Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Feri dari Batam ke S’pura langgar kapal tangki, tiada dilapor cedera

Nov 11, 2025 | 1:52 PM
Feri Horizon 9 mengalami kerosakan pada bahagian haluan, namun masih beroperasi sepenuhnya semasa dalam perjalanan pulang ke HarbourFront.
Feri Horizon 9 mengalami kerosakan pada bahagian haluan, namun masih beroperasi sepenuhnya semasa dalam perjalanan pulang ke HarbourFront. - Foto tangkap layar TikTok

Tiada penumpang atau anak kapal dilaporkan cedera dalam insiden pelanggaran yang melibatkan dua kapal termasuk sebuah feri yang membawa 165 penumpang dari Batam ke Singapura pada 10 November sekitar 5 petang.

Menurut Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 11 November, pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden yang melibatkan feri penumpang yang berdaftar di Singapura, Horizon 9, dan kapal tangki La Digue yang berdaftar di Pulau Marshall, pada 10 November.

Feri tersebut sedang dalam perjalanan ke Pusat HarbourFront apabila ia berlanggar dengan kapal tangki itu di perairan berhampiran Kepulauan Selatan.

Sebuah kapal rondaan MPA segera digerakkan untuk mengiring feri tersebut pulang ke Pusat HarbourFront.

Semua 165 penumpang dan tujuh anak kapal di atas feri Horizon 9 berjaya diturunkan dengan selamat di Terminal Feri Serantau di Pusat HarbourFront.

Feri tersebut mengalami kerosakan pada bahagian haluan, namun masih beroperasi sepenuhnya semasa dalam perjalanan pulang ke Pusat HarbourFront. 

Kapal tangki La Digue pula tidak melaporkan sebarang kerosakan.

MPA turut menegaskan bahawa tiada laporan pencemaran akibat insiden tersebut, dan tiada gangguan terhadap trafik pelayaran atau operasi pelabuhan.

Siasatan sedang dijalankan oleh MPA bagi mengenal pasti punca kejadian.

Munurut The Straits Times (ST), seorang penumpang feri, Encik Junaidi, berkata bahawa sebelum kemalangan itu berlaku, feri tersebut telah melencong ke kiri secara tiba-tiba.

Beliau berkata enjin feri kemudiannya dimatikan.

Lelaki berusia 43 tahun itu menambah bahawa beliau sempat menyedari feri tersebut sedang menuju ke arah sisi kapal tangki berkenaan.

“Bunyi dentuman kuat kedengaran ketika perlanggaran berlaku,” katanya.

“Terdapat sedikit kekecohan dalam feri kerana pada mulanya kami menyangka kerosakan yang berlaku agak serius,” ujar Encik Junaidi, sambil menambah bahawa kru feri kemudian menenangkan para penumpang dengan memberi jaminan bahawa feri hanya mengalami kerosakan kecil.

Beliau berkata pihak berkuasa kemudiannya mengiringi feri tersebut dengan selamat ke Terminal HarbourFront.

Berita Harian telah menghubungi Horizon Ferry untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg