Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari langit ke bumi, kapten pesawat teruskan puasa jika tidak mudarat

Mar 2, 2025 | 5:30 AM
Kapten Mohammad Faishal Mashud sudah terbiasa berbuka seorang diri di perantauan berjauhan dengan keluarga.
Kapten Mohammad Faishal Mashud sudah terbiasa berbuka seorang diri di perantauan berjauhan dengan keluarga. - Foto ihsan MOHAMMAD FAISHAL MASHUD

Mengimbangi kerjaya yang mencabar dalam dunia penerbangan dengan disiplin rohani berpuasa sepanjang Ramadan bukanlah mudah, tetapi juga tidak mustahil.

Ini dikongsi Kapten Mohammad Faishal Mashud, 47 tahun, seorang juruterbang asal Singapura bersama syarikat penerbangan Emirates.

Kerjayanya melibatkan penerbangan jarak jauh, melintasi beberapa zon waktu, dan perjalanan antarabangsa yang kerap – kesemuanya memberikan cabaran unik sepanjang mengamalkan puasa. Namun, dengan perancangan yang teliti, beliau dapat menguruskan amalan berpuasa dan menjalankan tanggungjawabnya.

“Keselamatan adalah yang paling utama dalam penerbangan dan mengekalkan tenaga serta tumpuan adalah penting untuk memberikan prestasi terbaik,” kata Encik Faishal yang berpangkalan di Dubai bersama isteri dan tiga anaknya.

Cabaran utama yang dihadapi Encik Faishal sepanjang Ramadan adalah menguruskan waktu berpuasa yang panjang. Adakalanya beliau terpaksa menggunakan fleksibiliti yang diberikan kepada para pengembara dalam hukum Islam yang membenarkan beliau untuk menggantikan puasa.

“Penerbangan jarak jauh seperti penerbangan biasa dari Dubai ke Pantai Barat Amerika Syarikat boleh mengambil masa hingga 16 jam, dan dengan perbezaan zon waktu, perjalanan dan puasa boleh menjangkau hingga 22 jam.”

Semasa penerbangan yang panjang, beliau memanfaatkan kelonggaran ini untuk memastikan kesejahteraan fizikalnya sambil tetap kekal berhubung dengan aspek kerohanian.

Selain menyesuaikan jadual puasa, Encik Faishal mengambil langkah berjaga-jaga yang lebih teliti dengan diet dan rutin pemakanan untuk mempersiapkan diri menghadapi tuntutan berpuasa semasa penerbangan jarak jauh.

“Untuk sahur, saya memilih makanan yang agak lambat dihadam seperti oat yang membantu saya terasa kenyang lebih lama. Penghidratan juga sangat penting... saya memastikan minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari, lebih banyak jika perlu.

“Penyesuaian ini membolehkan saya mengekalkan tenaga dan tingkatkan kewaspadaan semasa penerbangan... perkara yang sangat penting dalam melaksanakan pekerjaan saya,” terang Encik Faishal yang sudah mempunyai pengalaman 21 tahun dalam sektor penerbangan.

Walaupun jauh dari tanah airnya, Singapura, beliau menghargai masa yang dihabiskan bersama keluarga semasa Ramadan di Dubai.

“Kebiasaan seperti menyiapkan sahur bersama, solat tarawih di masjid dan makan berkumpul untuk iftar... membantu menjadikan pengalaman berpuasa di perantauan lebih terasa seperti di rumah walaupun berada di negara asing,” kata Encik Faishal yang sudah 11 tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan Emirates.

Selain cabaran peribadi, beliau juga mendapati bahawa berpuasa semasa mengembara memberi perspektif unik mengenai bagaimana Ramadan diamalkan di seluruh dunia.

“Tanpa mengira lokasi, satu aspek universal Ramadan adalah semangat memberi. Kemurahan hati dan kebaikan yang ditunjukkan umat Islam pada bulan ini benar-benar luar biasa,” kongsinya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg