Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dormitori pekerja asing tampil kemudahan baru, sangkal dakwaan kotor, sesak

Dec 4, 2025 | 3:34 PM
Video tersebut yang disiarkan oleh Westlite Singapore bertujuan menyangkal tanggapan bahawa pekerja migran tinggal dalam keadaan sempit dan tidak bersih.
Video tersebut yang disiarkan oleh Westlite Singapore bertujuan menyangkal tanggapan bahawa pekerja migran tinggal dalam keadaan sempit dan tidak bersih. -  Foto TANGKAP LAYAR WESTLITE SINGAPORE/TIKTOK

Baru-baru ini, satu video dalam talian memaparkan sebuah kemudahan serba baru, lengkap dengan katil bertingkat, ruang rekreasi dan gimnasium. 

Secara perbandingan, video itu turut menunjukkan dormitori pekerja asing lain yang dipenuhi pakaian yang bergantung pada palang, periuk belanga di lantai serta tong sampah yang melimpah dengan sisa.

Disiarkan oleh Westlite Singapore, yang merupakan pengendali dormitori pekerja asing dan migran di Singapura dan Malaysia, ia mengetengahkan tempat penginapan terbarunya, Westlite Ubi, di 25 Ubi Ave 3.

Jurucakap Westlite Singapore memberitahu Berita Harian bahawa tempat tersebut merupakan penginapan pekerja terbaru yang telah siap dibina pada suku keempat 2024.

Premis tersebut mula beroperasi pada Disember 2024. Sejak itu, ia beroperasi hampir pada kapasiti penuh dan semua ruang kemudahan telah digunakan sepenuhnya sejak April 2025.

Video tersebut diberi kapsyen: “Jika anda masih berfikir bahawa dormitori pekerja asing ‘kotor’ atau ‘sesak’, sudah tiba masanya untuk melihat keadaan sebenar. Inilah rupa tempat penginapan pekerja migran di Westlite.”

Video itu bermula dengan gambar ruang sempit, katil bertingkat tanpa hiasan serta lokar yang penuh dengan barang peribadi. Kapsyen pada skrin menyebut: “Beginilah sebahagian orang membayangkan rupa dormitori pekerja migran di Singapura.”

Kemudian ia beralih kepada Westlite Ubi yang memperlihatkan perbezaan ketara.

Katil bertingkat itu dilengkapi dengan lampu dan almari pakaian, manakala ruang makan dihias lengkap dengan alas meja serta tumbuh-tumbuhan hijau.

Kemudahan tersebut turut merangkumi dapur dengan dapur mudah alih, bilik rekreasi yang menyediakan tenis meja, serta gimnasium yang dilengkapi dengan peralatan mengangkat berat dan berlari. Kapsyen pada skrin pula menyebut: “ (Ini) berbanding dengan rupa sebenar sebuah dormitori Westlite.”

View post on TikTok

Namun, beberapa netizen menzahirkan rasa ragu tentang aspek penyelenggaraan dan keadaan kebersihan kemudahan tersebut.

Seorang pengguna TikTok, @iforimperiun, berkata: “Masalahnya sama ada ia (dormitori Westlite Ubi) akan diselenggara atau tidak.”

Ada juga pengguna lain yang menyuarakan rasa tidak puas hati serta membangkitkan isu mengenai keadaan dormitori lain di bawah Westlite seperti di Toh Guan dan Jalan Tukang.

Sebagai respons, jurucakap Westlite Singapore berkata:

“Apa yang anda lihat dalam video tersebut, Westlite Ubi, (ia) mempamerkan piawaian baru dalam penginapan pekerja asing yang ingin kami perkenalkan.

“Beberapa penginapan kami yang lain seperti Westlite Toh Guan dan Westlite Mandai kini sedang menjalani kerja penambahbaikan atau pengembangan bagi memenuhi piawaian kehidupan yang lebih baik. 

“Ini termasuk menggabungkan persekitaran yang lebih berfokus kepada gaya hidup, persekitaran yang selesa seakan di rumah, serta ruang komunal yang lebih berfungsi seperti yang dapat dilihat di Westlite Ubi.”

Westlite Singapore menambah bahawa meskipun masih ada pihak yang rasa sangsi tentang keadaan dormitori pekerja secara umum, matlamat perkongsian tersebut adalah untuk menunjukkan bahawa tidak semua penginapan pekerja sama.

“Kami mempunyai pasukan operasi, pembersihan dan penyelenggaraan yang berdedikasi di lokasi untuk membantu membersihkan serta menyelenggara kemudahan secara berkala,” kata jurucakap tersebut. 

Ini termasuk aplikasi yang dibangunkan khas untuk para penghuni menghantar permintaan penyelenggaraan bilik. 

“Pasukan operasi kami akan menangani isu itu dalam masa 48 jam dan menyelesaikannya dalam tempoh seminggu,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg