Menteri Undang-Undang Singapura, Encik Edwin Tong, berkata teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kapal tanpa pemandu (autonomi) mampu meningkatkan keselamatan pelayaran, namun turut membawa risiko dijadikan senjata dan ancaman siber.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Oktober.

Sehubungan itu, kemajuan teknologi perlu seiring dengan usaha menjamin keselamatan, yang memerlukan kerjasama antarabangsa untuk menegakkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) sambil memanfaatkan teknologi baharu, kata Encik Tong kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Encik Tong memberitahu UNSC bahawa walaupun AI meningkatkan sistem pelayaran dan perhubungan, dron serta kapal berautonomi boleh mengganggu laluan kapal.

Serangan terhadap kapal awam turut mengancam keselamatan pelaut, tambahnya dalam perbahasan peringkat tinggi mengenai keselamatan maritim.

Perdana Menteri Greece, Encik Kyriakos Mitsotakis, pula menggesa gencatan senjata maritim sedunia selepas serangan dron menyebabkan sebuah kapal kontena Greece karam di perairan Bulgaria, barat Laut Hitam pada 28 Oktober.

Beliau mengingatkan negara-negara agar tidak membiarkan lautan menjadi “hutan rimba tanpa undang-undang”, sambil menegaskan bahawa perjanjian dua hala tidak boleh mengatasi Unclos.

Mewakili Oceans Four, Encik Tong berkata serangan siber boleh melumpuhkan sistem kapal, mengganggu operasi pelabuhan dan membolehkan kapal dirampas secara tidak sah.

Oceans Four merangkumi Fiji, Jamaica, Malta dan Singapura, yang memainkan peranan penting dalam penggubalan Unclos pada 1982.

Encik Tong menggesa masyarakat antarabangsa menolak tindakan yang mengancam keamanan, termasuk sekatan terhadap hak laluan transit melalui selat antarabangsa.

“Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran Unclos,” katanya.

Beliau berkata Oceans Four mengalu-alukan penerimaan kod kapal yang tidak diwajibkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), serta menyokong peraturan wajib bagi memastikan kapal tanpa pemandu digunakan dengan selamat dalam perkapalan sedunia.

“Kami berpegang teguh pada Unclos sebagai rangka kerja undang-undang bagi semua kegiatan di laut,” katanya.

Dalam sesi berasingan Perhimpunan Agung PBB, Encik Tong menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa penting untuk menjamin kewujudan negara kecil dan Singapura akan terus menyokong Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Singapura buat kali pertamanya mencalonkan rakyatnya, Duta Besar bagi Undang-Undang Antarabangsa, Cik Rena Lee, sebagai hakim ICJ.

Cik Lee antara 10 calon merebut lima kerusi dalam pemilihan pada 3 November. Hakim terpilih akan berkhidmat selama sembilan tahun, dari 2027 hingga 2036.

Encik Tong menyifatkan Cik Lee sebagai pakar undang-undang antarabangsa berpengalaman dalam undang-undang laut, iklim, kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Sebagai presiden persidangan PBB mengenai Perjanjian bagi Kepelbagaian Biologi Marin Kawasan Melangkaui Bidang Kuasa Negara (BBNJ), Cik Lee berjaya memuktamadkan rundingan perjanjian laut lepas di bawah Unclos.

Beliau pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara (AGC), Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Pejabat Harta Intelek Singapura (Ipos) sepanjang lebih tiga dekad.

Encik Tong berkata Cik Lee mungkin bakal menjadi hakim wanita pertama ICJ dari Asia Tenggara dan negara kecil.