FairPrice tawar diskaun bagi produk jenama sendiri 19 Mac-10 Jun
FairPrice tawar diskaun bagi produk jenama sendiri 19 Mac-10 Jun
Diskaun sebahagian daripada kempen bantu rakyat jimat
Pelanggan FairPrice kini boleh menikmati potongan harga bagi produk jenama sendiri pasar raya itu dari 19 Mac hingga 10 Jun.
Sepanjang tempoh 12 minggu ini, produk jenama FairPrice, seperti beras, tisu muka dan makanan sejuk beku yang diproses, boleh dibeli dengan diskaun sehingga 36 peratus.
Barangan yang ditawarkan akan bertukar setiap minggu.
Misalnya, pada minggu pertama, minyak kanola, tuala dapur dan tisu muka jenama FairPrice, serta produk lain, termasuk dalam tawaran itu.
Menurut FairPrice, jenama sendirinya merangkumi lebih 3,500 produk, yang kebiasaannya 10 hingga 15 peratus lebih murah berbanding jenama lain di pasaran.
Diskaun itu adalah sebahagian daripada kempen FairPrice ‘Best Sellers for Less’ – yang dilancarkan semula untuk membantu rakyat Singapura berjimat cermat di tengah ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.
Demikian kenyataan FairPrice Group pada 19 Mac.
Ketua Eksekutif FairPrice Group, Encik Vipul Chawla, berkata FairPrice ingin menunjukkan penghargaan kepada rakyat Singapura atas kepercayaan mereka terhadap jenama FairPrice sendiri, di samping memastikan produk asas yang bermutu tetap mampu dimiliki pada masa yang mencabar ini.

