Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond Choo dijadual wakili PAP di SMC Tampines Changkat

Apr 17, 2025 | 5:13 PM
Encik Desmond Choo, yang merupakan Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan sebelum ini menawarkan khidmat di kawasan Tampines Changkat dalam GRC Tampines, dijadual bertanding di SMC Tampines Changkat yang baru dibentuk.
Encik Desmond Choo, yang merupakan Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan sebelum ini menawarkan khidmat di kawasan Tampines Changkat dalam GRC Tampines, dijadual bertanding di SMC Tampines Changkat yang baru dibentuk. - Foto ST

Selepas lebih 10 tahun menjaga kawasan Tampines Changkat sebagai sebahagian daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines, Encik Desmond Choo akan bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Tampines Changkat yang baru.

Calon berusia 47 tahun itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, semasa sidang media di Tampines GreenVines pada 16 April.

Encik Masagos adalah menteri utama bagi pasukan PAP di GRC Tampines.

“Selama lebih 10 tahun, saya berbesar hati dapat berkhidmat untuk penduduk Changkat, bukan hanya sebagai Anggota Parlimen (AP), bahkan sebagai peguam dan sahabat mereka,” kata Encik Choo dalam sidang media tersebut, lapor The Straits Times.

“Bagi saya, Changkat lebih daripada sekadar kawasan pilihan raya. Ia adalah rumah kami, tempat di mana kami membina masyarakat yang penyayang dan teguh.”

Bergiat dalam politik pada 2010, Encik Choo memulakan kerjaya politiknya semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2011 di SMC Hougang.

Ketika itu, beliau kalah kepada Encik Yaw Shin Leong, daripada Parti Pekerja (WP), yang memperoleh 64.8 peratus undi.

Beliau dicalonkan oleh PAP sekali lagi pada pilihan raya kecil SMC Hougang pada 2012, namun kalah kepada Encik Png Eng Huat daripada WP yang mendapat 62.08 peratus undi.

Dua kekalahan itu mengajarnya “cara berkhidmat dengan lebih baik, cara membimbing rakyat dengan lebih baik, dan cara menjadi orang yang lebih baik”, katanya pada 16 April.

Encik Choo, yang merupakan Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga Pengarah Divisyen Dasar, berkata pengalaman yang diperolehinya membentuk cara beliau berkhidmat untuk penduduk kawasan Tampines Changkat sejak 2015, apabila beliau dipilih sebagai AP bagi GRC Tampines.

Beliau turut menambah bahawa sejak laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan pada Mac, beberapa penduduk di kawasan itu meminta beliau supaya terus mewakili mereka.

Dengan penubuhan SMC Tampines Changkat yang terpisah dari GRC Tampines, Encik Choo akan bertanding di kawasan itu, dan senarai calon PAP untuk GRC Tampines perlu diperbaharui.

Pasukan lima anggota yang diketuai oleh Encik Masagos akan terus menampilkan Dr Koh Poh Koon dan Encik Baey Yam Keng.

Dua calon baru PAP, Mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo, dan Pembantu Profesor Pemasaran, Dr Charlene Chen, akan melengkapkan pasukan GRC Tampines.

Dalam sidang media, Encik Masagos berkata SMC Tampines Changkat “masih sebahagian daripada Tampines”.

Beliau menambah bahawa Encik Choo “akan sentiasa menjadi sebahagian daripada pasukan kami” dan kawasan itu akan terus dimasukkan dalam perancangan untuk bandar tersebut.

Encik Choo, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, berkata:

“Dengan penubuhan kawasan pilihan raya satu anggota ini, sesetengah orang mungkin bertanya, ‘Adakah kita bersendirian?’

“Biarlah saya memberi jaminan kepada penduduk, seperti yang dikatakan oleh Encik Masagos, bahawa hubungan erat kami dengan GRC Tampines terus kekal.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg