Dua wanita Melayu/Islam tempatan yang telah banyak berbakti dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan Islam telah dicalonkan bagi Anugerah Tatler Front & Female 2026.

Anugerah tahunan itu, yang mula diperkenalkan pada 2025, sekali gus mengiktiraf usaha berterusan mereka memajukan peluang bagi golongan wanita serta membentuk masyarakat yang lebih saksama.

Asatizah mapan, Ustazah Dr Rohana Ithnin, 63 tahun, dan usahawan teknologi, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, 41 tahun, adalah antara 17 calon yang terpilih daripada lebih 150 pencalonan menerusi enam kategori utama.

Kategori tersebut merangkumi Anugerah Kesejahteraan, Anugerah Impak Sosial, Anugerah Inovasi, Anugerah Pendidikan & Pembangunan, Anugerah Pemimpin Perniagaan dan Anugerah Pengasas.

Cik Hamidah dicalonkan bagi Anugerah Kesejahteraan atas usahanya menangani kesihatan fizikal, mental dan sosial wanita.

Ustazah Dr Rohana pula dicalonkan bagi Anugerah Impak Sosial yang mengiktiraf individu yang menyokong golongan wanita terpinggir dan memperjuangkan hak asasi serta kesaksamaan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Hamidah, yang merupakan Pengasas Parrot Social dan platform TalkAboutSex (Bincang Tentang Seks) serta Naib Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), meluahkan rasa terharu mengenai pencalonannya.

Beliau yang juga aktivis sukarelawan dengan Perikatan Tindakan Aktif Terhadap HPV (A4HPV), telah memperjuangkan kesedaran tentang barah serviks dan pencegahan Virus Papiloma Manusia (HPV) selama hampir 20 tahun.

“Saya sentiasa melakukan kerja ini secara senyap kerana saya rasa masih banyak yang rasa malu dan stigma yang tidak diluahkan mengenai kesihatan seksual, dan tidak ramai wanita yang melindungi diri mereka daripada HPV,” kata Cik Hamidah.

Menerusi usahanya dalam tempoh 18 bulan lalu, beliau berkata lebih 400 wanita daripada pelbagai latar belakang telah mendapat manfaat daripada ujian ‘HPV Simple’.

Program ujian ini dibawakan secara meluas ke pelbagai kawasan seperti Choa Chu Kang, Jurong, Tampines dan Boon Lay dengan bantuan lebih 20 sukarelawan wanita.

Selain itu, Kit Alat HPV (HPV Toolkit) yang dihasilkannya turut diedarkan secara meluas menerusi media sosial, Persatuan Barah Singapura dan pertubuhan akar umbi.

Cik Hamidah turut menekankan bahawa pencegahan barah adalah penting bagi lelaki dan wanita, dan berharap masyarakat lebih berani berjumpa doktor tanpa rasa malu untuk membuat pemeriksaan awal.

“Tidak perlu malu untuk bercakap dengan pakar perubatan tentang masalah kesihatan anda dan bagi wanita, sila pergi ke doktor untuk menjalani ujian pap smear secara berkala atau mendapatkan ujian HPV Simple jika ada,” tambah Cik Hamidah.

Sementara itu, Ustazah Dr Rohana, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pendidikan Islam, menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu amanah dan pengiktirafan kepada pembangunan wanita di Singapura.

Beliau antara lain kini berkhidmat sebagai anggota penuh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Anggota Majlis MUIS, serta anggota Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Pada April, beliau mencatat sejarah apabila beliau menjadi antara dua wanita pertama yang dilantik ke Panel Hakam Mahkamah Syariah, yang sebelum ini hanya dianggotai lelaki.

“Alhamdulillah, saya tentunya berasa terharu, bersyukur dan pada masa yang sama sedikit terkejut apabila dimaklumkan mengenai pencalonan ini,” kata Ustazah Dr Rohana.

“Saya melihatnya bukan sekadar sebagai pengiktirafan peribadi, tetapi sebagai satu amanah dan penghargaan kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya.

“Satu pengiktirafan bahawa pendidikan agama, pembangunan wanita dan khidmat kepada masyarakat juga mempunyai tempat dalam ruang kepimpinan dan pembinaan masyarakat Singapura.”

Ketika dihubungi BH, Ustazah Dr Rohana berkata beliau berharap pencalonan ini akan membawa mesej bahawa setiap orang mempunyai ruang untuk menyumbang, tidak kira usia, latar belakang atau bidang yang diceburi.

Beliau juga berharap orang ramai akan terus berani membawa nilai agama ke tengah masyarakat, bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui ilmu, akhlak, khidmat dan cara menyantuni manusia.

“Bagi saya, seorang wanita tidak perlu memilih antara ilmu, agama dan keterlibatan dalam masyarakat. Ketiga-tiganya boleh berjalan bersama.

“Kita boleh teguh dengan nilai dan identiti kita, tetapi pada masa yang sama terbuka untuk mendengar, memahami perubahan zaman dan menyantuni masyarakat dengan hikmah,” kata Ustazah Dr Rohana.

Pemenang Anugerah Front & Female 2026 akan diumumkan pada satu majlis secara langsung pada 2 September, yang akan diadakan di Hotel Raffles Sentosa.

Pada 2025, pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika, telah dianugerahkan Tatler Asia Rising Champion (Pejuang Baru Tatler Asia) atas usahanya meluaskan suara minoriti dan membentuk semula wacana melalui gerakan yang diterajui belia, menurut laman Tatler Asia.