FairPrice tawar snek berbuka percuma di 60 cawangan
Pek mengandungi minuman serta buah-buahan atau biskut, akan diberikan 30 minit sebelum dan selepas waktu buka
Umat Islam yang sedang membuat persiapan berbuka puasa kini boleh menikmati pek snek yang akan diagihkan di 60 cawangan FairPrice sepanjang Ramadan.
Pek snek tersebut, yang mengandungi minuman serta buah-buahan atau biskut, akan diberikan setiap hari oleh kakitangan dan sukarelawan kira-kira 30 minit sebelum dan selepas waktu berbuka.
Umat Islam boleh memilih, misalnya, epal, kurma atau biskut. Antara pilihan minuman ialah teh laici ros, susu atau air kosong.
Dalam satu kenyataan pada 19 Februari, FairPrice Group memaklumkan pihaknya akan mengagihkan 80,000 set juadah berbuka puasa pada 2026, meningkat daripada 75,000 set pada 2025.
Langkah itu dilakukan dari 19 Februari hingga 20 Mac, tambahnya.
FairPrice memaklumkan usaha itu bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan berkhasiat untuk pelanggan Muslim ketika mereka berbuka puasa.
Yayasan FairPrice, cabang dermawan pasar raya gergasi itu, turut akan mengagihkan 500 pek Ramadan kepada golongan memerlukan yang dibantu oleh Yayasan Mendaki.
Pek tersebut merangkumi epal segar, kurma, susu segar, pes masakan dan keperluan berbuka puasa.
FairPrice juga akan menawarkan diskaun bagi barangan perayaan Hari Raya sehingga 25 Mac.
Hari Raya Puasa dijadual jatuh pada 21 Mac.
Sebanyak 35 cawangan FairPrice di seluruh negara akan menampilkan bazar Hari Raya yang menawarkan juadah perayaan sedia dimakan, bahan perasa, makanan beku, pencuci mulut serta hiasan Hari Raya.
Orang ramai boleh melayari laman web FairPrice untuk maklumat lanjut.

