Selama dua minggu mendatang, Singapura menjangkakan beberapa hari yang membahang, dengan suhu di sesetengah kawasan mungkin mencecah 35 darjah Celsius.

Namun, menurut jurucakap pemerintah kepada The Straits Times (ST) pada 1 April, ancaman gelombang haba diramal rendah.

Dua minggu pertama April juga dijangka lebih basah daripada biasa, dengan ribut petir pada sebelah petang di banyak kawasan hampir setiap hari.

Suhu maksimum harian boleh melangkaui 35 darjah Celsius apabila awan menipis.

Di Singapura, gelombang haba diumumkan apabila purata suhu maksimum harian mencapai sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, dan purata suhu harian keseluruhan sekurang-kurangnya 29 darjah Celsius.

Walaupun tanpa gelombang haba, bahaya tekanan haba tinggi tetap ada, terutamanya lewat pagi dan petang apabila sinaran matahari amat terik.

Pihak berkuasa mengingatkan beberapa sektor agar berhati-hati dan melindungi diri serta orang lain daripada penyakit berkaitan haba, termasuk memantau golongan rentan.

Amaran ini susulan cuaca panas dua minggu terakhir Mac apabila suhu melebihi 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.

Pada 24 Mac, St Joseph’s Institution Junior membenarkan muridnya bersukan dalam pakaian latihan jasmani hingga akhir April, berikutan cuaca panas melanda.

Suhu maksimum pernah mencecah 35 darjah Celsius pada 23 Mac dan 35.2 darjah Celsius pada 24 Mac di beberapa kawasan.

Walaupun begitu, ia tidak menepati kriteria gelombang haba kerana purata keseluruhannya kekal di bawah 34 darjah Celsius.

Kementerian Pendidikan (MOE) menjelaskan pihak sekolah mempunyai kuasa untuk menentukan langkah yang sesuai.

Ini termasuk menambah waktu rehat dan minum air, membenarkan murid memakai pakaian latihan jasmani, menambah kipas, atau memindahkan kelas ke ruang yang lebih sejuk.

Tekanan haba terjadi apabila badan gagal menyejukkan dirinya dengan cukup berkesan.

Jika gelombang haba diramalkan, pemerintah akan mempertingkat langkah melalui pasukan petugas Mercury.

Tindakan itu merangkumi pembukaan pusat penyejukan di kemudahan bermasyarakat berhampiran kawasan perumahan.

Orang ramai digalakkan menyemak tahap tekanan haba melalui aplikasi myENV atau laman cuaca sebelum melakukan kegiatan di luar, serta mempertimbangkan faktor kesihatan, umur dan tahap kegiatan.

Pelbagai agensi telah mengambil langkah melindungi masyarakat daripada tekanan haba.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengingatkan institusi jagaan kesihatan seperti hospital, rumah jagaan dan pusat warga emas untuk memastikan bekalan perubatan mencukupi bagi menangani penyakit dan kecemasan berkaitan haba.

Haba boleh mendatangkan kecederaan ringan seperti ruam haba, kekejangan akibat dehidrasi dan penggunaan otot berlebihan, serta keletihan haba.

Namun, ia juga boleh membawa kepada keadaan serius seperti strok haba.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan penyedia perkhidmatan orang kurang upaya digalakkan mengurangkan kegiatan di luar, terutama antara 11 pagi dengan 4 petang.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) pula mengarahkan prasekolah mengurangkan kegiatan luar dan memantau rapi kanak-kanak.

Dalam kes lebih serius, MOE berhak menggantung sebarang kegiatan fizikal.

Majikan pula diingatkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk melindungi pekerja yang bertugas di luar dengan menyediakan rehat, air dan tempat berteduh secukupnya.

Kementerian Pertahanan (Mindef) turut melaksanakan langkah pengurusan haba bagi anggota tentera, termasuk pendidikan pencegahan dan penyesuaian haba, serta langkah tambahan apabila cuaca terlalu panas.