Sekitar 20 peserta terdiri daripada pekerja, pelajar pengajian tinggi dan ibu bapa menghadiri Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 2 Oktober di bangunan SPH Media di Toa Payoh North.
Dialog ketiga bagi 2024 tersebut turut dihadiri oleh anggota panel iaitu Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Koresponden BH, Cik Siti Aisyah Nordin, bertindak selaku moderator dalam dialog itu.
Perbincangan yang berlangsung selama tiga jam itu merupakan antara siri dialog anjuran BH bagi memberikan peluang kepada peserta untuk memberi pandangan, idea dan maklum balas kepada dasar-dasar tertentu pemerintah.
Ia juga peluang bagi anggota panel mendengar dan menerangkan dasar-dasar serta pendekatan yang telah diambil bagi isu-isu yang diutarakan.
Sebelum sesi dialog bersama barisan menteri dan AP, para peserta telah melibatkan diri dalam perbincangan kumpulan fokus.
Antara isu yang dibincangkan ialah melindungi pekerja platform terutamanya selepas rang undang-undang pekerja platform diluluskan pada 10 September – bagi melindungi pekerja platform dengan perumahan dan persaraan melalui caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Tambahan itu, peserta turut membincangkan mengenai kepentingan meningkatkan kemahiran agar dapat kekal relevan serta membantu golongan yang hilang pekerjaan.
Mereka kemudian diberi peluang untuk mengutarakan rumusan perbincangan kepada anggota panel dalam segmen dialog.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg