Topik diikuti
Pergi ke BHkuDron dengan bom tiruan dalam latihan antipengganasan di Esplanade
Dron dengan bom tiruan dalam latihan antipengganasan di Esplanade
Sedang orang ramai bersenam di Esplanade–Theatres on the Bay, tiba-tiba mereka terdengar bunyi desingan dari atas, disusuli satu letupan.
Letupan itu menggegarkan kawasan terbuka, mencederakan enam orang.
Apabila debu dan asap mula reda, mereka yang terselamat menyedari mereka telah diserang dron membawa bom.
Mujur, kejadian mengerikan itu hanyalah sebahagian daripada ‘Exercise Heartbeat’, latihan antipengganasan dan kesediaan kecemasan melibatkan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Ini kali pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini dron digunakan dalam latihan tersebut dan kali kedua Esplanade menjadi tempat latihan.
Penggunaan dron dalam peperangan mendapat perhatian dunia pada 2022 susulan perang Russia-Ukraine.
Pengguna Internet kini biasa melihat rakaman dron bersenjata menghentam rumah, sekolah dan hospital, mengakibatkan kemusnahan meluas serta mengorbankan orang awam yang tidak bersalah.
‘Kejadian keselamatan’ pada awal pagi 25 November itu bermula apabila seorang awam menemui beg yang ditinggalkan di ruang lobi tingkat bawah Esplanade.
Selepas pegawai keselamatan dimaklumkan, beg itu diperiksa bagi mengesan bahan letupan dan disahkan selamat. Kemudian, simulasi serangan dron dan serangan terhadap enam mangsa berlaku. Latihan itu turut melibatkan simulasi serangan bersenjata di tapak Esplanade.
Polis menumpaskan penyerang dengan bantuan Pasukan Respons Kecemasan (ERT).
Setelah kawasan itu disahkan selamat, paramedik SCDF yang memakai kelengkapan perlindungan merawat mangsa. Namun, simulasi ancaman bersenjata berterusan di Esplanade.
Latihan itu turut menguji kesediaan polis menghadapi ancaman pengeboman bunuh diri.
Keadaan yang melibatkan ramai mangsa itu semakin huru-hara apabila berlaku pertempuran bersenjata dan seorang awam dijadikan tebusan.
Pasukan bantuan polis membebaskan tebusan, manakala pasukan Konstabel Khas Sukarela (VSC) membantu memastikan keselamatan kawasan dan memeriksa keadaan mangsa.
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, yang menghadiri latihan itu, berkata beliau gembira melihat penyelarasan berkesan antara pasukan Home Team dengan pihak berkepentingan Esplanade dalam melaksanakan pelan tindak balas kecemasan bagi menjamin keselamatan tempat itu.
Beliau berkata: “Masyarakat berdaya tahan tidak terbina dalam sekelip mata, sebaliknya dibentuk menerusi latihan berulang yang menyerupai keadaan sebenar, seperti yang dijalankan hari ini.
“Latihan mesti diteruskan sehingga kita terbiasa bertindak secara spontan. Apabila krisis sebenar berlaku, tiada peluang kedua.”
Latihan ‘Exercise Heartbeat’ melibatkan lebih 115 peserta yang memperagakan panduan utama SGSecure, iaitu ‘Lari, Sembunyi, Beritahu’ (Run, Hide, Tell) dan ‘Tekan, Ikat, Beritahu’ (Press, Tie, Tell), melibatkan kemahiran pertolongan cemas menggunakan bahan tersedia sebelum ketibaan pasukan kecemasan.
Dalam Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2026, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan ancaman pengganasan di Singapura kekal tinggi, didorong konflik di Timur Tengah.