Satu sesi klinik konsultasi bagi orang ramai mengetahui lebih lanjut tentang cara membuat perancangan legasi dalam Islam akan diadakan buat julung kalinya sempena kempen Bulan Wakaf.
Sesi tersebut bakal diadakan di Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) pada Jumaat, 30 Ogos, di Suntec Singapore dari 4 petang hingga 10 malam.
Sesi tersebut merupakan hasil kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan beberapa rakan kongsi utama termasuk agensi pemerintah seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) dan MyLegacy.
Ia juga melibatkan golongan pakar dalam industri seperti kumpulan guaman Islam, PEGUAM, dan Syarikat Dana Amanah Keperluan Khas (SNTC).
Semasa sesi itu, peserta berpeluang mempelajari tentang alat-alat perancangan legasi Islam berbeza, seperti wasiat, penamaan CPF dan insurans serta meneroka cara-cara melaksanakan wakaf dan cara merancang harta lain termasuk membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Penjagaan Awal (ACP).
Sesi itu juga bakal melengkapkan peserta dengan pengetahuan tentang alat perancangan legasi yang boleh digunakan untuk sedekah jariah, termasuk dengan menyumbang kepada WMS.
Kempen Bulan Wakaf yang telah diadakan sepanjang Ogos bakal melabuhkan tirainya hujung bulan ini.
Selain sesi klinik itu, satu lagi forum WMS bakal diadakan, kali ini dalam bahasa Inggeris di tempat sama pada 7.30 malam.
Seramai 400 peserta dijangka hadir bagi ‘Forum Faraid WMS: A Wasiat For Me’ yang bakal menampilkan penyampaian oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Mufti Dr Nazirudin akan menyentuh tentang wasiat, bagaimana ia diamalkan pada zaman Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya dan mengapa harus dipupuk semula amalan menulis wasiat.
Di samping itu, Mufti Dr Nazirudin akan menjelaskan sebab utama Muslim harus membuat perancangan legasi dan mengapa perlu menimbangkan kaedah selain faraid bagi menjaga kebajikan dan keperluan keluarga dan orang tersayang.
Beliau juga akan menyentuh tentang Konsep Perancangan Legasi Islam (ILP) yang merujuk kepada perancangan pengagihan harta pusaka apabila seorang Muslim meninggal dunia berdasarkan hukum syarak mengenai pusaka atau faraid.
Anggota panel lain yang akan menyertai Mufti Dr Nazirudin di forum faraid itu terdiri daripada pengasas syarikat guaman R.W. Law Practice, Advocate & Solicitor, Cik Rafidah Wahid; dan dua anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) Muis, Ustaz Haron Masagoes Hassan dan ejen hartanah, Cik Nona Kirana.
Dalam pada itu, Mufti Dr Nazirudin juga akan melancarkan buku, ‘Fatwa Singapura, Jilid 2: Pewarisan dan Perancangan Estet’, yang kini diterbitkan dalam bahasa Inggeris, di forum faraid itu.
Kededua acara tersebut merupakan acara kemuncak Bulan Wakaf sejak pelancaran WMS pada awal Ogos bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Islam Singapura tentang peranan dan fungsi WMS dalam mengurus dana wakaf.
Kempen Bulan Wakaf juga bertujuan memperluas takrifan wakaf supaya ia dapat merangkumkan semua lapisan masyarakat sebagai penyumbang kolektif berbanding hanya seorang individu atau keluarga.
WMS yang dibentuk dan ditadbir Muis merupakan dana endowmen Islam yang bertujuan mewujudkan sistem pembiayaan yang mampan untuk menyokong dana sedia ada bagi menyokong institusi keagamaan seperti masjid dan madrasah, pembangunan asatizah seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan program jangka panjang masyarakat menerusi sumbangan masyarakat Islam setempat.
Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran bagi ‘Forum Faraid WMS: A Wasiat For Me’ menerusi laman web, www.go.gov.sg/faraidforum-30aug.
Lungsuri laman https://www.eventbrite.com/e/wms-legacy-village-tickets-973249975877?aff=odcleoeventsincollection&keep_tld=1, untuk maklumat lanjut tentang acara Perkampungan Legasi WMS.
Orang ramai juga boleh memberikan sumbangan kepada WMS melalui laman www.wakaf.sg dengan jumlah serendah $10 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg