Maybank, Grab, badan Melayu/Islam gabung bantu 2,500 isi rumah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maybank, Grab, badan Melayu/Islam gabung bantu 2,500 isi rumah

Feb 8, 2026 | 9:00 PM

Maybank, Grab, badan Melayu/Islam gabung bantu 2,500 isi rumah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
faishal ibrahim, maybank, grab
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (depan), memasukkan pek makanan ke dalam kenderaan di acara Ramadan Kasih, di Wisma Geylang Serai pada 8 Februari. Bersama beliau ialah (belakang, dari kanan) Naib Presiden Pertapis, Dr H.C Fazil Abdul Hamid; Pengarah Urusan Grab Singapore, Encik Alejandro Osorio; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapore, Encik Alvin Lee (terselindung). - Foto BH oleh KHALID BABA

Cik Kahtijah Abdullah, 71 tahun, telah membesarkan tiga cucu lelakinya sendirian di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tiga biliknya di Eunos Crescent sejak 30 tahun lalu.

Ini kerana ibu bapa mereka – anak perempuan keduanya dan menantu lelaki – keluar masuk penjara akibat kesalahan berkaitan dadah.

Suami Cik Kahtijah sudah lama meninggal dunia.

Beliau tidak lagi menerima bantuan kewangan bulanan – sekitar $900 – selepas dua cucunya, pasangan kembar yang kini berusia 30 tahun meningkat dewasa dan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Cucu ketiga yang dijaganya berusia 11 tahun.

Namun beliau masih bergantung pada makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula daripada Pertapis setiap bulan.

Ini di samping menerima baucar pasar raya bernilai $50 bagi menampung perbelanjaan harian.

“Cucu kembar saya dah kerja dan boleh bayar bil rumah dan beli barang keperluan yang lain,” ujar Cik Kahtijah, ketika ditemui Berita Harian (BH).

Menjelang Ramadan ini, ibu lima anak dan 30 cucu itu menerima bantuan tambahan dalam menguruskan perihal rumahnya.

Cik Kahtijah merupakan antara sekitar 700 benefisiari yang menerima pek makanan di Wisma Geylang Serai menerusi acara Ramadan Kasih pada 8 Februari.

Acara tersebut turut melancarkan Program Bantuan Ramadan Serantau Kumpulan Maybank 2026 di Singapura yang keseluruhannya dijangka memberi manfaat kepada 2,500 benefisiari.

Inisiatif tersebut, yang diterajui Maybank dan disokong oleh Grab serta 12 Pertubuhan Melayu/Islam (MMO), menandakan kali pertama kesemua MMO tersebut berganding bahu untuk menyediakan keperluan asas Ramadan kepada keluarga di seluruh negara, kata jurucakap Maybank.

Berucap di acara tersebut, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kerjasama itu mencerminkan kekuatan rangkaian masyarakat yang sekali gus membolehkan bantuan disalurkan dengan pantas, meluas, dan penuh prihatin.

“Usaha bersama yang kita saksikan hari ini mengingatkan kita bahawa kekuatan masyarakat terletak pada keupayaan kita untuk saling menjaga dan menyokong antara satu sama lain. Apabila pertubuhan masyarakat, rakan industri dan para sukarelawan berganding bahu, bantuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

“Ini agar setiap keluarga yang memerlukan dapat merasai sentuhan keprihatinan kita lebih-lebih lagi kita menghampiri Ramadan,” ujar beliau.

Mengulas lebih lanjut, Dr Faishal berkata inisiatif sebegini memberi ruang untuk masyarakat saling prihatin dan menzahirkan kasih sayang.

“Ia memberikan peluang untuk kita mendalami dan memberikan sentuhan Ramadan sesama insan.

“Ramadan juga memberi peluang untuk kita menghayati nilai syukur atas setiap nikmat yang dikurniakan,” tambah beliau.

Turut hadir di acara tersebut termasuk Naib Presiden Pertapis, Dr H.C Fazil Abdul Hamid; Pengasas dan Presiden Kehormat Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali; dan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.

Antara MMO yang terlibat menggembleng tenaga bersama dalam usaha ini ialah Pertapis, Persatuan Muhammadiyah, Perdaus, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Casa Raudha, MKAC, AMP Singapura, PPIS, Tabung Amal Aidilfitri (TAA),Persekutuan India Muslim (FIM), dan Jamiyah Singapura.

Program Bantuan Ramadan Serantau Kumpulan Maybank 2026 akan menyediakan pek makanan kepada 2,500 benefisiari di seluruh Singapura.

Pada 2025, program serupa telah dilaksana di negara Asean seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand juga.

Antara kandungan pek makanan yang diagihkan kepada sekitar 2,500 penerima dalam Program Bantuan Ramadan Serantau Kumpulan Maybank 2026 adalah barangan keperluan asas seperti beras, mi segera, minyak masak, susu UHT dan susu pekat.
Antara kandungan pek makanan yang diagihkan kepada sekitar 2,500 penerima dalam Program Bantuan Ramadan Serantau Kumpulan Maybank 2026 adalah barangan keperluan asas seperti beras, mi segera, minyak masak, susu UHT dan susu pekat. - Foto MAYBANK SINGAPORE

Pek makanan tersebut mengandungi barangan keperluan asas termasuk beras, mi segera, minyak masak, susu UHT dan susu pekat.

Ia juga turut disertakan dengan snek makanan ringan, seperti kerepek sambal dan popiah mini.

Kerja membungkus dan mengagihkan pek makanan telah bermula sejak 2 Februari.

Ini termasuk mengagihkan pek makanan itu kepada sekitar 500 benefisiari di Kelab Masyarakat Marsiling dan Hong Kah North pada pagi 8 Februari.

Sejumlah 150 penghantar makanan Grab turut menghantar 1,300 pek makanan secara langsung ke rumah benefisiari.

Menyentuh tentang inisiatif tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapore, Encik Alvin Lee, menekankan peri penting kerjasama dengan pertubuhan masyarakat yang sudah lama bergiat di lapangan dan memahami keperluan masyarakat.

“MMO kami telah lama menjalankan kerja penting dengan mengetahui keadaan di lapangan. Mereka memahami keperluan masyarakat, siapa yang memerlukan bantuan, bila bantuan diperlukan, dan cara terbaik untuk menyampaikannya.

“Pengalaman dan kepercayaan inilah yang menjadikan inisiatif sebegini sangat berkesan,” ujar beliau.

Cik Kahtijah berkata pek makanan yang diterimanya boleh membantu beliau menjimatkan perbelanjaan semasa Ramadan.

“Ia bermakna bagi saya, terutamanya untuk bulan puasa ini. Saya tidak bekerja dan perlu menjaga tiga orang cucu saya. Ia meringankan beban saya,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg