Pelajar Menengah 3 daripada Sekolah Tinggi Presbyterian, Muhammad Harith Firas Ismael, bersama rakan sedarjahnya mendengar dengan tekun ketika guru mereka menerangkan bagaimana bahan kimia dalam rokok elektronik, atau vape, boleh memudaratkan tubuh badan.
Mereka turut menonton video penerangan yang ditayangkan melalui projektor bagi memaklumkan kepada pelajar tentang kandungan vape serta kesannya kepada pengguna.
Begitulah suasana kelas Sains di sekolah yang terletak di Ang Mo Kio Avenue 6.
Berkongsi kepada media pada 22 Oktober, pelajar berusia 15 tahun itu mendapati kelas tersebut membuka matanya tentang betapa berbahayanya tabiat menghisap vape.
“Salah satu bahagian yang paling menarik perhatian saya dalam sesi menangkis tanggapan salah tentang vape adalah mengenai sama ada vape kurang berbahaya berbanding rokok.
“Saya sangka kedua-duanya sama, tetapi sebenarnya vape lebih berbahaya,” katanya.
“Bahagian kedua menerangkan tentang bahan kimia yang terdapat dalam vape, dan saya benar-benar terkejut apabila mengetahui tentang sejenis vape baru yang dipanggil K-pod… pengguna menyedut etomidate, iaitu bahan kimia yang boleh mengkhayalkan, mengantukkan dan menyebabkan pengguna hilang kawalan kepada anggota badan,” jelas beliau.
Harith merupakan antara lebih 200 pelajar Menengah 3 sekolah tersebut yang mengikuti tujuh sesi pembelajaran – tiga kelas bagi mata pelajaran Sains dan empat kelas bagi Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).
Pihak media turut diundang bagi meninjau sesi pembelajaran bertemakan antivape yang dijalankan di sekolah berkenaan.
Menjawab pertanyaan media melalui e-mel mengenai sesi pembelajaran tersebut, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata ia telah memperkenalkan satu pakej bahan pengajaran bertemakan antivape kepada semua sekolah – sekolah rendah, menengah dan maktab rendah – pada September 2025.
“Pakej ini termasuk maklumat terkini mengenai etomidate dan kesannya terhadap tubuh badan, serta kandungan baru yang menerangkan sains di sebalik ketagihan,” kata MOE.
Secara purata, sekitar 3,100 pelajar sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan Institut Millenia ditangkap menggunakan vape setiap tahun, dari 2022 hingga 2024.
Dalam tempoh sama, sekitar 800 pelajar daripada institusi pengajian tinggi ditangkap setiap tahun.
Penggunaan vape dilarang di sini sejak 2018, tetapi penularan Kpod telah mendorong pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih ketat.
Sejak 1 September, etomidate disifatkan sebagai Dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) selama enam bulan.
Menurut Ketua Jabatan (HOD) subjek Sains di Sekolah Tinggi Presbyterian, Cik Heng Hui Peng, pakej tersebut diselaraskan dengan kegiatan tambahan yang dijalankan guru Sains sekolah itu sendiri.
Ini termasuk aktiviti pemicu mitos bagi mengenal pasti salah tanggapan pelajar mengenai vape, serta demonstrasi visual yang menunjukkan kesan penyalahgunaan bahan kimia terhadap paru-paru bagi memberi impak lebih jelas kepada pelajar.
“Kami mengambil pendekatan yang melibatkan kedua-dua akal dan hati.
“Walaupun pelajaran CCE lebih menekankan aspek hati, kami menumpukan pada aspek kognitif iaitu membantu pelajar memahami secara rasional mengapa vape berbahaya dan mengapa penting untuk menolak,” ujar beliau.
Selain melalui mata pelajaran Sains, pelajar juga mengikuti pelajaran bertemakan antivape dalam kelas CCE.
Ini termasuk menjalani kegiatan lakonan situasi sebenar yang menampilkan dilema harian, misalnya digalakkan oleh anggota keluarga untuk menghisap vape, diminta menyembunyikan vape semasa pemeriksaan beg secara rambang, atau dicabar oleh rakan untuk mencuba vape berperisa.
Ketika ditemui media, Ketua Subjek CCE sekolah itu, Cik Hshieh Szu An, menjelaskan pelajaran tersebut bertujuan membantu memperkasakan pelajar dengan strategi mengurus diri sendiri.
“Saya rasa ia bukan sekadar menyampaikan fakta, tetapi juga mendorong pelajar untuk merenung tentang proses membuat keputusan.
“Ia membantu mereka memahami cara mengurus cabaran, menegakkan nilai kukuh dan membuat keputusan paling berhemah serta bertanggungjawab untuk diri sendiri,” kongsi beliau.
Dalam pada itu, Harith kini lebih yakin berkongsi pengetahuan yang diperolehinya tentang bahaya vape dengan rakan-rakan sedarjah dan persekitarannya.
“Saya tahu risiko dan bahayanya jauh lebih tinggi daripada yang saya sangkakan sebelum ini, dan saya akan melakukan sedaya upaya untuk memastikan mereka tidak terjebak.
“Saya juga mungkin akan berkongsi kesan bahaya vape untuk membuat mereka takut dan tidak berani mencubanya,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg