Singapura mempertingkat sokongan kepada Timor-Leste dalam persiapannya menjadi anggota penuh Asean menerusi program yang dipertingkat.
Sokongan Kesediaan Asean Singapura-Timor-Leste yang dipertingkat, atau Pakej eStars, menawarkan sokongan khusus untuk membantu negara itu memenuhi keperluan bagi persetujuan Asean dan bina keupayaan pemerintahnya.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan daya usaha yang dipertingkat itu semasa lawatan Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao, ke Singapura pada 14 Julai.
Memberi ucapannya semasa acara makan tengah hari di Hotel Pan Pacific, Encik Wong berkata pakej yang dipertingkat itu juga merangkumi program pembangunan kepimpinan dan biasiswa untuk generasi baru pemimpin Timor-Leste.
Semasa pengumuman itu juga, Encik Wong mengulangi komitmen teguh Singapura dalam menyokong aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh Asean serta memperkukuh hubungan jangka panjang antara kedua-dua negara.
Encik Wong berkata:
“Penyertaan Timor-Leste ke Asean yang bakal berlaku merupakan satu pencapaian penting, baik bagi negara anda (Timor-Leste) mahupun bagi Asean.
“Singapura mengalu-alukan penyertaan anda ke dalam keluarga Asean. Kami akan terus bersama anda dalam perjalanan ini.”
Ini merupakan lawatan rasmi kedua Encik Gusmao ke Singapura, selepas lawatan pertamanya pada 2013.
Encik Wong turut berkongsi tentang orkid yang dinamakan sempena nama Encik Gusmao semasa lawatan tersebut.
Menurutnya, mekarnya orkid itu menjadi lambang tentang bagaimana persahabatan antara kedua-dua negara telah berkembang dan terus mekar sepanjang tahun.
Dalam satu kenyataan pada 13 Julai, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Encik Gusmao melawat Singapura dari 13 hingga 16 Julai 2025.
Beliau ditemani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi serta Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Timor Leste, Encik Francisco Kalbuadi Lay; dan Menteri Ehwal Luar dan Kerjasama, Encik Bendito dos Santos Freitas.
Encik Gusmao juga bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai sebahagian daripada lawatannya itu pada 14 Julai.
Berucap semasa acara itu juga, Encik Gusmao menyampaikan penghargaan kepada Singapura atas sokongannya selama ini, terutama sekali dalam usahanya membuat persiapan untuk menjadi anggota penuh Asean.
Menurutnya, latihan yang diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam Timor-Leste dalam bidang seperti perundingan dan penulisan dasar meninggalkan kesan dan mencerminkan kerjasama yang “tidak hanya dalam bentuk kata-kata, tetapi jelas melalui tindakan.”
Timor-Leste, dengan jumlah penduduk seramai 1.3 juta, secara rasmi memohon untuk menjadi anggota penuh Asean pada 2011.
Ia telah menerima sokongan secara prinsip pada bulan Mei, dan penyertaannya dijangka dimuktamadkan semasa Sidang Puncak Asean ke-47 pada Oktober.
Dalam ucapannya, Encik Wong telah menekankan hubungan jangka panjang antara Encik Gusmao dan Singapura dan menyatakan bahawa Singapura berbangga menjadi rakan Timor-Leste.
“Kami masih ingat sumbangan anda dalam perjalanan Timor-Leste, berjuang untuk kemerdekaan, menyatukan negara dan memimpin rakyat dalam tahun-tahun awal pembinaan negara,” kata Encik Wong.
Beliau menambah Singapura telah berdiri seiringan dengan Timor-Leste sejak sebelum negara itu mencapai kemerdekaan lagi.
Encik Wong juga berkata Timor-Leste merupakan antara negara pertama yang menyertai misi menjaga keamanan yang melibatkan pelbagai negara pada 1999 yang dipimpin Australia.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara turut berkembang, dengan syarikat Singapura meneroka peluang dalam sektor hospitaliti, hartanah dan yang lain.
“Kita telah menyambung semula penerbangan terus dan melaksanakan Perjanjian Pengecualian Visa Bersama tahun lalu (2024) – langkah yang akan merapatkan hubungan antara rakyat kita.
“Kerjasama kita dalam pembangunan sumber manusia juga telah berkembang sejajar dengan keperluan Timor-Leste yang berubah,” tambahnya.
Malah sebelum daya usaha Stars dimulakan pada 2022, lebih 1,100 pegawai Timor-Leste telah menyertai kursus di bawah Program Kerjasama Singapura sejak 2002 bagi membina keupayaan dalam pelbagai bidang, kata Encik Wong.
Beliau menambah sejak 2002, lebih daripada 1,100 pegawai Timor-Leste telah menyertai kursus di bawah Program Kerjasama Singapura - wadah utama yang ditubuhkan Singapura pada 1992 bagi menyediakan bantuan teknikal dan pembangunan keupayaan kepada negara-negara membangun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg