Edwin Tong: Pelantikan peguam negara ikut perlembagaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin Tong: Pelantikan peguam negara ikut perlembagaan

Mar 2, 2026 | 3:34 PM

Edwin Tong: Pelantikan peguam negara ikut perlembagaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata di negara lain, Peguam Negara ialah jawatan yang dipilih melalui pilihan raya, namun Singapura mengamalkan model yang berbeza sejak merdeka.
Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata di negara lain, Peguam Negara ialah jawatan yang dipilih melalui pilihan raya, namun Singapura mengamalkan model yang berbeza sejak merdeka. - Foto MDDI

Pelantikan Peguam Negara bukan satu proses yang dibuat secara sambil lewa, sebaliknya mencerminkan keseimbangan antara tanggungjawab eksekutif dengan perlindungan institusi, kata Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong pada 2 Mac.

Tidak bersetuju dengan kenyataan Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied,) yang menyifatkan proses pelantikan itu sebagai tidak menyeluruh, Encik Tong menegaskan bahawa di bawah Perlembagaan, Perdana Menteri perlu terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) sebelum mengemukakan nasihat mengenai pelantikan tersebut kepada Presiden.

“Selepas menerima nasihat itu, Presiden pula akan berunding dengan Majlis Penasihat Presiden (CPA) dan membuat penilaian bebas mengenai pelantikan tersebut,” tambah Encik Tong semasa perbahasan kementeriannya.

Menteri itu berkata pelantikan semula Peguam Negara sedia ada, Encik Lucien Wong, 72 tahun, pada Januari 2026 adalah berdasarkan prestasinya.

“Di bawah kepimpinannya, agensi itu telah menasihati pemerintah mengenai isu undang-undang dan perlembagaan yang kompleks, mendakwa kesalahan jenayah secara adil dan tegas serta memastikan rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen adalah jelas, kukuh dan sesuai untuk keperluan Singapura.

“Pengalaman dan kepimpinannya yang tenang sangat penting bagi Singapura, terutama dalam urusan antarabangsa yang sensitif,” kata Encik Tong, sambil menambah bahawa Encik Wong, yang berkhidmat sebagai Peguam Negara sejak 2017, mempunyai kerjaya guaman yang cemerlang sebelum pelantikannya.

Encik Tong juga tidak bersetuju dengan cadangan Cik Lim supaya perbincangan yang terlibat dalam pelantikan tersebut didedahkan kepada umum.

Beliau berkata pelantikan Peguam Negara melibatkan perkara yang perlu dinilai oleh Pengerusi PSC dan CPA.

“Sebagai contoh, CPA tidak menerbitkan nasihatnya kepada Presiden, dan pemerintah juga tidak mengetahui perbincangan dalaman mereka,” kata Encik Tong.

Beliau menambah bahawa perbincangan itu perlu dirahsiakan kerana jika kesesuaian atau penolakan seseorang calon didedahkan kepada umum, calon yang layak mungkin berasa keberatan untuk dipertimbangkan.

Encik Tong berkata di beberapa negara lain, Peguam Negara merupakan jawatan yang dipilih melalui pilihan raya, namun Singapura mengamalkan model berbeza sejak merdeka.

“Peguam Negara kita bukan seorang ahli politik. Beliau dilantik berdasarkan kecemerlangan profesional, integriti dan pertimbangan yang baik,” tambahnya.

Encik Tong turut menjelaskan kriteria yang dipertimbangkan pemerintah dalam melantik seorang Peguam Negara, yang menurutnya merupakan antara jawatan paling penting dalam kerangka perlembagaan Singapura.

“Peguam Negara mesti mempunyai integriti yang tidak boleh dipertikaikan serta keteguhan moral yang tinggi.

“Beliau mesti memberikan nasihat yang objektif dan bertindak secara adil dalam pendakwaan, walaupun dalam keadaan yang sukar.

“Beliau juga perlu bersedia menegakkan undang-undang secara saksama dan menguatkuasakannya sama rata terhadap semua pihak,” kata menteri itu, sambil menambah bahawa individu yang mempunyai pengalaman, pertimbangan dan integriti yang diperlukan bukan mudah ditemui.

“Pemerintah sentiasa mencari calon yang sesuai, seseorang yang mampu memikul sepenuhnya tanggungjawab ini.

“Dalam membuat sebarang pelantikan, Pemerintah juga mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk prestasi penyandang, keupayaan dan kesediaannya untuk terus berkhidmat, serta sama ada terdapat perkara penting yang sedang berjalan yang memerlukan kesinambungan dan pengawasan rapi.”

Encik Tong berkata Pemerintah terus bergantung pada nasihat Encik Wong dalam perkara penting seperti rundingan sempadan maritim, pembaharuan undang-undang cukai dan sektor kewangan, serta kes jenayah rentas sempadan yang kompleks.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg