Reka bentuk awal beg kalis air yang mampu memuatkan hingga enam tin atau botol minuman diperkenalkan pada 21 November untuk menggalakkan orang ramai kitar semula di bawah Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS).

Beg ‘Return Right Carrier’ itu dibangunkan oleh peruncit barangan sukan Decathlon dan perusahaan sosial tempatan Commenhers dengan mengolah semula kelengkapan sukan seperti khemah dan alasnya.

Beg itu dipamerkan sempena Hari Singapura Bersih dan Hijau (CGS) di Kampung Admiralty, Woodlands.

Ketua peralihan ekonomi kitaran Decathlon Singapura, Encik Joris Eyral, berkata beg itu mungkin dijual di cawangan Decathlon mulai 2027.

Menurut beliau, tali getah di dalam beg memastikan tin atau botol kekal tegak supaya baki minuman tidak tumpah.

Sebanyak 50 beg dihasilkan dan kini diuji oleh pasukan Decathlon dan Commenhers.

Pengasas bersama Commenhers, Cik Nuryanee Anisah Mohamed Noor, berharap dapat meneroka cara mengolah bahan lain, seperti bahan daripada kayak dan tilam angin, untuk menghasilkan prototaip seterusnya.

Beliau berkata, “Matlamat utama kami ialah memudahkan proses pemulangan. Kami mahu orang ramai ingat untuk bawa beg itu, isi dengan tin dan pulangkan tin ke mesin BCRS.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sejak dilancarkan pada April, BCRS berdepan beberapa masalah awal, termasuk kerosakan dan penyalahgunaan mesin.

Pada November, satu video menunjukkan seorang lelaki mengimbas hanya satu tin yang layak untuk memulangkan beberapa bekas yang tidak layak. Susulan video itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran agar mesin BCRS tidak disalahgunakan.

Acara CGS, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kemampanan dan daya tahan terhadap perubahan iklim, menampilkan reruai yang mempamerkan cara sekolah dan pertubuhan menerapkan amalan mampan.

Selaku tetamu terhormat, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menanam enam pokok spesies tempatan berhampiran Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy sempena gerakan Satu Juta Pokok anjuran Lembaga Taman Negara (NParks).

Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary; Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan; Setiausaha Tetap (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Melvyn Ong, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam,.

Dalam ucapannya, Encik Ong menyentuh sasaran sejagat untuk membataskan kenaikan suhu dunia kepada 1.5 darjah Celsius.

“Segala petunjuk menunjukkan sasaran itu tidak akan tercapai. Di Singapura, kita sudah merasai bahang yang kian meningkat, dan paras laut di sekeliling kita juga semakin naik,” katanya.

Encik Ong berkata Pelan Hijau Singapura 2030, antara langkah negara menangani perubahan iklim, telah mencatat kemajuan yang baik sejak dilancarkan pada 2021 untuk menggalakkan pembangunan lebih mampan.

Sebagai contoh, semua bas awam akan digantikan dengan model yang menggunakan tenaga lebih bersih. 

Lebih 90 peratus kereta yang baru didaftarkan ialah kereta elektrik atau hibrid, dan menjelang 2040, hampir semua kenderaan akan mempunyai kadar pelepasan yang rendah.

Sektor penjagaan kesihatan turut berusaha mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan kitar semula di seluruh rangkaian perkhidmatannya.

Encik Ong berkata pada 2025, penggunaan tenaga bagi setiap meter persegi di institusi penjagaan kesihatan awam turun 7.9 peratus, manakala penggunaan air bagi setiap orang turun 22.5 peratus, berbanding purata yang dijadikan asas perbandingan lima hingga tujuh tahun sebelumnya.

Jumlah sisa yang dilupuskan bagi setiap orang turut susut 29.4 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Encik Ong berkata: “Singapura sebuah negara kecil. Apa jua usaha kita untuk mencapai kemampanan mungkin tidak banyak memberi kesan terhadap perubahan iklim dunia.

“Namun, jika kita melaksanakan Pelan Hijau dengan baik dan negara lain menjadikan dasar kita sebagai rujukan... saya harap itulah cara kita dapat membawa perubahan kepada dunia.”

Pameran itu turut menampilkan reruai pertubuhan seperti Mandai Wildlife Group, yang mengubah hos bomba daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menjadi buaian, alat permainan dan alat yang menguji kepintaran haiwannya mendapatkan makanan.

Pameran itu dibuka dari 9 pagi hingga 7 malam pada 21 dan 22 November.