JIKA ditanya tentang kerjaya impiannya beberapa tahun lalu, Encik Muhammad Mizzuan Maslan akui perkataan ‘jual ikan’ langsung tidak terlintas di fikirannya.
Ini terutama sekali dengan pengalaman lebih empat tahun bekerja dalam bidang lebih ‘glamor’ sebagai barisan depan atau front desk hotel, lengkap berpakaian sut dan tali leher setiap hari.
Namun, pemuda berusia 31 tahun itu mengambil langkah ‘menyelami’ perniagaan menjual makanan laut sekitar tiga tahun lalu, selepas tertarik dengan trend menjual barang melalui sesi ‘live’ di Facebook, Instagram dan TikTok.
Kawasan pasar di Pelabuhan Perikanan Jurong kini sudah menjadi port anak muda itu, yang juga satu-satunya penjual makanan laut berbangsa Melayu di sana.
Beliau akan memulakan sesi ‘live’ sekitar 8 malam hampir setiap hari untuk menjual stok makanan laut segarnya melalui akaun Chiongster.co di Facebook dan TikTok.
Antara makanan laut segar yang dijual termasuk ikan siakap, ikan merah, sotong, udang, ketam dan siput.
Katanya: “Mula-mula, ramai pegerai di sini tengok saya macam pelik, kenapa budak ini datang sini jual ikan?
“Tapi lama-kelamaan kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain, meskipun kita bersaing jual ikan. “


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg