Topik diikuti
Pergi ke BHkuFAS ‘pantau rapi perkembangan keselamatan’ menjelang Piala Asia di Arab Saudi
FAS ‘pantau rapi perkembangan keselamatan’ menjelang Piala Asia di Arab Saudi
Serangan ganas Houthi Yaman yang disokong Iran terhadap lapangan terbang Arab Saudi telah menjejas perjalanan udara dan menimbulkan kebimbangan terhadap penganjuran Piala Asia dari 7 Januari hingga 5 Februari.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 12 Oktober berkata pihaknya memantau perkembangan keselamatan di Timur Tengah dan kesannya terhadap perjalanan.
“Keselamatan dan kesejahteraan pemain, jurulatih serta pegawai kami menjadi keutamaan,” kata jurucakapnya.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), penganjur kejohanan empat tahun sekali itu, tidak memberikan ulasan.
Kebimbangan meningkat selepas beberapa serangan peluru berpandu ke atas lapangan terbang Riyadh mengorbankan lebih 12 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Pada 12 Oktober, Houthi mendakwa menyerang lapangan terbang itu menggunakan peluru berpandu balistik, selepas Arab Saudi mengumumkan pihaknya memintas dan memusnahkan peluru berpandu kumpulan tersebut.
Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid digantung sekurang-kurangnya sehingga 17 Oktober bagi memastikan keselamatan dan kesediaan kemudahannya.
Beberapa syarikat penerbangan termasuk Delta Air Lines, Cathay Pacific dan Air France-KLM membatalkan atau menangguhkan penerbangan ke Arab Saudi.
Pada 9 Oktober, Singapore Airlines menangguhkan pelancaran penerbangan ke Riyadh sehingga 28 Mac, manakala Scoot membatalkan penerbangan ke Jeddah sehingga 2 Disember.
Australian Associated Press (AAP) melaporkan AFC tidak mungkin menarik balik hak penganjuran Arab Saudi dalam masa singkat.
Namun, kejohanan mungkin ditangguhkan sehingga Januari 2028 sekiranya konflik berlarutan.
Kapten Singapura, Hariss Harun, memberitahu ST: “Kami mahu beraksi dalam pertandingan terbesar benua ini, tetapi kami juga mahukan keamanan dunia.
“Keselamatan mesti diutamakan kerana kejohanan ini melibatkan pemain daripada 24 pasukan, kakitangan, sukarelawan, keluarga dan penyokong.
“Kami percaya AFC akan membuat keputusan yang tepat.”
Lima daripada lapan tempat berlangsungnya kejohanan itu terletak di Riyadh, yang akan menganjurkan 31 perlawanan termasuk perlawanan akhir.
Singapura, yang layak buat kali pertama, akan menentang Australia pada 9 Januari dan Iraq pada 19 Januari di Khobar, serta Tajikistan pada 14 Januari di Riyadh.
Football Australia turut menegaskan penilaian risiko menjadi tumpuan persiapannya.
Korea Selatan pula sedang meneliti pelbagai senario menjelang perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi pada November.
Konflik itu turut menyebabkan pembatalan perlawanan Singapura menentang Kepulauan Faroe, Grand Prix F1 Jeddah dan acara Kejohanan Rali Dunia di Arab Saudi.