka kedai On The Go pertama, sasar 58 stesen minyak Esso
Tawar makanan sedia dimakan dan minuman, ganti kedai serbaneka FairPrice
Cold Storage buka kedai On The Go pertama, sasar 58 stesen minyak Esso
Cold Storage melancarkan kedai pertama Cold Storage On The Go di stesen minyak Esso di 255 East Coast Road pada 3 Ogos, menawarkan makanan sedia untuk dimakan seperti ayam berbungkus dan sandwic, selain minuman, buah segar dan aiskrim.
Rangkaian pasar raya itu memasuki sektor peruncitan kedai serbaneka dengan memperkenalkan rangkaian runcit serbaneka On The Go, yang diperluaskan secara berperingkat-peringkat ke semua 58 stesen minyak Esso di Singapura sepanjang 2026, menggantikan kedai serbaneka Kumpulan FairPrice.
Cold Storage bekerjasama dengan Aster, pengendali rangkaian runcit kedai minyak Esso di Singapura, untuk menawarkan hidangan siap segera, produk bakeri seperti roti dan pastri, snek seperti pau dan karipap, serta keperluan harian.
Hidangan berharga antara $3 dengan $5 menyasarkan pelanggan yang inginkan makanan dan minuman cepat dan dengan harga berpatutan.
Pelaksanaan di seluruh negara ini merupakan fasa pertama usaha Cold Storage mengembangkan perniagaan peruncitan serbaneka.
Syarikat itu turut merancang untuk membuka cawangan On The Go berasingan bagi melengkapkan rangkaian pasar rayanya.
Pengarah Urusan Cold Storage Singapore, Encik Lim Boon Cheong, berkata syarikat itu menyasarkan untuk membuka lebih 100 cawangan selepas memperoleh beberapa tapak baharu selain di stesen minyak.
Menurut beliau, langkah itu dibuat susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan membeli-belah yang lebih pantas dan mudah, serta menjadi wadah pertumbuhan baharu bagi melengkapi perniagaan Cold Storage di Singapura.
“Cold Storage On The Go menandakan fasa baharu dalam pelan pertumbuhan jangka panjang kami,” kata Encik Lim.
“Ia memperluaskan jenama Cold Storage daripada pasar raya kepada sektor peruncitan serbaneka, membolehkan kami memenuhi keperluan pelanggan pada lebih banyak waktu sepanjang hari.”
Beliau berkata pelaburan diperlukan bagi memperluaskan rantai bekalan untuk menyokong kedai baharu, dengan kos pengubahsuaian setiap satu mencecah “beberapa ratus ribu dolar”.
Langkah itu menyusuli pembelian 48 cawangan Cold Storage dan 41 cawangan Giant daripada Kumpulan DFI Retail oleh syarikat pengendali pasar raya Malaysia, Macrovalue, pada Mac 2025 dengan nilai $125 juta.
Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Macrovalue, Encik Gary Yap, berkata cawangan serbaneka lebih mudah diperluaskan berbanding pasar raya bersaiz penuh.
Beliau berkata syarikat itu mahu memperbaharui konsep kedai serbaneka dengan susun atur lebih kemas dan turut menawarkan makanan segar dan produk jenama sendiri.
Ini merupakan langkah pertama Macrovalue sejak mengambil alih rangkaian Cold Storage pada 2025 untuk mengembangkan perniagaan itu.
Aster ialah anak syarikat Chandra Asri Group, kumpulan tenaga, bahan kimia dan prasarana yang tersenarai di Indonesia.
Syarikat itu telah membeli semua stesen berjenama Esso di Singapura daripada ExxonMobil pada Oktober 2025 dengan nilai sekitar AS$1 bilion ($1.28 bilion).
Encik Lim berkata Aster telah mendekati Cold Storage untuk menawarkan pilihan baharu kedai serbaneka di stesen Esso.
Timbalan Ketua Eksekutif Aster, Encik Andre Khor, berkata kerjasama itu akan menawarkan barangan keperluan runcit kepada pelanggan dan menjadikan stesen Esso pusat peruncitan yang lebih memudahkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Langkah itu juga membantu Esso bersaing dengan Shell, SPC dan Caltex, yang turut menawarkan konsep kedai serbaneka di stesen perkhidmatan masing-masing.