Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Desmond Choo, menyatakan bahawa beliau ingin kekal di Tampines Changkat, yang kini telah dibentuk menjadi sebuah kawasan undi perseorangan (SMC).
Encik Choo berkata seorang AP di SMC dapat memberikan perhatian lebih khusus kepada penduduk, sementara AP di GRC perlu mempertimbang gambaran yang lebih besar dan keperluan GRC tersebut.
Beliau menambah:
“Saya sudah berada di kawasan ini selama 10 tahun. Jika ada peluang, ini adalah tempat yang saya ingin wakili.
“Ramai penduduk datang kepada saya, mengatakan mereka tahu Tampines Changkat telah dibentuk (menjadi SMC), tetapi mereka berharap saya dapat kekal di sini bersama mereka, dan saya berharap dapat melakukan demikian.”
Parti Tindakan Rakyat (PAP) belum mengumumkan barisan bakal calon bagi GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat.
Encik Choo, yang bercakap kepada media pada 13 April selepas pelancaran inisiatif bersama antara Majlis Bandaran Tampines dengan pengendali pengangkutan awam SBS Transit, juga merupakan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East dan Pengerusi Majlis Bandaran Tampines.
Beliau sebelum ini telah bertemu dengan penduduk di kedai kopi di Tampines Street 11, memberikan maklumat terkini mengenai penambahbaikan laluan khidmat bas 292 dan lokasi peti sejuk masyarakat di Tampines Changkat.
Beliau juga memberitahu mereka tentang tempat duduk MRT yang dibaik pulih sebagai bangku awam di Tampines Changkat.
Tempat duduk tersebut, yang berasal dari kereta api generasi pertama yang berkhidmat di Laluan Utara-Selatan (NEL) akan dipasang di 169 lokasi di Tampines.
Encik Choo juga memberi jaminan kepada penduduk yang bimbang tentang kualiti perkhidmatan selepas pembentukan Tampines Changkat sebagai SMC daripada GRC Tamppines.
“Beberapa orang bimbang jika perkhidmatan yang disampaikan akan berubah.
“Jaminan saya adalah perkhidmatan akan kekal sama seperti sebelum ini. Malah, ia akan menjadi lebih baik,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg