Perang di Timur Tengah: Pesawat tentera kedua bawa pulang warga S’pura dari Jeddah dijangka tiba di Changi dinihari 13 Mac
Perang di Timur Tengah: Pesawat tentera kedua bawa pulang warga S’pura dari Jeddah dijangka tiba di Changi dinihari 13 Mac
Sekumpulan pelajar pengajian Islam, termasuk dari Jordan, antara penumpang
Pesawat tentera kedua yang membawa pulang rakyat Singapura dari Jeddah, Arab Saudi, dijangka tiba di Lapangan Terbang Changi pada dinihari 13 Mac.
Antara penumpang dalam penerbangan itu ialah sekumpulan pelajar pengajian Islam warga Singapura yang menuntut di Timur Tengah, termasuk dari Jordan.
Pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah sekitar 4.30 petang (waktu tempatan) pada 12 Mac, menurut laman pemantauan penerbangan Flightradar24.
Penerbangan yang dinamakan SAF14 itu dijadual tiba di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi selepas 6 pagi pada 13 Mac.
Penerbangan tersebut ialah penerbangan keempat yang diusahakan negara ini untuk membawa pulang rakyat yang terkandas di Timur Tengah yang dibelenggu peperangan yang kian meruncing. Sebelum ini, dua penerbangan komersial dan satu pesawat RSAF telah membawa pulang warga Singapura dan keluarga mereka dari Timur Tengah.
Pesawat RSAF pertama, iaitu SAF12, membawa pulang 218 warga Singapura dan keluarga mereka dari Riyadh, Arab Saudi pada 11 Mac.
Perang tercetus di Timur Tengah selepas Israel dan Amerika Syarikat menyerang Iran pada 28 Februari, mencetus serangan balas yang kini melibatkan beberapa negara lain di sana, termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu.

