Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin: Perpaduan sosial tidak berlaku secara semula jadi, perlu dipupuk dengan gigih

Usaha bukan sahaja terletak pada dasar pemerintah, harus dipraktik setiap individu
Jun 26, 2025 | 8:26 PM
Edwin Tong, ICCS, Perpaduan sosial 
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, berkata usaha memelihara kepelbagaian budaya bukan sahaja terletak pada dasar yang disediakan pemerintah, namun, ia juga harus dipraktikkan setiap individu. - Foto ST

Perpaduan sosial di Singapura tidak berlaku secara semula jadi dan memerlukan usaha gigih untuk dipelihara.

Hal itu dinyatakan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, ketika berucap di sesi penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) 2025, yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City pada 26 Jun.

“Anda mesti berusaha keras untuk itu, dan ia adalah kerja yang memerlukan ketekunan.

“Saya percaya kita semua tahu tiada pengganti bagi usaha ini.

“Tetapi jika kita melakukannya dengan betul, kita dapat membina segunung harapan dan aspirasi bersama, serta mencipta persekitaran di mana orang bukan sahaja bertolak ansur antara satu sama lain, malah saling menerima dan menghargai,” katanya.

Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) 2025 menghimpunkan seramai 1,000 pemimpin berpemikiran sejagat, penggubal dasar, pengamal masyarakat dan pemimpin muda dari lebih 50 negara untuk saling bertukar idea. Ia turut dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong (depan).
Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) 2025 menghimpunkan seramai 1,000 pemimpin berpemikiran sejagat, penggubal dasar, pengamal masyarakat dan pemimpin muda dari lebih 50 negara untuk saling bertukar idea. Ia turut dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong (depan). - Foto ST

Berlangsung dari 24 hingga 26 Jun 2025, ICCS 2025 menghimpunkan seramai 1,000 pemimpin berpemikiran sejagat, penggubal dasar, pengamal masyarakat dan pemimpin muda dari lebih 50 negara untuk saling bertukar idea.

Ia dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Ini merupakan edisi ketiga ICCS, dengan persidangan sebelumnya diadakan pada 2019 dan 2022.

Mengulas lanjut, Encik Tong menambah usaha memelihara kepelbagaian budaya bukan sahaja terletak pada dasar yang disediakan pemerintah, bahkan ia juga harus dipraktikkan setiap individu.

Beliau percaya pemerintah dan masyarakat harus bekerjasama untuk meneruskan usaha itu terutama sekali dengan cabaran dalam terus mengamalkan perpaduan sosial dalam kehidupan seharian.

Ini kerana penerapan dasar sahaja tidak akan berhasil jika masyarakat tidak mengamalkannya setiap hari, sama juga dengan masyarakat yang tidak mampu berfungsi tanpa dasar dan rangka kerja.

Beliau menggariskan interaksi harian yang dilakukan masyarakat amatlah penting dalam menjaga perpaduan sosial, antaranya interaksi di acara masyarakat, perayaan kejiranan serta acara sukan.

“Semua interaksi kecil ini sangat penting dan tidak boleh diabaikan dalam usaha kita membina masyarakat yang bersatu padu secara sosial,” tambahnya.

Beliau menambah perpaduan sosial tidak wujud secara semula jadi, dan “naluri paling asas kita mendorong kita untuk mencari individu yang serupa dengan kita”.

“Kita cenderung bergaul dengan orang yang kelihatan seperti kita, bertutur seperti kita, berkongsi kepercayaan yang sama – dan pada asasnya mencerminkan diri kita sendiri,” tambahnya.

Encik Tong turut menggesa hadirin supaya melihat sesuatu isu dari sudut pandang orang lain, seperti golongan minoriti agar dapat mengenali keunikan individu tersebut.

Terutama sekali dengan perbezaan yang wujud dalam masyarakat, dari sudut warisan, norma budaya dan sejarah.

“Adalah mudah untuk melihat sesuatu dari sudut pandang masyarakat majoriti, tetapi bolehkah kita bertanya kepada diri sendiri untuk melihat sesuatu perspektif atau isu daripada sudut pandang seseorang yang tergolong dalam kalangan minoriti?

“Saya percaya, jika kita dapat melakukannya, maka kita mempunyai peluang terbaik untuk membentuk pengalaman hidup individu tersebut – sesuatu yang sangat penting dan bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, di salah satu plenari ICCS 2025 pada 26 Jun, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, turut berkata kumpulan bantuan masyarakat juga dapat berfungsi dalam menjaga kepelbagaian budaya.

Kumpulan itu sering mendapatkan sokongan daripada pemerintah agar keperluan yang diperlukan dapat disediakan.

Beliau menggariskan beberapa agensi termasuk Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).

“Inisiatif ini berakar kuat dalam kaum masing-masing yang akan mencari cara untuk memajukan masyarakat mereka dan melaksanakan campur tangan dasar serta inisiatif spesifik dan terarah berkaitan dengan kumpulan kaum masing-masing,” ujarnya.

Berucap di salah satu plenari di ICCS 2025, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, berkata kumpulan bantuan masyarakat juga dapat berfungsi dalam menjaga kepelbagaian budaya. 
Berucap di salah satu plenari di ICCS 2025, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, berkata kumpulan bantuan masyarakat juga dapat berfungsi dalam menjaga kepelbagaian budaya.  - Foto ST
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg